Disember 18, 2024

IMG

Konvensyen Rakan NADMA: Transformasi DRR dan pacu negara berdaya tahan

PUTRAJAYA, 8 Okt – Konvensyen Rakan NADMA yang diadakan pada 8 Oktober 2024 merupakan anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana (DPPC), Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Acara ini bersempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional dan Hari Antarabangsa untuk Pengurangan Risiko Bencana (IDDRR), selaras dengan sasaran Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR) melalui Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030 (SFDRR2030).

Konvensyen ini bertujuan untuk mengiktiraf peranan, sumbangan, dan komitmen Badan Bukan Kerajaan (NGO) di bawah Rakan NADMA dalam pengurusan bencana. Agensi kerajaan dan NGO kini berkongsi matlamat untuk membantu rakyat menangani impak bencana.

Konvensyen ini mengangkat model kerjasama rentas sektor yang melibatkan agensi kerajaan, NGO, syarikat berkaitan kerajaan (GLC)/swasta, akademia, serta jaguh setempat (local champion), yang diterajui oleh NADMA bagi memperkukuh konsep shared responsibility dalam menyokong agenda pengurangan risiko bencana (DRR) dan pengukuhan daya tahan negara.

Pengisian utama Konvensyen Rakan NADMA 2024 dimulakan dengan Sidang Transformasi DRR yang membincangkan hubungan antara visi global dan tindakan tempatan. Sesi ini dibentangkan oleh panel pakar dari Jepun, seperti Profesor Masahiko Horie, Pegawai Khas dan Duta Hal Ehwal Alam Sekitar Global, Kementerian Luar Negeri Jepun merangkap Penasihat Khas kepada Pengerusi Universiti Meiji, Jepun; dan Profesor Izumi Takako, dari Institut Penyelidikan Antarabangsa Sains Bencana (IRIDeS), Tohoku University, Jepun. Sidang ini memberi tumpuan kepada usaha Malaysia dalam menyelaraskan agenda global dengan tindakan tempatan untuk pengurangan risiko bencana.

Antara sesi yang dijalankan semasa konvensyen berlangsung

Sidang kedua pula bertajuk “Perspektif 2030 Budaya Daya Tahan di Ambang Cabaran: Pengalaman dan Strategi Unik dari Dunia Kemanusiaan”, dikendalikan oleh Tuan Haji Nazri Kahar, Editor Kanan Astro AWANI. Sesi ini menampilkan ahli panel seperti Datin Noorul Syifa Mohd Isa dari Yayasan TM; Norazam Abu Samah dari MERCY Malaysia dan Lee Peng Sian dari Yayasan Tzu Chi. Para panel berkongsi pengalaman lapangan ketika menghadapi cabaran besar dalam pengurusan bencana di Malaysia.

Sidang ketiga, “Memperkukuhkan Tatakelola Risiko & Memperkasa Komuniti Berdaya Tahan dalam Model Pengurusan Bencana Baru: Kisah dan Inspirasi” dari ahli panel yang terdiri daripada PPj (PA) Mulliadi Al-Hamdi Ladin, NADMA; Ambika Devi Daran, Unit Pengurusan Bencana Pulau Pinang; Zaimi Samat, Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa dan Mohamad Firdaus Mohmad, Jaguh Setempat Yan, Kedah. Mereka berkongsi strategi untuk memperkuat tatakelola risiko serta memperkasakan komuniti agar lebih berdaya tahan.

IMG
Sidang-sidang yang dijalankan semasa konvensyen memberi pendedahan tentang pengurusan bencana

Matlamat utama IDDRR 2024 adalah “Empowering the Next Generation for Resilient Future” dengan tema “The Role of Education in Protecting and Empowering Youth for Disaster-Free Future”. Usaha ini diterjemahkan melalui kerjasama NADMA, Tabung Kanak-kanak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), dan UTM dalam projek memperkasa daya tahan wanita, kanak-kanak dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Sesi lain turut menonjolkan kisah inspirasi daripada pengurus bencana dan jaguh setempat. Dalam Sidang keempat, Ahmad Sufyan Mohamed Aslam dari UNICEF dan Zaleha Mohd Said, Jaguh Setempat Yan, Kedah, berkongsi pandangan di bawah tajuk “Memperkasa Wanita, Kanak-kanak dan OKU dalam Pembangunan Komuniti Berdaya Tahan”.

Sidang kelima mengetengahkan topik “Memperkasa Komuniti Melalui Pengurusan Bencana: Kisah dan Inspirasi” dikongsikan oleh ahli panel yang terdiri daripada Dato’ Muhammad Yusoff Wazir, mantan Timbalan Ketua Pengarah NADMA; PgKB I Mohd Khairul Jamil, SMART NADMA; Dr. Rashdan Rahmat, Hospital Sultan Ismail dan Hali Nasim, Jaguh Setempat, Kundasang, Sabah.

Akhirnya, Sidang keenam menampilkan Sesi Taklimat Monsun Timur Laut (MTL) Ramalan Cuaca MTL 2024/2025 oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) – Siaga Bencana & Musim Tengkujuh oleh Tuan Ambun Dindang, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik & Teknikal), MET Malaysia.

Majlis Perasmian Konvensyen Rakan NADMA 2024 dan Pelancaran Pelan Rejuvenasi Rakan NADMA 2030 disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen kerajaan terhadap SFDRR 2015-2030 serta penglibatan MJIIT, UTM Kuala Lumpur dalam projek berimpak tinggi bersama NADMA.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berbesar hati melihat pencapaian dan sokongan padu semua dalam pengukuhan sistem pengurusan bencana negara 

Pelan Rejuvenasi Rakan NADMA 2030 memperkenalkan gagasan baru untuk memperkukuh tadbir urus, pelaksanaan program, dan kemampanan kewangan. Sesi serahan pelan ini dilakukan oleh Pengarah DPPPC, MJIIT UTM selaku ketua editorial dan penulis utama dokumen Pelan Rejuvenasi Rakan NADMA 2030, Dr. Khamarrul Azahari Razak.

Dr. Khamarrul turut menyatakan, “Rakan NADMA menjadi pentas utama dan wadah perjuangan pemain-pemain kemanusian dan sukarelawan tempatan pelbagai sektor dan kepakaran dalam kesiapsiagaan tindak balas, intervensi, pemulihan dan pengurangan impak bencana cetusan perubahan iklim, konflik dan aktiviti antropogenik.”

Sesi Serahan Pelan Rejuvenasi Rakan NADMA 2030 oleh Dr. Khamarrul Azahari Razak

Kehadiran NGO di bawah Rakan NADMA yang mewakili 27,000 sukarelawan sejak penubuhannya pada 2016 melafazkan ikrar komitmen yang diketuai oleh Datin Azura Ibrahim, wakil Rakan NADMA dalam menambahbaik pengurusan bantuan bencana, terutamanya bagi bencana berskala besar. Tiga tonggak utama Rakan NADMA ialah, Pembangunan Kapasiti dan Kepakaran, Pengukuhan Komuniti Berdaya Tahan dan Penyelarasan Operasi dan Koordinasi.  Ruang reruai menampilkan pelbagai tema pameran, termasuk memperingati 10 tahun Bah Kuning, kesiapsiagaan bencana, teknologi/inovasi, kisah lapangan dan simulasi pusat pemindahan sementara (PPS).

Sesi penutup diserikan dengan demonstrasi menyelamat di aras tinggi “vertical rescue” oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) NADMA. Pasukan ini ditubuhkan pada Ogos 1995 di bawah Arahan No.19 Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan kejadian keruntuhan Pangsapuri Highlands Towers pada tahun 1993.

Anggota penyelamat memindahkan mangsa menggunakkan peralatan ascender and descender rope rescue serta Teknik nowrigen highline

Revolusi penting dalam dunia bencana negara telah mengangkat model Humanitarian-Development Nexus (HDN) berasaskan prinsip kerja-kerja kemanusiaan dan keperluan agenda pembangunan yang diterapkan dalam pelaksanaan dan pemantauan program berimpak di bawah Rakan NADMA. Program tersebut turut dibiayai oleh badan-badan korporat dan penyumbang dana termasuk GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) Demi Rakyat dan Negara (GDRN).

Ke arah usaha mengukuhkan persiapan dan mekanisma pengurusan bencana, Rakan NADMA akan terus menerajui dunia kemanusiaan dan pembangunan, serta membawa bendera Malaysia ke pentas dunia dalam penyaluran bantuan di luar negara akibat krisis kemanusiaan, konflik, dan bencana besar.

Explore More