Disember 9, 2024

Search
Close this search box.
team johor

Kontinjen Johor raih kecemerlangan dalam Sukan Catur di Para SUKMA XXI

KUCHING, 27 Sept – Kontinjen Johor mencatatkan kejayaan luar biasa apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam acara catur di Sukan Para Malaysia XXI (Para SUKMA) Sarawak 2024. Johor berjaya mengumpul 11 pingat emas, 5 perak, dan 6 gangsa, menandakan dominasi yang jelas dalam sukan catur di peringkat kebangsaan. Kejayaan ini sangat membanggakan apabila semua atlet Para Catur Johor tidak pulang dengan tangan kosong; setiap atlet berjaya meraih sekurang-kurangnya satu pingat, membuktikan usaha gigih dan dedikasi mereka sepanjang pertandingan.

Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nasrul Humaimi Mahmood dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang bertindak sebagai Ketua Jurulatih Para Catur Johor, menyatakan bahawa kejayaan ini adalah hasil dedikasi dan ketekunan seluruh pasukan. Bersama-sama dengan tiga jurulatih berkaliber lain, iaitu Mohamad Faizal Mohamad Shamsudin, Nur Jannah Al-Firdaus Abd Al Fatah, dan Aida Suriana Abdul Razak, mereka berjaya membimbing pasukan Johor mencapai kejayaan. Nik Mohamad Anuar No’man, selaku pengurus pasukan, juga memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan persiapan pasukan.

barisan pegawai
Barisan Pegawai: Dari kiri Aida, Faizal, Nik Mohamad Anuar, Dr. Nasrul dan Nur Jannah

Sepanjang tempoh persiapan menjelang Para SUKMA, pasukan Johor menjalani latihan yang intensif dan berstrategi, merangkumi teknik permainan dan pengurusan tekanan ketika pertandingan. Dengan sokongan padu daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor (JBS Johor) dan Kerajaan Negeri Johor, pasukan ini diberi kemudahan dan sumber daya yang mencukupi bagi memastikan mereka dapat bersedia dengan sebaik mungkin.

Pemenang-pemenang pingat emas individu yang menjadi tumpuan ialah Hanson Ang Pin Ting (Emas Individu Rapid dan Standard B2/B3 Lelaki), Nur Feiqha Maulad Mohamed Halil (Emas Individu Rapid dan Standard B2/B3 Wanita), Aqilah Syahira Ahmad (Emas Individu Rapid P1 Wanita), dan Lim Yee Jin (Emas Individu Standard P1 Wanita).

Selain itu, dua lagi pingat emas disumbangkan oleh kategori Rapid dan Standard berkumpulan B2/B3 lelaki yang terdiri daripada Hanson Ang Pin Ting, Mohamad Farhan Shukry Jamil, dan Mohamad Kamarulhakim Mohamad. Kategori berkumpulan P1 wanita turut menyumbang dua emas dalam acara Rapid dan Standard, yang melibatkan Aqilah Syahira Ahmad, Lim Yee Jin dan Intan Ibrahim. Emas terakhir diperoleh daripada acara Rapid B2/B3 wanita, hasil sumbangan Nur Feiqha Maulad Mohamed Halil, Seri Izdihar Shoberi, dan Noryn Sofea Mohd Hasry.

bersama atlet
Dua atlet Para Johor kategori B2/B3 lelaki sewaktu kejohanan, Hanson Ang Ping Ting (kiri) dan Mohamad Farhan Shukry Jamil (kanan)

Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan pasukan Johor, tetapi juga membawa impak besar terhadap pembangunan sukan catur para di peringkat kebangsaan. Dengan sokongan yang tepat serta latihan yang sistematik, atlet para Johor telah membuktikan bahawa mereka mampu bersaing di pentas tertinggi. Pencapaian ini dijangka akan menggalakkan lebih ramai individu untuk menyertai sukan ini, sekali gus mencungkil bakat baharu yang berpotensi menyumbang kepada kejayaan negara pada masa hadapan.

Dalam satu kenyataan penuh emosi, Hanson Ang Pin Ting berkata, “Kejayaan ini adalah hasil daripada kerja keras kami semua. Saya amat berterima kasih kepada jurulatih dan pengurus yang sentiasa memberikan sokongan dan bimbingan”. Sementara itu, Dr. Nasrul menambah, “Kami akan terus berusaha untuk memperbaiki prestasi dan mencari bakat-bakat baru untuk pasukan catur Johor.”

gambar
Pasukan Para Catur Johor di majlis penyampaian hadiah pada hari terakhir

Dengan kejayaan ini, pasukan catur Johor kini bersedia untuk melangkah ke kejohanan seterusnya. Mereka menggalas harapan untuk terus mencipta kejayaan dan mencungkil bakat baharu dalam dunia catur para, khususnya di Johor. Pada masa yang sama, mereka juga berhasrat untuk menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang dalam kejohanan antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Explore More