JOHOR BAHRU, 1 Okt – Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan kerjasama Kumpulan Penyelidikan Inovasi Geomatik (GnG), Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan satu siri bengkel bertemakan Proof-Of-Concept of Space-Based Augmentation System (SBAS) and Preliminary Performance Assessment. Bengkel ini bertujuan menyokong aplikasi penentududukan dalam pertanian pintar, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang kedua, Kelaparan Sifar.
Bengkel ini dipimpin oleh Prof. Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa dengan sokongan pensyarah FABU, Dr. Wan Anom Wan Aris, Sr. Dr. Kelvin Tang Kang Wee, serta pelajar pascasiswazah GnG, Muhammad Syazwan Ab Razak, Muhammad Hanifah Mazlan, Lee Hong Sheng, Nazatul Armielia Nazar, Nilashini ML Supparamaniyan dan Tan Mei Sieng.
Dua siri bengkel telah dijalankan, iaitu Siri I: pengukuran dan pemetaan bagi pertanian pintar, dan Siri II: SBAS untuk pertanian pintar. Bengkel ini menggunakan teknologi canggih seperti penentududukan dan komunikasi satelit serta pemetaan udara menggunakan dron tanpa pemandu untuk meningkatkan kecekapan pertanian pintar. Seramai tiga pegawai MYSA, Shahrizal Ide Moslin, Ooi Wei Han dan Noor Azawani Wahap, turut mengambil bahagian dalam bengkel ini.
Aktiviti bengkel berlangsung di Makmal GnG, FABU, dengan penguijian pertanian pintar di ladang kelapa sawit berhampiran bangunan T06, UTM Johor Bahru. Melalui siri ini, satu peta dasar berjaya dihasilkan untuk memantau kenderaan di ladang kelapa sawit, dan prototaip sistem pemantauan kenderaan masa hakiki juga dibangunkan. Paparan sistem pemantauan kenderaan masa hakiki ini membolehkan pengguna memantau pergerakan kenderaan dari pejabat, dengan arahan pemanduan dapat diberikan secara masa hakiki di lapangan.
Sesi ini turut menyaksikan penglibatan pegawai MYSA dalam penyediaan peta dasar dan penilaian keberkesanan sistem pemantauan kenderaan. Hasil yang diperoleh melalui bengkel ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan pemantauan tetapi juga membuka jalan kepada aplikasi pertanian pintar yang lebih efisien.
Hasil bengkel ini akan dibentangkan dalam sesi libat urus MYSA-UTM bersama pemegang taruh sektor pertanian, termasuk agensi kerajaan dan industri, yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2025. Integrasi kecerdasan buatan (AI) dengan sistem ini akan dibangunkan bagi mengoptimumkan pertanian pintar, manakala garis panduan penentududukan dalam pertanian pintar akan dirangka sebagai hasil perbincangan. Dengan kejayaan bengkel ini, diharapkan inisiatif pertanian pintar di Malaysia akan terus berkembang dan meningkatkan daya saing industri pertanian melalui teknologi maju.
Oleh Dr. Wan Anom Wan Aris