Disember 4, 2024

Search
Close this search box.
IMG

IPASA UTM perkukuh peranan dalam pemuliharaan sungai melalui pengucapan awam

SKUDAI, 1 Okt – Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air (IPASA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memainkan peranan penting dalam usaha memelihara dan memulihara sumber air negara melalui inisiatif yang dijalankan sempena sambutan Hari Sungai Sedunia. Salah satu program utama yang dilaksanakan ialah Pertandingan Pengucapan Awam “Air untuk Semua” sempena Hari Sungai Sedunia 2024, yang telah dianjurkan secara konsisten selama empat tahun berturut-turut.

Program ini mensasarkan generasi muda dengan menggalakkan penyertaan daripada pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara. Pengarah IPASA, Prof. Dr. Zainura Zainon Noor, dalam ucapannya menegaskan bahawa penglibatan generasi muda adalah langkah penting dalam memupuk kesedaran terhadap isu pemuliharaan sungai dan alam sekitar.

“Kami di IPASA percaya bahawa pendidikan dan kesedaran adalah kunci kepada pemuliharaan sumber air yang berterusan. Penglibatan generasi muda melalui pengucapan awam ini diharap dapat melahirkan pemimpin masa depan yang lebih peka terhadap isu alam sekitar,” katanya.

Pertandingan ini dianjurkan dengan kerjasama pelbagai rakan strategik seperti Institut Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar (RISE), Water Security and Sustainable Development Hub, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ), dan Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS).

Selain itu, program ini juga mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di mana para peserta yang terlibat diberikan merit PAJSK (Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum) di peringkat kebangsaan.

WhatsApp Image at da
Prof Zainura semasa ditemu bual mengenai peranan yang dijalankan oleh pihak IPASA

Pemenang pertandingan ini menerima hadiah dalam bentuk plaq dan wang tunai serta sijil penghargaan. Johan bagi kategori sekolah menengah disandang oleh Ek Jot Singh Chauhan a/l Lekhpal dari Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael, Ipoh, Perak manakala bagi kategori sekolah rendah, dirangkul oleh Nur Izzah Insyirah Muhammad Nasuha dari Sekolah Kebangsaan Felda Purun, Triang, Pahang.

Menurut Prof. Zainura, usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen IPASA dalam menyampaikan mesej kepentingan pemuliharaan alam sekitar kepada masyarakat, khususnya generasi muda. “Kami harap program ini dapat memberikan impak jangka panjang kepada peserta. Selain pengucapan awam, mereka juga akan didedahkan kepada isu-isu berkaitan alam sekitar, yang diharap dapat memperkukuh kesedaran mereka terhadap kepentingan menjaga sungai dan sumber air,” tambahnya.

IPASA juga komited untuk menjalin kerjasama erat dengan pelbagai pihak, termasuk kerajaan, komuniti, dan sektor swasta, bagi memastikan program-program yang dianjurkan mencapai impak yang lebih besar. Menurut Prof. Zainura, usaha pemuliharaan alam sekitar memerlukan pendekatan menyeluruh dan kerjasama antara semua pihak.

“Kami di IPASA percaya bahawa program-program seperti ini tidak boleh berjaya jika hanya dijalankan oleh satu pihak. Perlu ada sinergi antara pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), industri, dan komuniti untuk menjayakan usaha ini. Kami di IPASA berperanan sebagai penghubung yang memastikan interaksi antara pihak-pihak ini berlaku dengan lancar,” katanya.

IPASA berharap agar semua inisiatif yang dijalankan akan meninggalkan kesan mendalam kepada peserta dan komuniti yang terlibat. “Kami berharap mesej pemuliharaan ini akan kekal di hati para peserta dan komuniti, serta menggalakkan mereka untuk terus mengambil tindakan proaktif dalam menjaga alam sekitar,” ujar Prof. Zainura mengakhiri ucapannya.

IMG
Para pemenang bergambar bersama Prof. Zainura dan penjaga mereka

Dengan pelbagai inisiatif yang telah dijalankan, IPASA berhasrat untuk terus memimpin usaha pemuliharaan sungai dan alam sekitar, serta menjadi pusat rujukan bagi semua pihak yang berhadapan dengan isu-isu berkaitan keselamatan air dan kelestarian alam sekitar.

Video pemenang pertandingan pengucapan awam boleh didapati di Facebook Centre for Environmental Sustainability and Water Security – IPASA

Explore More