Disember 19, 2024

WhatsApp Image at

International Soap Innovation Challenge pupuk kreativiti dan inovasi peringkat antarabangsa

ISKANDAR PUTERI, 8 Okt – Dewan Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Medini, Iskandar Puteri, menjadi lokasi berlangsungnya International Soap Innovation Challenge, sebuah program pendidikan inovatif yang menggabungkan sains dan kreativiti dalam suasana interaktif. Program ini bertujuan memperkenalkan pelajar kepada teknik pembuatan sabun dan memberi peluang kepada mereka untuk meneroka daya cipta melalui reka bentuk pembungkusan sabun.

Program ini melibatkan 54 pelajar sekolah rendah, terdiri daripada 27 pelajar SK Medini, Nusajaya dan 27 pelajar Sekolah Dasar (SD) Muhammadiyah Sapen, Yogyakarta, Indonesia. Kerjasama antara dua negara ini bertujuan memupuk perpaduan dan semangat saling belajar antara pelajar berlatarbelakangkan sistem pendidikan yang berbeza. Selain itu, ia juga menggalakkan perkongsian budaya dan ilmu dalam suasana yang menyeronokkan.

WhatsApp Image at
Penglibatan pelajar-pelajar SK Medini dan SD Muhammadiyah

Pensyarah yang terlibat adalah dari Jabatan Biosains, Fakulti Sains, iaitu Dr. Mira Panadi, Dr. Nazrin Abd Aziz, Dr. Fazilah Abd Manan dan Dr. Wan Rosmiza Zana Wang Dagang. Program ini turut dibantu oleh fasilitator, iaitu wakil Kelab Siswa Aktif dari Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), Koh Zhi Ying, serta pelajar dari SK Medini, Puteri Kayla Khalishah Muhammad Firdaus.

Aktiviti pembuatan sabun membolehkan pelajar memahami pelbagai aspek sains seperti perubahan fizikal bahan. Mereka juga dilatih dalam kemahiran asas sains seperti pemerhatian, pengukuran, dan pencampuran bahan melalui aktiviti praktikal ini. Selain itu, pertandingan Reka Bentuk Pembungkusan Sabun memberi peluang kepada pelajar untuk menggabungkan kreativiti dan inovasi dalam menghasilkan reka bentuk pembungkusan yang menarik dan berfungsi.

WhatsApp Image at
Penyampaian cenderamata kepada Dr. Fazilah Abd Manan

Objektif utama program ini adalah memberi pendedahan kepada kemahiran asas proses sains serta membantu pelajar memahami konsep sains dalam kehidupan seharian. Program ini juga bertujuan melatih pelajar berfikir secara kritis dan kreatif serta meningkatkan minat mereka terhadap sains melalui pendekatan yang menyeronokkan. Kerjasama antara pelajar Malaysia dan Indonesia melalui aktiviti berkumpulan pula memupuk perpaduan dan kesefahaman budaya di peringkat antarabangsa.

WhatsApp Image at
Penyampaian hadiah kepada pemenang

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai matlamat dalam memperkasa pelajar dengan ilmu sains dan kemahiran kreatif. Ia juga telah menjadi platform untuk memupuk perpaduan antarabangsa dan menggalakkan pelajar berkongsi pengalaman serta ilmu dengan rakan-rakan dari negara jiran. Kejayaan program ini diharapkan menjadi inspirasi bagi lebih banyak inisiatif serupa di masa hadapan, merapatkan jurang pendidikan antarabangsa serta melahirkan generasi pelajar yang kreatif dan berdaya saing.

Oleh Dr. Mira Panadi, Pensyarah Kanan Jabatan Biosains, Fakulti Sains

Explore More