Disember 22, 2024

Featured Image NewsHub ()

Inovasi sistem solar fotovolta UTM terima pengiktirafan di ASEAN Energy Awards 2024

Vientiane, 28 Sept – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dinobatkan sebagai Naib Johan Kategori Off-Grid (Power) di ASEAN Energy Awards 2024 anjuran ASEAN Centre for Energy (ACE) melalui Projek Rekebentuk Sistem Solar Fotovolta Terasing Berpusat dan Program Pemindahan Ilmu di Kampung Orang Asli Pucur, Johor. Anugerah ini diberikan atas komitmen dan usaha inovatif serta penyelesaian tenaga lestari yang dibawa oleh kumpulan penyelidik UTM dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), yang memberi impak besar kepada komuniti Kampung Orang Asli Pucur.

Dr Jasrul
Kumpulan penyelidik bersama dengan komuniti Kampung Orang Asli Pucur

Empat pensyarah dari FKE yang merupakan ahli projek hadir sempena anugerah ini, iaitu Prof Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian, Ts. Dr. Zulkarnain Ahmad Noorden, Dr. Madihah Md Rasid, dan Dr. Siti Maherah Hussin.

Projek sistem solar fotovolta ini mula dibangunkan dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada tahun 2017. Sistem tersebut kemudiannya dinaiktaraf pada tahun 2023 dengan kerjasama BIMB melalui Sadaqa House dan Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE) HAC/SIGHT setelah melihat komitmen baik yang ditunjukkan oleh komuniti dalam menyelenggara sistem tersebut.

Keberkesanan program pemindahan ilmu kepada komuniti pada 2017 terbukti apabila sistem masih dapat beroperasi dengan baik walaupun kampung tersebut dilanda banjir pada Februari 2021 dan Mac 2023. Projek ini juga melibatkan pelbagai pihak dari institusi kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi pengajian tinggi lain seperti politeknik, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kolej Komuniti, Institut Kemahiran MARA (IKM), dan lain-lain.

Ketua projek, Ts. Zulkarnain Ahmad Noorden menyatakan rasa bangga dan terima kasih atas pengiktirafan ini, “Kami amat berbesar hati dinobatkan sebagai Naib Johan dalam kategori Off-Grid (Power) di ASEAN Energy Awards 2024. Pencapaian ini adalah bukti dedikasi kumpulan penyelidik kami dalam pembangunan sistem tenaga boleh baharu yang menyumbang kepada kelestarian tenaga serta komitmen kami untuk meningkatkan taraf hidup di kawasan kampung Orang Asli. Kami percaya bahawa akses kepada tenaga boleh baharu bukan sahaja satu keperluan asas tetapi juga pemangkin utama kepada pertumbuhan sosioekonomi.”

Dr Jasrul
Pelancaran projek tenaga elektrik solar berpusat oleh wakil BIMB, Ustaz Mohd Zikri Mohd Shairy

ASEAN Energy Awards 2024 menghimpunkan pelbagai pemegang taruh utama dalam industri tenaga, termasuk pegawai kerajaan, pakar industri, dan organisasi dari seluruh rantau.

Dr Jasrul
Empat pensyarah dari FKE yang menerima pengiktirafan di ASEAN Energy Awards 2024, Laos

Sumber: Prof. Madya  Ir. Ts. Dr.  Jasrul Jamani Jamian

Explore More