Disember 6, 2024

Search
Close this search box.
GAMBAR

Inovasi Perolehan: Mengoptimum penilaian tender melalui Sistem J-Nilai

JOHOR BAHRU, 30 Sept – Satu kursus intensif bertajuk “Penilaian Tender dan Penggunaan Sistem J-Nilai” telah dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR). Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman pegawai di JTNCP mengenai prosedur penilaian tender yang lebih sistematik dan telus, sejajar dengan amalan perolehan kerajaan yang berintegriti.

Kursus ini telah dirasmikan oleh Pengerusi BPA, Prof. Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa. Beliau menyatakan, “Sistem J-Nilai merupakan inovasi penting yang dapat mempercepat dan memudahkan proses penilaian tender secara objektif dan berstruktur. Ia memastikan setiap tender dinilai berdasarkan merit, ketelusan, dan pematuhan sepenuhnya kepada peraturan.”

Pengerusi BPA bersama penceramah kursus serta Pengarah Seksyen Kontrak Dan Perolehan

Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan sistem seperti J-Nilai adalah langkah ke arah merealisasikan perolehan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang lebih efisien dan bebas daripada amalan tidak beretika. UTM juga menjadi salah satu universiti awam terawal yang menggunakan sistem ini.

Kursus ini dihadiri oleh 40 peserta yang terdiri daripada pegawai pengurusan dan teknikal. Aktiviti ini berlangsung pada 30 September hingga 1 Oktober 2024 di Makmal Pengajaran 2, Fakulti Komputeran, UTM Johor Bahru.

Kursus ini disampaikan oleh Firdaus Ab. Rahman dan Siti Nor Zafirah Zainal Aripin selaku penceramah dan fasilitator dari Bahagian Dokumentasi & ICT, Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan, Ibu Pejabat JKR. Pada hari pertama, taklimat berkaitan tatacara penilaian tender, kewangan, dan teknikal disampaikan. Sementara itu, pada hari kedua, kursus penggunaan Sistem J-Nilai dilaksanakan secara praktikal.

Taklimat disampaikan oleh penceramah dari JKR, Firdaus Ab. Rahman
Peserta kursus mendengar taklimat yang disampaikan
Peserta kursus diberi bimbingan penggunaan Sistem J-Nilai

Seksyen Kontrak dan Perolehan selaku urus setia kursus ini mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, serta Pengerusi BPA, pengarah-pengarah Seksyen BPA, peserta kursus, dan semua pihak yang terlibat. Semoga kursus ini dapat membantu peserta menjadi mahir dalam penggunaan sistem J-Nilai dan menjadikan pengurusan tender serta perolehan lebih cekap, pantas, dan berintegriti di UTM.

Cenderahati disampaikan kepada penceramah sebagai tanda penghargaan

Oleh Sr Asliza Bakar dan Junaidah Hj. Hanafiah

Explore More