JOHOR BAHRU, 20 Okt – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD), Jabatan Pendaftar dengan kerjasama Universitas Negeri Malang (UM) telah menganjurkan program 1st International Colloquium on Leadership dari 16 hingga 18 Oktober 2024 bertempat di Universitas Negeri Malang, Jawa Timur, Indonesia.
Program ini merupakan salah satu inisiatif pengantarabangsaan Jabatan Pendaftar bagi staf Pegawai Pengurusan dan Profesional (PPP) UTM. Delegasi UTM diketuai oleh Pendaftar UTM, Pn. Hajah Norazizah Ismail dengan objektif untuk membangunkan serta memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa dalam kalangan staf PPP UTM dari aspek kepimpinan. Di samping itu, program ini juga membuka peluang bagi kerjasama dalam memperkukuh program mobiliti staf dan pelajar, memanfaatkan teknologi serta platform digital, dan mempromosikan program-program akademik UTM bersama universiti di sekitar Jawa Timur, Indonesia.
Kolokium ini disertai oleh wakil-wakil dari beberapa bahagian di bawah Jabatan Pendaftar, termasuk CTLD, Bahagian Pengurusan Organisasi (BPO) dan Pusat Pengurusan Data Universiti (PPDU). Selain itu, beberapa pegawai dari Pusat Tanggungjawab (PTJ) UTM seperti Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP), Jabatan Perkhidmatan Digital (UTMDigital) dan UTM International turut mengambil bahagian.
Semasa kolokium ini, delegasi UTM yang diwakili oleh Pn. Hajah Norazizah Ismail, Mohd Razib Karno dan Mohd Zaires Md. Daris membentangkan tiga tajuk utama iaitu Navigating Uncertainty in University Administration, Peranan Pusat Pengurusan Data Akademik: Membuat Keputusan Berpacu Data dan UTM Academic Program: Promotion & Recruitment. Wakil dari Universitas Negeri Malang, Dr. Syamsul Hadi, pula membentangkan tajuk Developing Lecturers As Academic Leaders for Indonesian HEI.
Program ini turut memberikan peluang kepada kedua-dua universiti untuk berkongsi dan berkolaborasi dalam bidang Pengurusan Aset, Pengurusan Kualiti dan Pemodenan Perkhidmatan, Perkhidmatan Digital dan Pengantarabangsaan. Lebih daripada 150 peserta menghadiri sesi kolokium ini, yang terdiri daripada pimpinan utama Universitas Negeri Malang, dekan-dekan, serta beberapa rektor dan wakil rektor dari 48 universiti sekitar daerah Malang.
Sepanjang program tiga hari ini, delegasi UTM turut menghadiri pertemuan bersama barisan pimpinan Universitas Negeri Malang yang diketuai oleh Prof. Dr. Hariyono M.Pd, termasuk timbalan rektor, dekan, dan wakil fakulti. Delegasi UTM juga diundang untuk menghadiri sambutan ulang tahun ke-70 Universitas Negeri Malang melalui Upacara Lustrum XIV Dies Natalis ke-70 UM.
Program ini diharapkan mampu menjadi titik tolak kepada lebih banyak pertukaran idea dan inovasi antara kedua-dua universiti dalam usaha membangunkan kepimpinan dan kecemerlangan akademik di rantau ini.
Oleh Mohd Nor Faizal Jamaluddin dan Khairull Azmi Ishak