JOHOR BAHRU, 14 Okt – Program Bersama Melestarikan Kebersamaan BPA dan Penanaman Pokok Tropika telah berlangsung di Taman Tropika, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru pada 13 Oktober 2024, juga penglibatan UTM Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2024. Program ini bertujuan untuk mempromosikan kelestarian kampus melalui penanaman pokok tropika di sekitar UTM Johor Bahru dan UTM Kuala Lumpur.
Di UTM Johor Bahru, program telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad. Turut hadir ialah Pengerusi Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Prof. Madya Dr. Sr. Tajul Ariffin Musa, dan Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS), Prof. Dr. Mohd Fadhil Md Din. Acara kemuncak adalah simbolik penanaman pokok Cempaka oleh Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan sokongan pelbagai pihak dalam menjayakan program ini. Di UTM Kuala Lumpur, program telah disempurnakan oleh Pro-Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, yang turut diiringi oleh Pengarah BPA UTM Kuala Lumpur, Prof. Madya Sallehuddin Muhamad.
Kedua-dua kampus melibatkan penanaman pelbagai spesies pokok tropika seperti Cempaka (Magnolia champaca), Kesidang (Vallaris glabra), Putat (Barringtonia racemosa), Melaka (Phyllanthus emblica), Lanjut (Mangifera lagenifera), Keledang (Artocarpus lacucha) dan Gapis (Saraca thaipingensis). Setiap pokok ditandakan dengan kod QR untuk memudahkan akses maklumat mengenai spesies yang ditanam.
Program ini akan diteruskan di beberapa lokasi lain di sekitar kampus UTM. Melalui usaha ini, UTM diharapkan dapat menjadi contoh institusi yang menyokong pemuliharaan alam sekitar serta meningkatan kesedaran tentang kepentingan ruang hijau. Selain itu, program ini berperanan sebagai platform pendidikan bagi warga kampus dan pengunjung untuk lebih memahami nilai komersial dan kepentingan pokok tropika dari perspektif geopelancongan.