Disember 22, 2024

Kursus Peningkatan Sains KEMAS UTM

UTM tingkat kompetensi Guru TABIKA Johor melalui kursus STREAM

JOHOR BAHRU, 18 Sept – Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Johor, telah berjaya menganjurkan kursus peningkatan pengetahuan sains khusus untuk guru-guru Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) KEMAS di seluruh negeri Johor. Kursus yang berlangsung pada 18 September 2024 ini melibatkan 20 orang guru terpilih sebagai peserta rintis.

Kursus ini merupakan sebahagian daripada Projek Program Pemindahan Ilmu (KTP) yang dijalankan oleh UTM. Ia bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru dalam pengajaran sains di peringkat pendidikan awal kanak-kanak. Usaha ini penting bagi membolehkan guru-guru TABIKA KEMAS menyampaikan konsep sains dengan lebih berkesan dan relevan kepada kanak-kanak, seiring dengan keperluan pendidikan masa kini.

Sebelum kursus ini dilaksanakan, satu sesi perbincangan awal bersama wakil KEMAS dan guru-guru TABIKA telah diadakan bagi membangunkan modul kursus yang bersesuaian. Melalui perbincangan dan soal selidik yang dijalankan, pihak UTM berjaya mengenal pasti keperluan-keperluan yang harus dipenuhi oleh kursus ini bagi memastikan kandungan yang disampaikan tepat dan sesuai dengan pengajaran di peringkat TABIKA.

Perbincangan KEMAS dan UTM
Sesi perbincangan UTM bersama KEMAS Johor

Kursus fasa pertama ini menekankan dua tema utama dari modul Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM) KEMAS iaitu Eco Education dan Agro Technopreneur. Berdasarkan tema tersebut, kandungan kursus dibangunkan kepada tiga topik utama iaitu air, makanan dan tenaga. Topik-topik ini dipilih kerana ia berkait rapat dengan kehidupan harian dan mudah difahami oleh kanak-kanak, sekali gus memudahkan guru-guru untuk menyampaikannya dalam proses pengajaran di dalam kelas.

Dekan FS bersama Pengarah KEMAS Johor
Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir bersama Timbalan Pengarah KEMAS Johor, Puan Dahlia Osman

Para peserta kursus diperkenalkan kepada konsep asas seperti sumber air, pencemaran air dan kaedah perawatan air. Selain itu, mereka juga mempelajari teknik penanaman hidroponik serta manfaat sayuran untuk kesihatan. Modul tenaga pula memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga angin serta pengkomposan sebagai cara pengurusan sisa yang boleh diaplikasikan dalam aktiviti sains di kelas TABIKA.

Sesi Kursus
Pensyarah Fakulti Sains UTM memberikan penerangan semasa sesi kursus

Kursus ini turut memberi penekanan kepada pembelajaran aktif melalui aktiviti interaktif yang melibatkan peserta secara langsung. Guru-guru yang diberi peluang menjalankan eksperimen mudah dapat membantu mereka memahami dengan lebih baik konsep yang mereka akan ajar kepada murid-murid mereka, di samping memberi pengalaman praktikal yang boleh digunakan di bilik darjah.

Aktiviti Kursus
Aktiviti eksperimen interaktif bersama peserta kursus

Sesi pembelajaran kursus telah dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains UTM, yang berpengalaman dalam bidang yang diajarkan. Setelah sesi pengajaran, peserta telah menjalani penilaian melalui kuiz secara atas talian. Semua peserta berjaya menyelesaikan kursus ini dengan cemerlang dan menerima sijil tamat kursus yang disampaikan oleh Penolong Dekan (Hubungan Luar dan Global) Fakulti Sains, Prof. Madya ChM Dr. Mohd Firdaus Abdul Wahab.

Pengarah program, Prof. Madya ChM Dr. Mohd Bakri Bakar dalam ucapan penutupnya menyatakan harapannya agar kursus ini dapat meningkatkan kualiti pengajaran guru-guru TABIKA dalam bidang Sains. Beliau juga berharap agar ilmu yang diperoleh dapat dikongsi dengan guru-guru lain dan diaplikasikan dalam kelas masing-masing bagi memperkaya pengalaman pembelajaran murid-murid TABIKA KEMAS.

Maklum balas daripada peserta kursus adalah amat positif. Mereka menyatakan bahawa kursus ini bukan sahaja membantu meningkatkan kefahaman terhadap konsep-konsep sains, malah memberi panduan berguna tentang cara mengaplikasikan ilmu tersebut dalam pengajaran di TABIKA. Semua peserta menyatakan minat untuk menyertai kursus lanjutan sekiranya dianjurkan lagi pada masa akan datang. Mereka yakin bahawa dengan modul tambahan yang lebih mendalam, kualiti pengajaran sains mereka dapat ditingkatkan di peringkat pra-sekolah.

Aktiviti Kursus
Sebahagian peserta yang terlibat sedang menjalankan aktiviti

Kursus ini bukan sahaja berjaya memperkasakan guru-guru TABIKA dari segi pengetahuan sains, malah turut membuka ruang untuk lebih banyak kerjasama strategik antara UTM dan KEMAS pada masa akan datang. UTM melalui Fakulti Sains serta Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) berhasrat untuk merangka lebih banyak program bersama KEMAS yang memberi manfaat kepada pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia, khususnya dalam bidang sains.

Dengan inisiatif sebegini, diharapkan lebih banyak kursus dan program pembangunan profesional untuk guru-guru pendidikan awal dapat dianjurkan, bagi meningkatkan kompetensi dan memperkasa peranan mereka dalam menyampaikan ilmu pengetahuan yang bermutu tinggi kepada generasi akan datang.

Oleh Dr. Siti Aminah Setu dan Prof. Madya ChM. Dr. Mohd Bakri Bakar

Explore More