Disember 19, 2024

UTM terima pelajar perintis Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) bagi sesi akademik 2024/2025

KUALA LUMPUR, 29 Sept. – Seramai 97 pelajar telah mendaftar mengikuti pengajian di Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi pengajian Sarjana Muda Sepenuh Masa, sesi akademik 2024/2025 bermula hari ini.

Menurut Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, ambilan pertama ini akan mengikuti program Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dengan Kepujian selama tiga tahun di kampus Kuala Lumpur.

Terdahulu, fakulti yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pengumuman Belanjawan 2024, merupakan pusat pengajian AI  pertama negara dan rantau Asia Tenggara.

Mendapat kerjasama padu daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pihak UTM telah berjaya menubuhkan fakulti ini dalam tempoh empat bulan dan diluncurkan secara rasmi oleh YAB Perdana Menteri pada 10 Mei 2024 sempena Majlis Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI Nexus) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Prof. Fauzi juga optimis bahawa pelajar perintis Fakulti AI UTM akan menyumbang secara positif kepada ekosistem inovasi yang dibangunkan oleh negara khususnya dalam menyediakan bakat untuk melangkah ke era Revolusi Industri 5.0.

Mengulas mengenai kualiti dan pengalaman pembelajaran yang bakal diperoleh pelajar, Prof. Fauzi menyatakan kekuatan kurikulum yang berorientasikan manusiawi serta hubungan strategik UTM bersama pemain industri AI di dalam dan luar negara merupakan kunci kepada keunikan program.

“Program yang dibangunkan oleh UTM telah mendapat pelbagai input pakar dari dalam dan luar negara serta merentas bidang dan disiplin. Ia akan melibatkan pensyarah  daripada pelbagai bidang akademik, termasuklah asas dan penggunaan AI, Matematik,  Sains Komputer serta Sains Sosial dalam membangunkan bakat AI sekali gus memperhebat bidang teknologi merentas disiplin ilmu ini,” jelasnya. 

“Pelajar juga berpeluang mengikuti pengajian menerusi infra ‘smart future ready classroom’ dan juga makmal robotik yang terdapat di kampus kami.”

“Selain itu,  penyelidikan dalam bidang pengintegrasian AI juga giat dijalankan oleh penyelidik UTM dan dapatan daripada penyelidikan ini akan menjadi nilai tambah kepada pelajar bagi memastikan teknologi yang dipelajari adalah sentiasa relevan dan terkini,” tambah Prof. Fauzi.

 

Pro-Naib Canselor UTM Kuala Lumpur, Prof. Ts. Dr Abd Latif Salleh menyampaikan ucapan alu-aluan kepada pelajar baharu
Sesi Soal & Jawab antara Pengurusan FAI dan pelajar
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FAI, Prof. Madya Dr. Roslina Ibrahim
turut menyampaikan taklimat kepada pelajar
Dekan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Naz’ri Mahrin bersama pelajar perintis FAI UTM

Explore More