November 16, 2024

Search
Close this search box.
image

JOHOR BAHRU, 28 Sept – Seramai 3,154 pelajar baharu mendaftar ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) termasuk kohort pertama pelajar Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) bagi pengajian Sarjana Muda Sepenuh Masa bagi sesi akademik 2024/2025 bermula hari ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, daripada jumlah ini 2,977 pelajar mendaftar pengajian di kampus UTM Johor Bahru dan 177 pelajar di kampus UTM Kuala Lumpur.

Kesemua pelajar ini akan mengikuti pengajian program Sarjana Muda di 12 fakulti yang terdapat di UTM termasuklah di Fakulti AI.

Prof. Ali menambah, pendaftaran kemasukan pelajar baharu kali ni menyaksikan tiga fakulti dengan bilangan pelajar tertinggi, iaitu Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) seramai 503 pelajar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) seramai 357 pelajar diikuti dengan Fakulti Sains (FS) seramai 343 pelajar.

Prof Ts Dr Ali Selamat
Prof. Ali ketika menyantuni salah seorang pelajar yang mendaftar di UTM hari ini

“Selari dengan penubuhan fakulti baharu UTM dan pertama di Malaysia, Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) bakal menerima 101 pelajar bagi kohort pertama hari ini, dengan 68 orang pelajar lelaki dan 33 pelajar perempuan. Kohort pertama ini bakal mengikuti program Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dengan Kepujian selama tiga tahun di UTM Kuala Lumpur,” ujar Prof. Ali.

Dalam pada itu, seramai 986 pelajar antarabangsa dari kira-kira 37 buah negara pula bakal mengikuti pengajian di UTM untuk sesi akademik baharu ini, dengan negara China mencatat bilangan pelajar baharu tertinggi, iaitu 497 pelajar, diikuti Sudan seramai 140 pelajar dan Indonesia, 84 pelajar.

Suasana
Suasana pelajar baharu bersama keluarga mendaftar di UTM

Mengulas mengenai pembaharuan yang dibawa Universiti dalam menerima pelajar baharu, Prof. Ali berkata, “Pihak UTM kali ini melaksanakan buat pertama kalinya modul e-Daftar dan e-Hostel melalui aplikasi UTMSmart yang dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran dalaman untuk mempertingkat kecekapan dan memudahkan proses pendaftaran pelajar baharu.

Suasana

A

“Para pelajar yang menerima tawaran melanjutkan pengajian di UTM kini boleh melakukan prapendaftaran secara dalam talian. Proses ini melibatkan penghantaran dokumen penting pelajar bagi tujuan pendaftaran awal, permohonan kad matrik dan juga penetapan kolej kediaman dibuat dengan hanya melalui sistem ini.”

“Selain itu, tempoh pendaftaran pada hari ini turut dipendekkan apabila para pelajar  telahpun mengetahui nama kolej kediaman masing-masing melalui sistem terbabit dengan hanya mengimbas kod QR melalui aplikasi UTMSmart,” katanya.

UTM juga amat prihatin terhadap pelajar berkeperluan khas, terutamanya pelajar yang berada dalam kategori B10, iaitu keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan serta pelajar dalam kategori orang kurang upaya (OKU).

“Melihat kepada pentingnya perkara ini, maka pihak Universiti akan merangka program khas bagi memastikan pelajar berkeperluan khas diberikan bantuan, didikan dan pemantauan rapat. Begitu juga dengan keperluan pelajar OKU, Kolej Rahman Putra telah digazetkan sebagai kolej mesra OKU, ” tambah Prof. Ali.

Atlet Johor jadi sebahagian keluarga baharu UTM

Pada sesi akademik kali ini, pelajar baharu UTM terdiri daripada variasi bakat dan latar belakang, antaranya atlet SUKMA Johor yang turut beraksi sewaktu Sukan Malaysia XXI (SUKMA) Sarawak 2024 dalam acara boling padang (lawn bowl). Muhammad Azriq Haszely meraih pingat Gangsa bagi kontinjen Johor dalam sukan berkenaan pada Ogos lalu. Selain Azriq, empat rakan dari kontinjen Johor pada SUKMA lalu turut mendaftar masuk ke UTM hari ini.

Muhammad Azriq lepasan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) bakal mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Sains Sukan) dengan Kepujian selama empat tahun di sini. Menurut Muhammad Azriq, keputusan untuk memilih menyambung pengajian ke UTM disebabkan reputasi institusi ini sebagai antara UA terbaik negara dan turut berasa bangga apabila menerima tawaran menjadi sebahagian pelajar Universiti ini.

Muhammad Azriq bin Haszely
Muhammad Azriq gembira berjaya menyambung pengajian ke UTM

“Saya akan mengajak lebih ramai lagi para pelajar dari sekolah saya sebelum ini dan rakan atlet yang lain agar menyambung pengajian di sini sebagaimana kami kelompok pelajar SSTMI yang mendaftar pada hari ini,” ujar Muhammad Azriq.

Muhammad Azriq turut mempunyai dua orang kakak yang sedang mengikuti pengajian di UTM. Menariknya, Muhammad Azriq datang dari keluarga atlet sukan boling padang negara. Ayahnya, Haszely Elias merupakan atlet para negara yang pernah meraih pingat perak dan gangsa di Hangzhou bagi acara boling padang kelas B7 pada Sukan Para Asia ke-4 yang berlangsung pada Oktober 2023. Kesemua ahli keluarga Muhammad Azriq, kecuali ibunya, aktif sebagai atlet boling padang dan bersemangat untuk meneruskan kecemerlangan dalam sukan ini bersama UTM.

Selain Muhammad Azriq, Aliff Ameer Reza Mohd Rashdi, atlet sukan ragbi, Akid Zunnurain Saiful Nizam dan Alia Farishah Mohmad Noor, atlet sukan judo, Muhammad Amin Ashraff, atlet berbasikal, atlet SUKMA Johor dari SSTMI turut mendaftar masuk pada sesi yang sama.

Rakan kontinjen SUKMA Johor
Muhammad Azriq bersama rakan kontinjen SUKMA Johor yang kini bergelar pelajar UTM

Turut hadir menyantuni pelajar dan keluarga sepanjang sesi pendaftaran pelajar baharu hari ini melibatkan barisan pengurusan tertinggi Universiti, termasuklah Timbalan-Timbalan Naib Canselor di kedua-dua kampus.

Pelajar baharu ini bakal mengikuti Program Minggu Mesra Mahasiswa (3M) bermula 28 hingga 30 September 2024 untuk membuka ruang kepada mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan dan suasana kampus UTM.

Explore More