September 17, 2024

Search
Close this search box.
image

UTM Prihatin lakar sejarah jadi UA pertama jalani Kursus Asas Sukarelawan NADIM

JOHOR BAHRU, 10 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmen dalam bidang kesukarelawanan apabila pasukan sukarelawan UTM Prihatin menjadi Universiti Awam (UA) pertama yang menjalani Kursus Asas Sukarelawan (ASAS 101) anjuran Persatuan Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADIM). Kursus ini melibatkan penyertaan kakitangan UTM dan diadakan bermula 8 hingga 11 September.

Dalam ucapan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, beliau menyokong hasrat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk membantu, menggembleng kerjasama, serta menjalin integrasi dengan jabatan lain, dan menjadi agensi rujukan bagi mendapatkan maklumat saintifik. Beliau juga menekankan pentingnya integrasi antara UTM Prihatin, Yayasan Telekom Malaysia (TM), NADIM, NADMA, tenaga akademik, dan pelajar dalam membantu mangsa bencana yang memerlukan rawatan, pertolongan cemas, penjagaan kesihatan, serta sokongan psikologi dan mental.

Prof. Edy Tonnizam berkata, “Penubuhan UTM Prihatin merupakan suatu program kesukarelawanan dalam kalangan staf, dan dengan keanggotaan yang ramai, ia mampu digerakkan sebagai sebuah institusi yang mempromosikan agenda yang baik pada masa hadapan.”

image
Prof. Dr. Edy Tonnizam menyampaikan ucapan sebagai perasmi majlis

UTM Prihatin sebagai rakan strategik penganjuran program ini mendapat tajaan daripada Gerakan GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) BANTU dan Yayasan TM. Kursus ini bertujuan mempersiapkan kakitangan UTM yang aktif dalam aktiviti kesukarelawanan, khususnya dalam misi bantuan pascabencana. Program ini menjadi sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan keupayaan UTM Prihatin dalam menangani cabaran penugasan pascabencana.

UTM Prihatin ditubuhkan hasil kerjasama antara Pusat Islam UTM, Bahagian Pengurusan Organisasi (BPO), Jabatan Pendaftar, serta Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Usaha ini bertujuan memastikan perancangan sukarelawan di kalangan staf UTM lebih tersusun dan berstruktur, sekali gus memantapkan lagi peranan UTM dalam aktiviti khidmat masyarakat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah NADMA, Hussain Moh berkata, “Apabila berlaku bencana, kita tidak boleh bergantung kepada satu agensi sahaja, tetapi perlu ada ‘A Whole of Society Approach‘. Kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor swasta, serta syarikat-syarikat perlu mengetahui peranan masing-masing, dan sukarelawan akan lebih teratur dengan garis panduan yang ditetapkan selepas menjalani latihan.”

Presiden NADIM, Roslan Ab Ghani sewaktu ditemu bual turut menyarankan penglibatan pengkaji semasa operasi bantuan bencana. Beliau juga mencadangkan penubuhan disaster forensic, yang melibatkan pakar-pakar dari UTM untuk membantu mengenal pasti punca bencana. Program ilmiah dan berstruktur seperti ini memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan, perancangan awal, serta etika bantuan pascabencana di institusi awam.

Dalam pada itu, peserta yang berjaya menamatkan Kursus Asas Sukarelawan (ASAS 101) ini berpeluang melanjutkan latihan melalui Kursus Latihan Lanjutan Sukarelawan Siaga Bencana (LANJUTAN 201), yang berfokus kepada Operasi Lapangan dan Komunikasi Risiko. Di samping itu, peserta juga boleh mengikuti Kursus Kepimpinan Sukarelawan (LEADERSHIP 301), yang bertujuan memperkasa pasukan sukarelawan.

image
Peserta yang terlibat dalam kursus pengenalan asas sukarelawan

Kursus ini diharapkan menjadi projek rintis yang bakal diperluaskan ke peringkat nasional dalam usaha memperkukuhkan kesediaan pasukan sukarelawan di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta. Program yang mendapat tajaan Yayasan TM sebanyak RM90,000 ini dilaksanakan dengan harapan dapat dipanjangkan kepada pelbagai agensi seperti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), serta Agensi Pengurusan Bencana Negara melalui RAKAN NADMA dengan menjemput wakil-wakil agensi sebagai pemerhati untuk mendapatkan maklum balas ke arah penambahbaikan modul latihan dan pengiktirafan program.

Menurut Pengarah Yayasan TM, Pn. Ainol Shaharina Sahar, “UTM mempunyai potensi yang sangat tinggi dengan tenaga pengajar dan ahli kajian yang berkemampuan mengenal bencana, satu bidang kajian yang boleh membantu dari segi kesiapsiagaan. Program seperti ini akan diteruskan untuk memberi pendidikan dan latihan selaras dengan visi dan misi yang menyokong usaha-usaha murni ini.”

Tambah beliau lagi, “Yayasan TM yang ditubuhkan pada tahun 1994, dan kini sudah berusia 30 tahun, mula memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti dan negara sejak 2021. Kami bersedia memberikan panduan kepada sukarelawan untuk memperkasakan kesiapsiagaan dalam kalangan masyarakat, komuniti, sekolah dan universiti berkaitan tindak balas bencana dengan lebih berkesan.”

image
Dari kiri, En. Roslan Ab Ghani, Pn. Ainol Shahrina, Prof. Dr. Edy Tonnizam, En. Hussain Moh, dan Datin Azura Ibrahim
image
Bersama barisan ahli jawatankuasa

Turut hadir dalam majlis ini, Datin Azura Ibrahim, Ketua Pengarah Eksekutif Red A, Humanitarian Development Global; Datin Noorul Syifa Mohd Isa, Ketua Unit Pembangunan Komuniti & Negara, Yayasan TM; Prof. Dr. Zainura Zainon Noor, Pengarah Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air (IPASA UTM); serta Dr. Nor Eliza Alias, Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) merangkap Pengurus Program Kursus Pengenalan Asas Sukarelawan UTM Prihatin bagi Misi Bantuan Kemanusiaan.

Explore More