September 17, 2024

Search
Close this search box.
PTM

Tekad Malaysia MADANI semarak semangat kerja peserta PTM UTM

JOHOR BAHRU, 5 Sept. – Bertemakan “TEKAD Malaysia MADANI”, seramai 83 orang staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah hadir dengan jayanya dalam Program Transformasi Minda (PTM) Bil.22 Siri 1/2024  yang diadakan selama lima hari, bermula 18 sehingga 23 Ogos 2024 di Dewan ISES, Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD) UTM.

Program ini merupakan salah satu syarat wajib dalam proses pengesahan jawatan perkhidmatan awam. Terdapat 10 modul khusus yang disampaikan oleh para penceramah di kalangan staf akademik dan Pengurusan Profesional dan Pelaksana (PPP) UTM bagi memberi pendedahan kepada staf baharu berkaitan konsep kenegaraan, prinsip dan falsafah pembentukan negara, sistem pentadbiran kerajaan, nilai patriotisme serta peraturan-peraturan asas perkhidmatan awam. Objektif program ini selari dengan hala tuju UTM dalam memupuk keperibadian dan jati diri yang perlu ada dalam diri setiap warga universiti iaitu Integriti (Integrity), Sinergi (Synergy), Kecemerlangan (Excellence) dan Kelestarian (Sustainability) atau ISES.

Selain sesi ceramah yang berlangsung pada waktu siang, komitmen dan kemahiran generik para peserta PTM turut dinilai dalam aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Aktiviti ini telah dikendalikan oleh 11 fasilitator di kalangan staf UTM yang berpengalaman dengan bantuan urusetia CTLD.

WhatsApp Image at AM
Barisan fasilitator dan urusetia PTM bergambar bersama Naib Canselor UTM

“Sebagai staf baharu UTM, saya teruja dapat belajar melalui sesi perkongsian ilmu dengan staf UTM yang senior dan berkaliber dalam bidang perkhidmatan masing-masing. Kami juga dapat memperkukuh elemen sinergi yang strategik antara staf akademik dan PPP bagi menyokong aspirasi ISES UTM”, ujar Dr. Mohd Ruzaini bin Che Zahari, Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) selaku Penghulu yang dilantik secara sebulat suara oleh para peserta PTM kali ini.

Majlis pembukaan telah dirasmikan oleh Profesor Datuk Ir. Ts. Ahmad Fauzi bin Ismail, Naib Canselor UTM. Di samping itu, Prof. Datuk Ahmad Fauzi telah  mengadakan sesi engagement khas dengan peserta PTM dan turut merasmikan penjenamaan semula nama ruang utama di CTLD iaitu Dewan Utama kepada ISES Hall dan semua Bilik Seminar kepada Integrity Room, Synergy Room, Excellence Room, Sustainability Room dan Talent Room.

launch
Majlis Perasmian PTM yang telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM dengan disaksikan oleh Pendaftar UTM

Majlis Penutup PTM telah disempurnakan perasmiannya oleh Dr. Dina Azleema binti Mohamed Nor, Timbalan Pendaftar, Jabatan Pendaftar pada 23 Ogos 2024. Program ini diharapkan dapat membentuk jati diri staf dalam aspek keterampilan, penerapan nilai budaya kerja cemerlang dengan minda kelas pertama bagi mewujudkan sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap serta berkesan.

Perincian Hadiah PTM Bil Siri Penutup
Senarai nama para peserta PTM yang diraikan dalam acara penyampaian hadiah
faez
En. Muhammad Faez bin Md. Kamil, Peserta Terbaik (Lelaki)
Dr Nuraqilah
Dr. Nuraqilah Nadjwa binti Miskam, Peserta Terbaik (Wanita) dan juga Penghuluwati

Explore More