JOHOR BAHRU, 28 Sept – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan sistem pendaftaran pelajar baharu secara digital sepenuhnya bagi sesi akademik 2024/2025 melalui platform e-Daftar. Inisiatif ini bertujuan memberikan kemudahan serta pengalaman pendaftaran yang lebih lancar kepada pelajar. Sistem ini merupakan hasil penambahbaikan berterusan sejak diperkenalkan pada 2021 semasa pandemik COVID-19, menggantikan proses pendaftaran manual kepada kaedah dalam talian.
Menurut Encik Mohd Zaires Md Daris, Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pengurusan Akademik (BPA) Jabatan Pendaftar, perubahan ini adalah sebahagian daripada usaha UTM dalam mentransformasikan pengalaman kampus pelajar di era digital. “Sistem ini dibangunkan secara dalaman oleh UTMDigital dengan sokongan pasukan BPA serta beberapa jabatan lain seperti Unit Residen Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dan Bahagian Keselamatan. Kerjasama turut diberikan oleh Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Jabatan Bendahari dan SPACE UTM,” jelas beliau.
“Pelaksanaan e-Daftar ini sangat memudahkan, terutamanya bagi pelajar antarabangsa yang dapat menyelesaikan proses pendaftaran sebelum tiba di kampus. Bagi pelajar tempatan pula, penambahbaikan sistem ini membolehkan dokumen peribadi dimuat naik secara digital tanpa perlu membawa dokumen fizikal pada hari pendaftaran. Pelajar hanya perlu memuat naik dokumen ke dalam e-Daftar untuk disemak dan disahkan, manakala gambar pelajar pula akan disemak oleh AI Photo Checker. Setelah pendaftaran disahkan, pelajar akan menerima UTMID dan kod QR untuk akses ke bilik penginapan mereka,” tambah beliau.
Kelebihan lain sistem ini termasuk pengurangan kesesakan di kolej penginapan kerana pelajar hanya perlu mengimbas kod QR untuk mendapatkan kunci bilik tanpa perlu beratur panjang. Selain itu, integrasi aplikasi UTMSmart membolehkan pelajar menguruskan status pendaftaran melalui telefon pintar mereka sahaja.
“Dengan pelaksanaan e-Daftar, proses pendaftaran pelajar baharu kini sepenuhnya secara digital. Penambahbaikan ini bukan sahaja memudahkan pelajar tetapi juga mempercepat proses kerja staf yang menguruskan pendaftaran pelajar. Reka bentuk laman web e-Daftar yang baru juga lebih menarik dan mesra pengguna,” ujar Encik Mohd Zaires lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan teknikal UTMDigital atas komitmen mereka dalam penambahbaikan sistem ini. UTM juga menyediakan sokongan teknikal di UTM Campus Connect Hub (UTM CCH) di Blok F54 untuk membantu pelajar yang menghadapi masalah semasa proses pendaftaran. UTM komited untuk terus meningkatkan proses yang melibatkan pelajar bagi memastikan pengalaman kampus yang terbaik.
Pelajar baharu yang mendaftar turut memberikan maklum balas positif, termasuk mereka yang menyambung pelajaran dari diploma di UTM Kuala Lumpur (UTMKL) serta pelajar yang pertama kali menjejakkan kaki ke universiti. Adam Aqil dan Muhammad Haikal, pelajar UTMKL yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang Geomatik berkata, “Proses pendaftaran sangat memudahkan. Keseluruhannya berjalan lancar, pembayaran yuran juga mudah melalui UTMSmart, dan maklum balas diterima dengan cepat sebaik sahaja dokumen dimuat naik.”
Muhammad Aiman Sanny dan Muhammad Zafran, pelajar baharu dalam jurusan Senibina pula menyatakan, “e-Daftar memudahkan pengurusan dokumen secara automatik dalam UTMSmart. Setakat ini, prosesnya cepat dan mudah, seperti hari ini, kami hanya perlu imbas kod QR dan selesai.”
Dengan pelaksanaan e-Daftar, pelajar tidak lagi perlu mendaftar secara manual di kaunter, namun kehadiran fizikal tetap diperlukan untuk merasai kemeriahan sambutan pendaftaran seperti tahun-tahun sebelumnya. Diharapkan agar kerjasama dan komitmen ini diteruskan bagi memastikan proses pendaftaran kekal mudah dan efisien.