BACHOK, 8 Sept. – Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Pelestarian Kampus UTM (UTMCS) Kuala Lumpur dan Badan Kebajikan Staf UTM (BAKES), telah menganjurkan program khidmat masyarakat di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Marak, Bachok, Kelantan dari 6 hingga 8 September 2024. Program selama tiga hari ini bertujuan memberikan sokongan kepada pengawas pusat sumber sekolah, khususnya murid Tahap 2, serta membina kerjasama dalam memantapkan pengurusan pusat sumber sekolah.
Program turut dihadiri oleh Profesor Ir. Dr. Abd Latif Saleh, Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), yang menyokong aktiviti komuniti ini sebagai respons kepada permintaan Prof. Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed, Ahli Lembaga Pengarah UTM, untuk memperindah dan menjalankan aktiviti khidmat masyarakat di sekolah tersebut.
Sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni komuniti setempat, program ini memfokuskan kepada pembangunan sudut bacaan UTM Reading Station di Pusat Sumber SK Bukit Marak serta menganjurkan program literasi maklumat kepada pelajar-pelajar sekolah. Aktiviti ini selaras dengan konsep kelestarian kampus yang melibatkan masyarakat luar, memperluas peranan sosialnya serta mewujudkan hubungan yang lebih erat antara universiti dan masyarakat. Program ini juga menyokong Agenda 2030 untuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya SDG 4 (Kualiti Pendidikan) dan SDG 17 (Rakan Kerjasama untuk Matlamat).
Empat orang staf dari Perpustakaan UTM Kuala Lumpur terlibat dalam program ini, termasuk dua Pustakawan Kanan, iaitu Pn. Sharifah Radhiah Syed Azman, dan Pn. Sharifah Ezathul Imma Syed Zainal Abidin, serta dua orang Pembantu Pustakawan, En. Ahmad Khairu Mahfuz Mamat dan En. Muhammad Hanis Rahim. Beberapa aktiviti telah dirangka oleh Perpustakaan UTM kepada Pusat Sumber sekolah tersebut.
Pada hari Sabtu, program dimulakan dengan pembangunan sudut UTM Reading Station, iaitu produk penjenamaan oleh Perpustakaan UTM sebagai ruang program membaca. Pada masa yang sama, pustakawan memberikan perkongsian ilmu kepada Pn. Norhayati Rasid, Guru Pusat Sumber sekolah, mengenai kaedah pengelasan bahan serta penggunaan Sistem Katalog Atas Talian (OPAC) Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bagi memudahkan pengurusan bahan-bahan bacaan.
Pada hari Ahad, Program Literasi Maklumat yang menjadi teras utama bermula pada jam 8.30 pagi, dan program ini dihadiri oleh 40 orang pengawas pusat sumber Tahap 2. Para peserta menunjukkan minat dan komitmen penuh sepanjang sesi. Sesi pertama dikendalikan oleh Pn. Sharifah Radhiah, yang berkongsi mengenai tugas dan kerjaya sebagai pustakawan, serta memberi pendedahan tentang literasi maklumat dan digital yang sangat penting dalam dunia pendidikan hari ini. Sesi seterusnya disampaikan oleh Pn. Sharifah Ezathul Imma, yang menerangkan secara terperinci mengenai pengelasan subjek, cara menyusun buku dengan betul, serta kaedah pengurusan pusat sumber yang lebih sistematik. Soal selidik sebelum dan selepas sesi turut diberikan kepada pelajar bagi menilai kefahaman mereka terhadap kandungan program.
Acara kemuncak program adalah penyerahan Sudut Bacaan UTM Reading Station kepada pihak sekolah, yang disempurnakan oleh Profesor Ir. Dr. Abd Latif Saleh dan Prof. Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed kepada En. Che Hasnan Che Mud, Guru Besar SK Bukit Marak. Perpustakaan UTM Kuala Lumpur turut menyumbangkan bahan bacaan bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) bagi membantu pelajar memperluas pengetahuan mereka dalam bidang-bidang penting yang relevan dengan perkembangan teknologi dan pendidikan moden.
Program khidmat masyarakat ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengawas pusat sumber sekolah, malah turut membantu memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan perpustakaan dalam usaha memupuk semangat cintakan ilmu dan literasi maklumat di kalangan generasi muda.