November 22, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at AM

Program Laungan Merdeka BPA: JTNCP pupuk semangat patriotisme di kalangan staf

JOHOR BAHRU, 1 Sept. – Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah menganjurkan Program Laungan Merdeka pada 1 September 2024, sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67. Program ini diilhamkan oleh Pengerusi BPA, Prof. Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa dan diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail bersama Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, pegawai kanan, serta staf.

Program dimulakan dengan perarakan yang dipimpin oleh Prof. Datuk Ahmad Fauzi, bermula dari Laman BPA menuju ke Foyer Kompleks BPA. Sepanjang perarakan tersebut, peserta mengibarkan bendera Jalur Gemilang dengan penuh semangat, sambil melaungkan ‘Merdeka!’.

WhatsApp Image at AM

Setibanya di kompleks BPA, Prof. Datuk Ahmad Fauzi memberikan ucapan yang menekankan kepentingan semangat patriotisme, dedikasi dalam perkhidmatan, serta pengurusan aset negara dengan amanah dan integriti. Ucapan beliau menggariskan peranan setiap individu dalam membina negara yang kukuh dan bersatu, dengan semangat yang perlu diteruskan dalam tugas harian demi kemajuan negara.

Program ini berjaya memupuk semangat kebangsaan dan mempereratkan ukhuwah di kalangan warga kerja BPA. Para peserta menunjukkan kegembiraan dan komitmen yang tinggi sepanjang acara, yang berakhir dengan laungan ‘Merdeka!’ oleh semua yang hadir. Acara ini tidak hanya merayakan kemerdekaan, tetapi juga mengingatkan tentang tanggungjawab setiap individu dalam memelihara keamanan dan kemajuan negara.

WhatsApp Image at AM
Prof. Datuk Ahmad Fauzi sedang memberikan ucapan dengan penuh semangat

Keseluruhan acara berjalan lancar dan mencapai objektifnya untuk menggalakkan semangat patriotisme dan cinta akan tanah air dalam kalangan warga kerja BPA. Dari sudut Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), program ini menyokong beberapa matlamat yang penting. Antaranya ialah SDG 4, Pendidikan Berkualiti, yang mempromosikan pendidikan mengenai sejarah negara, patriotisme, dan nilai-nilai kemerdekaan. Ini penting dalam mendidik warga kerja mengenai pemeliharaan sejarah dan warisan negara.

WhatsApp Image at AM ()
Program Laungan Merdeka dihadiri oleh staf-staf BPA, JTNCP

Program ini juga relevan dengan SDG 16, Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh , melalui penekanan kepada pengurusan aset negara dengan amanah dan integriti. Pengurusan yang berintegriti adalah asas kepada institusi yang berkesan, bertanggungjawab, dan telus, yang penting bagi keamanan dan pembangunan negara.

Selain itu, SDG 17, Kerjasama untuk Mencapai Matlamat, juga disokong melalui promosi kerjasama dan perpaduan di kalangan staf BPA, yang penting untuk memastikan keberkesanan organisasi dalam mencapai matlamat pengurusan aset negara yang mampan.

Jurufoto: Qamaruzaman

Explore More