Oktober 11, 2024

Search
Close this search box.

Rakyat Malaysia kini berada di sebuah persimpangan yang getir. Perkembangan dunia berlaku dengan kadar yang sangat pantas, berbeza dengan beberapa ketika dahulu, lebih-lebih lagi dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI). Ada banyak pertimbangan baharu yang perlu kita ambil dalam mendidik, mentadbir dan membina generasi, agar terus mampan dan teguh pendiriannya dalam mendepani masa hadapan yang lebih mencabar.

Konsep Malaysia MADANI yang diilhamkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia, bukan sekadar slogan, bahkan meliputi aspirasi yang lebih holistik, bagi membina sebuah negara yang berpaksikan keadilan, ihsan dan kemajuan. Gagasan ini merupakan cita-cita para pemimpin yang mengasaskan negara kita suatu ketika dahulu agar kita bekerja keras untuk membangunkan sebuah negara baharu yang diinspirasikan menerusi idea keadilan dan kebebasan sementelah menjadi suar harapan dalam dunia yang hingar dan terganggu. Maka, bagaimana kita ingin menghubungkan asas bernegara yang teguh dibina dari masa lepas, dan berpaksi masa depan yang lebih bermakna untuk diwarisi pada generasi seterusnya?

Jawapannya terletak pada Jiwa Merdeka (an independent soul) dalam kalangan masyarakat, baik pemimpin, pekerja mahupun pelajar. Jiwa yang merdeka adalah jiwa yang menyedari bahawa sebagai insan, kita perlu membebaskan cara fikir, cara amal dan cara berkomunikasi dalam berurusan di setiap peringkat. Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa jiwa yang merdeka bukan sahaja mempunyai cara berfikir yang jelas, namun memaknai sesebuah situasi daripada pelbagai perspektif agar kelak dapat menghasilkan pemerhatian yang adil lagi menyeluruh agar tindakan yang kita laksanakan memberikan kebaikan kepada orang sekeliling. Dalam masa yang sama, dari sudut berasingan, kita harus akui bahawa jiwa yang merdeka akan mengenal pasti keterbatasan dan kemampuan supaya dapat beradaptasi dengan lebih holistik seiring dengan kepantasan peredaran pengetahuan (rapidness of knowledge movement).

Ini semua dicakupi sistem nilai yang kita cuba praktikkan dalam konteks Malaysia MADANI. Kita diajar konsep ihsan, yang seharusnya membawa kita ke suatu aras yang lebih tinggi dalam mempertingkat kesungguhan dalam usaha menyempurnakan mutu penyampaian perkhidmatan (improving the quality of service delivery) kepada pemegang taruh yang terlibat. Dalam masa yang sama, konsep ihsan akan turut mendorong kita untuk menuntut ilmu secara berterusan dalam melaksanakan amanah sebagai seorang pendidik, pentadbir, pemimpin mahupun pelajar. Konsep ihsan ini pada akhirnya akan bertindak sebagai suatu faktor penolak (pushing factor) untuk seseorang melakukan sesuatu dengan keazaman untuk melakukannya dengan mutu yang lebih tinggi dan memberikan nilai tambah kepada insan di sekelilingnya.

Julai tahun lalu Perdana Menteri telah meluncurkan kerangka Ekonomi MADANI yang menggariskan keazaman bagi menaikkan ‘siling dan lantai’, simbolik kepada cita-cita menerajui ekonomi Asia dan meningkatkan darjat kehidupan rakyat. Ini turut disusuli beberapa kerangka yang lainnya, seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). NIMP2030 mengambil pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach) bagi mendepani kerumitan ekonomi, manakala NETR pula menzahirkan cita-cita kerajaan dalam menawarkan solusi terhadap trilema tenaga – keselamatan, mampu milik dan kemampanan. Ini memaknai semangat ihsan yang terangkum dalam prinsip MADANI, di mana pertimbangan ke atas ihsan memberikan perhatian terhadap keperluan melakukan sesuatu yang benar dan bermanfaat (right and beneficial). Fokus ke atas penggunaan tenaga boleh diperbaharui umpamanya adalah selari dengan tanggungjawab insan memakmurkan bumi ini dengan usaha-usaha yang mampan (sustainable).

Selain itu, dalam mewariskan Malaysia yang bermakna untuk generasi seterusnya, terdapat kepentingan untuk kita memberikan perhatian pada peri pentingnya perpaduan dalam negara yang berbilang kaum. Latar belakang, bahasa pertuturan dan komuniti yang membesar bersama kita menjadi antara faktor yang membentuk persepsi kita terhadap kehidupan bernegara. Namun, dalam perbezaan-perbezaan ini, ada sistem nilai yang perlu untuk kita junjung bersama supaya kesan limpahnya memberikan manfaat terhadap seluruh ekosistem bernegara di Malaysia. Perpaduan kaum adalah sebahagian dari kekuatan kita yang terutama. Melaluinya, kita memperakui bahawa kewujudan kita sebagai insan  mempunyai peranan yang tersendiri untuk saling melengkapi akan kelebihan dan kekurangan yang ada. Sebagai seorang Muslim, kita turut diingatkan oleh Allah SWT sebagaimana dalam Surah al-Hujurat (49) ayat 13 yang bermaksud:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Ekonomi yang mampan dan perpaduan yang utuh akan membentuk kekuatan bagi Malaysia untuk mempengaruhi dinamik rantau negara ahli Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Menuju Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, kita perlu mengunjurkan supaya prinsip-prinsip yang membangunkan Malaysia boleh dijadikan sebagai teladan dan model kepada rantau ini. Kepengerusian ini akan menjadi platform bagi Malaysia menampilkan kepimpinan dalam ketidaktentuan global pasca-pandemik dan pergeseran geopolitik yang mencabar. Gambaran yang perlu kita sama-sama ukir di persada global adalah bagaimana bangsa Malaysia yang menjadi sebahagian daripada ASEAN memainkan peranan yang besar dalam memberikan pengaruh positif pada rantau ini, untuk membentuk sebuah zon bebas dan berkecuali bagi memacu kemakmuran dunia secara keseluruhannya.

Selain pemimpin, dunia akademik turut mempunyai peranan yang besar bagi menyempurnakan cita-cita ini. Pentadbir, pendidik dan mahasiswa masing-masing mempunyai peranan yang unik dalam mencorak cara fikir yang berpaksikan rasa ingin tahu bagi membina nilai yang lebih bermakna supaya kelak generasi seterusnya boleh menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan. Life is a gift – kehidupan adalah suatu hadiah yang besar, untuk kita mengoptimumkan peluang dan ruang agar dapat menyumbang dengan kemampuan kita dalam mengangkat martabat kemanusiaan ke suatu tahap yang lebih tinggi.

 

Oleh Prof. Ts. Dr. Ali bin Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Teknologi Malaysia selain menyandang jawatan Felo Akademi Profesor Malaysia.

Explore More