Disember 22, 2024

Picture

Negara kita telah mencatatkan sejarah perjuangan yang panjang dan penuh berliku bagi mendapatkan kemerdekaan. Kemerdekaan Malaysia diperoleh hasil dari perjuangan pelbagai golongan termasuk pelajar dan mahasiswa yang pada waktu itu turut memainkan peranan dalam gerakan kebangsaan. Semangat kebebasan inilah perlu menjadi asas kepada jiwa merdeka setiap rakyat Malaysia terutama golongan mahasiswa. Jiwa Merdeka bukan hanya bermaksud bebas dari penjajahan secara fizikal tetapi juga dari segi pemikiran, kebebasan bersuara dan keberanian untuk membawa perubahan.

Kemerdekaan Malaysia yang dicapai pada 31 Ogos 1957 bukan sekadar detik pembebasan daripada penjajahan tetapi juga membawa simbol kebebasan, maruah dan keinginan untuk membina sebuah negara yang berdaulat dan berwawasan. Tahun berganti tahun, para pemimpin dan pentadbiran silih berganti melengkapkan angka 67 tahun kemerdekaan.

Malaysia MADANI sebagai satu kerangka ekonomi dan sosial yang berteraskan nilai-nilai kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan sejagat dibentuk bagi meneruskan agenda mengisi kemerdekaan.

Konsep Malaysia MADANI bukanlah suatu yang asing kerana ia selari peredaran zaman dan perkembangan peradaban melibatkan pelbagai perubahan dan penambahbaikan. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia melengkapkan lagi roh dan jiwa kemerdekaan yang ada dalam diri rakyat Malaysia yang sentiasa mendambakan sebuah negara yang makmur dan adil. Dalam konteks moden, semangat dan jiwa merdeka ini perlu diterjemahkan dalam pelbagai bentuk termasuk dalam diri dan peranan insan bergelar mahasiswa.

Picture
Ambisi Semarak Remaja 2024 di SMK Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu (KOMSTAR) (Sumber: Facebook UTM Student Affairs)

Melalui jalur pendidikan, jiwa merdeka dalam diri mahasiswa akan lebih mudah difahami dan diterjemahkan. Hal ini kerana melalui pendidikan yang inklusif dan berteraskan nilai-nilai MADANI, generasi muda terutama golongan mahasiswa dapat dibentuk dengan jiwa yang merdeka dan minda yang kritis. Ia adalah sejajar dengan semangat kemerdekaan yang menuntut rakyat untuk bebas dalam berfikir dan bertindak serta berani untuk menyuarakan kebenaran.

Pendidikan dalam kerangka Malaysia MADANI juga bertujuan untuk melahirkan individu yang bertanggungjawab dan berupaya menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan negara, sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang telah dibentuk sejak era tahun 80-an tatkala YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan ketika itu.

Melalui pendidikan, kualiti individu yang seimbang rohani dan jasmani akan dapat dipacu memandangkan pendidikan dan konsep MADANI adalah bersinergi antara satu sama lain.

Maka, di tengah-tengah usaha ini, mahasiswa dilihat memainkan peranan yang amat penting sebagai agen perubahan dan pemangkin kepada pembangunan sesebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Mahasiswa perlu berperanan aktif dan menggembeleng tenaga dalam konteks Malaysia MADANI dengan turut sama menekankan jiwa merdeka yang perlu ada dalam diri untuk menghadapi cabaran pada masa kini dan masa hadapan.

Bagi membentuk sebuah masyarakat yang adil dan harmoni, Malaysia MADANI telah membawa satu visi yang mengintegrasikan aspek-aspek sosial, politik dan ekonomi. Dalam konteks ekonomi, kerangka Ekonomi MADANI mengutamakan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial. Ia menekankan kepentingan pembangunan yang inklusif yang mana semua lapisan masyarakat dapat merasai limpahan manfaat dari pertumbuhan ekonomi negara.

Konsep ini juga menggalakkan penglibatan aktif semua pihak termasuk mahasiswa dalam pembangunan negara. Hal ini kerana mahasiswa merupakan golongan intelektual yang memiliki potensi besar untuk membawa hala tuju negara.

Picture
UTM Summer School TechnoXperience (Sumber: Facebook School of Undergraduate Studies)

Dalam kerangka Malaysia MADANI, mahasiswa berperanan sebagai pemimpin masa hadapan yang beradab, bijaksana dan berhikmah. Mereka perlu mengambil inisiatif untuk mendalami isu-isu semasa dengan menyuarakan pandangan yang konstruktif dan sentiasa terlibat secara aktif dalam perbincangan, keputusan dan tindakan yang membawa kebaikan kepada masyarakat.

Picture
Parlimen Mahasiswa (Sumber: Majlis Perwakilan Pelajar)

Sejarah telah mencatatkan pada akhir 1960-an dan awal 1970-an, gerakan mahasiswa di Malaysia memainkan peranan penting dalam politik dan sosial negara. Mahasiswa pada masa itu sangat aktif dalam menyuarakan isu-isu yang melibatkan ketidakadilan sosial, hak asasi manusia dan kepincangan ekonomi.

Sebagai contoh, mereka terlibat dalam protes sosial dan ekonomi seperti peristiwa Baling pada tahun 1974 yang mana mahasiswa bersama-sama penduduk tempatan memprotes keadaan hidup yang teruk dan harga barang yang melambung tinggi.

Selain itu, mereka juga terlibat dalam gerakan-gerakan yang bersifat politik dan menjadi aktivis politik termasuk menyuarakan kritikan terhadap dasar-dasar kerajaan dan menggalakkan reformasi politik. Gerakan-gerakan ini menimbulkan kebimbangan kepada pihak kerajaan yang melihat aktivisme mahasiswa sebagai ancaman kepada ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Oleh itu, pada tahun 1971, kerajaan telah memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk mengawal penglibatan mahasiswa dalam politik dan memastikan institusi pengajian tinggi beroperasi dalam suasana yang lebih terkawal dan teratur.

Sejak pengenalannya, AUKU menerima kritikan yang signifikan terutamanya daripada golongan akademik dan mahasiswa. Mereka berpendapat bahawa AUKU menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan berpersatuan mahasiswa. Selepas beberapa dekad, desakan untuk meminda AUKU semakin kuat seiring dengan perubahan landskap politik dan sosial negara.

Akhirnya, pada tahun-tahun kebelakangan ini, beberapa pindaan dilakukan untuk memperbaharui AUKU. Kini, AUKU baharu ini lebih banyak memperuntukkan kebebasan kepada mahasiswa termasuk kebebasan bersuara dan hak untuk terlibat dalam aktiviti politik dan sosial selaras dengan perkembangan zaman dan tuntutan demokrasi yang lebih matang.

Jika dilihat dari sudut yang positif, ini adalah satu peluang keemasan bagi mahasiswa untuk menunjukkan jiwa merdeka yang sebenar kerana mereka dapat menyatakan pendirian dengan penuh keberanian dan tanggungjawab.

Namun, dengan kebebasan ini pastinya akan terselit cabaran untuk memastikan bahawa suara dan idea yang dilontarkan adalah beradab, bijaksana dan berhikmah selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Picture
Bacaan Ikrar Bagi Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Batu Pahat oleh saudara Muhammad Aliff Izzat bin Mistam, Jurusan Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (Sumber: Facebook UTM Student Affairs)

Kebebasan bersuara tanpa disiplin dan tanggungjawab boleh membawa kepada anarki dan ketidakstabilan. Oleh itu, mahasiswa perlu bijak mengurus kebebasan yang mereka miliki dengan berpegang kepada nilai-nilai adab, bijaksana dan berhikmah. Suara yang dilontarkan bukan sahaja perlu membina tetapi berasaskan fakta dan analisis yang mendalam.

Dalam erti kata lain, kebebasan yang diperoleh harus digunakan untuk tujuan yang positif bukan untuk memecahbelahkan masyarakat atau mencetuskan ketegangan. Perkara ini penting untuk memastikan bahawa kebebasan bersuara yang dinikmati tidak disalahgunakan atau mengundang keburukan kepada masyarakat.

Mahasiswa juga perlu memupuk sikap bertanggungjawab dalam setiap tindakan yang diambil serta perlu mempertimbangkan kesan jangka panjang kepada negara dan generasi akan datang.

Sebagai mahasiswa yang beradab, bijaksana dan berhikmah, mereka perlu mengamalkan nilai-nilai adab, kebijaksanaan dan hikmah dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil. Mereka harus bijaksana dalam menilai situasi, mempertimbangkan pelbagai sudut pandangan dan membuat keputusan berdasarkan kepada prinsip-prinsip moral dan etika. Ini penting untuk memastikan bahawa kebebasan yang dinikmati tidak disalahgunakan tetapi sebaliknya digunakan untuk memajukan diri sendiri dan masyarakat.

Aspek kebijaksanaan atau hikmah ini melibatkan pengembangan keterampilan dan kapasiti pembelajaran yang lebih luas. Ia tidak hanya membantu mencapai tujuan pendidikan yang lebih holistik tetapi juga membentuk mahasiswa yang memiliki kesedaran moral, etika dan karakter yang kuat dalam menghadapi cabaran kehidupan yang akan menyumbang secara positif kepada masyarakat dan kebaikan umum.

Picture
Atlet Sukan MASUM UTM (Sumber: Facebook Majlis Perwakilan Pelajar)

Sebagai pemangkin kepada jiwa merdeka, mahasiswa perlu sentiasa berusaha untuk menjadi contoh teladan yang terbaik kepada masyarakat. Mereka perlu menggalas tanggungjawab untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat di luar sana tentang pentingnya nilai-nilai MADANI dalam mengekalkan sebuah negara yang adil, sejahtera dan berdaulat.

Melalui aktiviti berpersatuan, penyelidikan dan inovasi, mahasiswa dapat menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih inklusif dan berdaya tahan. Mahasiswa juga boleh mengambil ibrah dari petikan surah Al-Isra’ ayat 7 yang bermaksud:

“Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri”.

Oleh itu, sebagai mahasiswa MADANI yang berjiwa merdeka, mereka perlu sedar bahawa mereka adalah aset penting kepada negara. Dengan kebebasan yang diberikan oleh AUKU baharu, mahasiswa berpeluang untuk mengasah bakat kepimpinan mereka dan bersedia untuk mengambil alih peranan sebagai pemimpin masa hadapan.

Mahasiswa perlu mempersiap diri dan jiwa dengan ilmu dan kemahiran serta sentiasa mempunyai jiwa yang besar dan berhikmah dalam setiap tindak-tanduk yang mendatang. Melalui tindakan yang betul dan sikap yang positif, mahasiswa akan dapat menjadi pemangkin kepada pencapaian visi Malaysia Madani yang dicita-citakan

Ayuh mahasiswa! Masa depan negara ini terukir dalam semangat mu yang berani bermimpi dan berjuang. Dalam jiwa merdeka, tersemat harapan yang tiada batas dan dalam tindakan mu terbinanya jambatan ke arah masa depan yang gemilang.

Setiap langkahmu adalah nyala api perubahan dan setiap suaramu adalah gema kemerdekaan yang baru. Di tanganmu, kami serahkan masa depan negara. Ia adalah kanvas yang luas menunggu untuk dilukis dengan warna-warna kemajuan, keadilan dan kesejahteraan yang tiada tandingan.

Penulis merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Teknologi Malaysia

Explore More