Disember 22, 2024

WhatsApp Image at PM ()

Laman Kompos@Ladang Pendas: Amalan Rendah Karbon Anak Orang Asli

JOHOR BAHRU, 3 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Sekolah Ladang Pendas, Gelang Patah (SKLP) telah menganjurkan Program Laman Kompos@Ladang Pendas yang berfokuskan kepada amalan rendah karbon dengan menggunakan kaedah pengkomposan dikalangan anak-anak orang asli. Program ini adalah salah satu daripada projek di bawah geran IPRK4.0, bertujuan membudayakan amalan lestari demi merealisasikan hasrat menjadikan Iskandar Puteri sebagai sebuah bandar raya mampan dan sejahtera.

Amalan rendah karbon melalui kaedah pengkomposan di kalangan anak-anak orang asli merupakan inisiatif penting dalam mendidik golongan muda tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Pengkomposan adalah proses mengubah sisa organik seperti sisa makanan, daun kering, dan bahan-bahan semula jadi lain kepada kompos yang bermanfaat untuk tanah. Aktiviti ini bukan sahaja mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah, tetapi juga membantu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) seperti metana, yang terhasil daripada sisa organik yang mereput di tapak pelupusan.

Dengan melibatkan anak-anak orang asli dalam amalan ini, mereka dapat mempelajari teknik pengkomposan yang mudah serta menyumbang kepada usaha mengurangkan jejak karbon. Amalan ini juga sejajar dengan gaya hidup mereka yang rapat dengan alam semula jadi, di mana penggunaan sumber secara mampan sudah menjadi sebahagian daripada budaya mereka. Pengkomposan turut memberi manfaat kepada komuniti mereka dalam penjagaan tanah pertanian dan meningkatkan kesuburan tanah secara semula jadi, tanpa penggunaan baja kimia yang boleh merosakkan alam sekitar.

WhatsApp Image at PM
Tinjauan awal kesedaran amalan rendah karbon di kalangan murid SK Ladang Pendas

Ketua projek, Dr. Adjah Naqkiah Mazlan, berkata, inisiatif seperti pendidikan dan kesedaran awam seharusnya dipupuk dari peringkat sekolah lagi. Menurut beliau, “Tujuan utama kita pada fasa awalan ini adalah untuk memberi kefahaman kepada masyarakat, terutamanya anak-anak orang asli, mengenai kesan negatif pelepasan karbon serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkannya. Ini termasuk kempen kesedaran, program pendidikan di sekolah, dan bengkel komuniti mengenai gaya hidup hijau serta amalan mampan yang akan dijalankan oleh kumpulan kami pada peringkat seterusnya.”

Inisiatif-inisiatif ini, apabila diterapkan secara bersepadu, diharapkan dapat menyumbang kepada usaha global dalam mengurangkan perubahan iklim dan membentuk dunia yang lebih mampan. Selain itu, usaha menyediakan tapak pengkomposan dan tempat penyimpanan alatan yang strategik melibatkan pemilihan lokasi yang sesuai, reka bentuk tapak yang efisien, serta penyediaan tempat penyimpanan yang teratur dan dilindungi. Tapak pengkomposan harus berada jauh dari kawasan perumahan, mempunyai saliran air yang baik, mudah diakses, dan tidak mengganggu ekosistem. Alatan pengkomposan perlu disimpan dengan kemas dan terlindung untuk mengelakkan kerosakan, manakala kemudahan seperti paparan maklumat dan tempat mencuci alatan disediakan untuk memudahkan penggunaannya. Latihan dan kesedaran juga penting bagi memastikan penggunaan tapak yang berkesan dan berpanjangan.

WhatsApp Image at PM
Tapak laman kompos lama
WhatsApp Image at PM
Tapak pembajaan lama
WhatsApp Image at PM
Stor penyimpanan sedang dinaik taraf

Menerusi dana sebanyak RM10,000 yang diperolehi daripada Geran IPRK4.0 untuk projek Laman Kompos@Ladang Pendas ini, diharapkan ia dapat membantu usaha mewujudkan laman kompos yang baharu. Matlamat utama penyelidik adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran amalan rendah karbon di kalangan komuniti orang asli dan diperluaskan ke masa hadapan. Projek ini dijangkakan selesai pada Januari 2025, dan perancangan penyelidik UTM bersama pihak yang terlibat dirangka untuk diteruskan dalam tempoh 1 hingga 3 tahun bagi mengekalkan impak projek yang telah dilaksanakan.

WhatsApp Image at PM
Aktiviti pembersihan awal tapak baru
WhatsApp Image at PM ()
Mengukur tapak laman kompos baru

Program seumpama ini diharap mampu menjadi contoh untuk dilaksanakan secara lebih meluas di setiap sekolah, khususnya dalam komuniti orang asli, dalam usaha Johor mengadaptasi konsep kelestarian dalam pembangunan dan gaya hidup masyarakatnya sejajar dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030.

Menurut Dr. Adjah Naqkiah, penglibatan anak-anak orang asli dalam aktiviti pengkomposan bukan sahaja memupuk kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar, malah memberi mereka kemahiran baru yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian, sambil menyumbang kepada usaha global dalam mengurangkan pelepasan karbon.

Oleh Adjah Naqkiah Mazlan, Nur Fatihah Raimi, Mohamad Ikram Zakaria, Ahmad Ariff Zuhdi, Muhammad Alif Tajudin dan Souib Bin Hamat

Explore More