Disember 22, 2024

JOHOR BAHRU, 25 Sept – Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gelang Patah telah berjaya melaksanakan program inovatif bertajuk ‘Cabaran Inovasi dari Bahan Terbuang 2.0: Program Lestari Anugerah Alam Sekitar’ pada 24 dan 25 September 2024. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha KRP dalam menyokong agenda Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui inisiatif Minggu Sains Negara yang bertemakan “Kesihatan Planet”.

Program ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mohd Haizal Jamaludin, Pengetua KRP, dan dilaksanakan di Laman Herba PPKI, SMK Gelang Patah. Seramai 17 orang murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta 25 orang murid aliran perdana yang mengambil jurusan pertanian terlibat dalam program ini. Dengan bimbingan ketua fasilitator, Ts. Mohd Hazri Ishak, bersama pasukan pengajar yang terdiri daripada Dr. Farkhana Muchtar, En. Zamree Rahmat, En. Mohd Shahrizal Jamaluddin, En. Muhamad Firdaus Zainaluddin, En. Mohd Kamarul Ashraf Rahmat, En. Saffill Md Yassin, En. Hairunizat Sarian, En. Idres Anuar dan En. Mohd Haidi Samsuri, program ini mampu memberikan pendedahan langsung kepada peserta mengenai kelestarian alam sekitar melalui amalan kitar semula dan guna semula.

DSC
Para peserta tekun mendengar taklimat mengenai Kelestarian Alam Sekitar

Program selama dua hari ini menggabungkan aktiviti teori dan praktikal bagi memastikan para peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan, tetapi juga dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan sebenar. Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, mengaplikasikan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dalam kehidupan harian, serta memupuk kreativiti dan kemahiran melalui aktiviti kitar dan guna semula. Tema “Kesihatan Planet” menjadi asas program ini, dengan fokus inovasi terhadap penggunaan bahan terbuang seperti tayar kenderaan yang dijadikan pasu bunga hiasan.

Pada hari pertama, peserta diberi taklimat mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar terhadap kehidupan manusia. Murid-murid diberi pemahaman mendalam tentang bagaimana amalan kitar semula boleh membantu mengurangkan pencemaran serta mengekalkan kesihatan planet. Mereka kemudian terlibat dalam aktiviti hands-on dengan menghasilkan pasu tanaman daripada tayar terbuang, termasuk mereka bentuk, mencorak, dan menghias pasu tersebut, menjadikannya unik dan kreatif.

DSC
Para peserta memotong dan membentuk tayar terbuang untuk dijadikan pasu bunga hiasan

Hari kedua dimulakan dengan sesi pemurnian dan kemasan corak pada pasu yang dihasilkan. Para peserta diajar cara menyediakan media tanaman dan menanam pokok bunga dalam pasu yang mereka buat sendiri. Aktiviti ini bukan sahaja mengasah kemahiran pertanian mereka, tetapi juga mendidik mereka tentang tanggungjawab menjaga tanaman serta menghargai proses pertumbuhan semula jadi.

Peserta menggaul dan membancuh media tanaman mengikut sukatan yang ditetapkan

Program ini mencapai kemuncaknya dengan Majlis Perasmian Penutup di Balai Sejahtera, SMK Gelang Patah, yang dirasmikan oleh Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran SMK Gelang Patah, Pn. Kamariah Abdul Razak. Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan kerjasama antara SMK Gelang Patah dan UTM, serta berharap lebih banyak program pembangunan murid dapat dilaksanakan bersama pada masa akan datang. Turut hadir ialah GPK Pendidikan Khas, En. Mohd Najib Hashim; Penyelaras Program, Pn. Thevaletchumy a/p Nadarajan, serta beberapa guru PPKI lain.

Pada penghujung program, semua peserta menerima sijil penyertaan daripada MOSTI sebagai tanda penghargaan atas penglibatan mereka dalam aktiviti STEM bertemakan kelestarian alam sekitar. Sebagai tanda kenangan, sebanyak 10 naskhah buku modul panduan pembuatan pasu bunga daripada tayar terbuang telah diserahkan kepada pihak sekolah. Modul ini diharap dapat digunakan oleh generasi akan datang bagi menerapkan nilai kelestarian dalam kehidupan harian mereka.

WhatsApp Image at c
Pihak sekolah menerima 10 naskhah buku modul Pembuatan Pasu Bunga Dari Tayar Terbuang sebagai cenderamata dari pihak KRP

KRP komited untuk terus menyokong agenda kelestarian dengan menganjurkan lebih banyak program pendidikan yang menekankan pemeliharaan alam sekitar. Profesor Madya Dr. Mohd Haizal Jamaludin menyatakan bahawa program seperti ini penting dalam menyemai tanggungjawab terhadap alam sekitar di kalangan generasi muda. Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua yang terlibat dan berharap program ini menjadi pemangkin kepada inovasi kelestarian di masa hadapan.

WhatsApp Image at dac
Laman Tanaman Herba & Hiasan yang dibangunkan hasil daripada program yang dilaksanakan

Dengan kejayaan program ini, KRP dijangka akan terus menjadi peneraju dalam membawa agenda kelestarian alam sekitar ke dalam jiwa masyarakat setempat. Usaha ini bukan sahaja memberi impak kepada peserta, tetapi juga memberi manfaat kepada komuniti dalam menjaga kesihatan planet yang kita kongsi bersama.

Explore More