September 19, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at

Kolaborasi antarabangsa PIUTM dan USK perkukuh keilmuan Islam

JOHOR BAHRU, 8 Sept. – Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (PIUTM), dengan kerjasama Universitas Syiah Kuala (USK) dari Aceh, Indonesia, telah menganjurkan tiga program berimpak tinggi yang berpotensi mengharumkan nama kedua-dua universiti di peringkat antarabangsa . Program-program yang dianjurkan termasuk 1st International Conference on Islamic Management, Economic, Business and Entrepreneurship (IC-IMEBE 2024), University Social Responsibility (USR) Jaulah Ibrah Tsunami, dan Serambi Mekah.  Kesemua program ini berlangsung di sekitar kampus USK dan juga Banda Aceh.

Timbalan Pengarah PIUTM, Dr Naemah Hamzah berkata, “IC-IMEBE 2024 ialah seminar anjuran PIUTM dan Fakultas Ekonomi dan Bisnis USK Aceh, dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Majlis (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (JAHEIS). Seminar ini menawarkan peluang kepada ahli akademik, penyelidik, institusi pendidikan dan agama, jabatan kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu untuk berkolaborasi, bertukar pandangan, serta berkongsi pengalaman mengenai hasil kajian dalam bidang berkaitan pengurusan dan pentadbiran, ekonomi, agama dan sains sosial.”

Seminar dua hari ini, yang bermula 2 September 2024, telah dirasmikan oleh Rektor USK, Prof. Dr. Marwan. Antara pengucaptama Malaysia ialah Timbalan Mufti Johor, SS Dato’ Haji Ahmad Faisal Mohamed, Pendaftar UTM, Puan Hajah Nor Azizah Ismail,  dan Pengarah Pusat Islam UTM, Prof. Madya Dr. Ahmad Che Yaacob. Manakala pengucaptama dari USK, termasuk Prof. Dr. M. Shabri dan Dr. M. Adli.  Sesi Sidang Pleno pula melibatkan penyumbang dana IC-IMEBE 2024, iaitu Pengurus Kanan Unit Syariah & Antarabangsa PPZ-MAIWP, Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman, Pengerusi JAHEIS, Zuhaimi Abd Rahim, Ketua Pegawai Operasi Waqaf An-Nur Corporation Berhad, Mohd Bahrin Bakri, dan Ketua Badan Baitul Mal Aceh, Mohammad Haikal.

WhatsApp Image at
Seminar ini dirasmikan oleh Rektor USK, Prof. Dr. Marwan
WhatsApp Image at
Majlis perasmian IC-IMEBE 2024
WhatsApp Image at
Barisan panelis dalam IC-IMEBE 2024

“Sebanyak 34 kertas kerja telah berjaya dibentangkan sepanjang seminar ini. Antara resolusi seminar ialah memperkasakan wakaf melalui projek wakaf produktif yang mampu menjana keuntungan, dan tidak hanya memfokuskan kepada wakaf kebajikan dan keagamaan. Seminar juga membincangkan keperluan mewujudkan garis panduan piawai di bawah kawal selia kerajaaan untuk memperkasakan produk mikro Industri Kecil dan Sederhana (IKS) keluaran tempatan melalui strategi berkesan yang dapat meningkatkan kualiti produk, penggunaan platform digital, serta pemerkasaan nilai-nilai budaya tempatan,” tambahnya.

Garis panduan ini mampu menjadikan Johor Tahfiz Quality Assurance (JTQA) sebagai model dan rujukan. Tenaga penggerak utama bagi projek antarabangsa ini ialah Pengarah Persidangan, Dr. Naemah Hamzah, Ketua Kertas Kerja, Prof. Madya Dr. Nurazmallail Marni, Ketua Jaulah, Rahmawatulhusna Sokhipul Hadi dan Ketua USR, Amir Irsyad Saim, dengan sokongan staf PIUTM sebagai tenaga sokongan.

WhatsApp Image at
Program USR di sekitar Banda Aceh
WhatsApp Image at
Para perserta IC-IMEBE 2024 menunjukkan sijil penyertaan masing-masing

Explore More