JOHOR BAHRU, 10 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD) telah menganjurkan Kem Pengukuhan ISES Bil.2/2024 pada 3 hingga 4 September 2024 bertempat di Hutan Rekreasi UTM. Program ini merupakan signature CTLD, Jabatan Pendaftar, berbentuk team building, untuk melengkapkan ketersediaan kelompok bakat dan menerapkan nilai-nilai teras ISES iaitu Integriti (Integrity), Sinergi (Synergy), Kecemerlangan (Excellence), dan Kelestarian (Sustainability) dalam kalangan pentadbir UTM.
Seramai 32 orang peserta, terdiri daripada Pentadbir Akademik serta Pegawai Pengurusan dan Profesional Gred 48 dan ke atas, telah menyertai program ini. Program ini merangkumi Modul ‘Saya Sayang UTM’, modul baharu dan elemen tambahan untuk peserta di kalangan pentadbir mengenali UTM, serta pelbagai aktiviti seperti Kembara Berpasukan, Debat, Forum berkaitan Amanah dan Integriti, serta Perbincangan dan Simulasi Kajian Kes berkaitan Integriti. Program ini diketuai oleh Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Hussain, dan Ketua Fasilitator, Prof. Madya Ts. Dr. Abd Rahman Tamuri.
Program bermula dengan Modul ‘Saya Sayang UTM’, di mana peserta dibawa melawat ke Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI), Dewan Sultan Iskandar (DSI), Masjid Sultan Ismail (MSI), Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), dan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), fakulti pertama di UTM. Slot ‘Saya Sayang UTM’ ini telah diketuai oleh En. Arman Md Yasin yang juga fasilitator program.
Seterusnya, peserta berkumpul di Tasik UTM sebelum bergerak ke Hutan Rekreasi untuk sesi Ice-Breaking dan Kembara Berpasukan. Aktiviti Kembara Berpasukan ini melibatkan enam checkpoint dengan pelbagai cabaran seperti Memori Bersama, Kami Saintis, Selamatkan Semua, Cuba Teka, Satu Matlamat dan Bina Menara. Pada sebelah malam pula, peserta menyertai Forum ‘Kerja adalah Ibadah’ yang disampaikan oleh Dr. Mohd Nasir Masroom, diikuti dengan debat yang memfokuskan tajuk ‘Pengalaman vs Kompetensi’ & ‘Kepimpinan: Paksa atau Rela’ yang dikendalikan oleh Pn. Hartini Darsono. Penutup bagi hari pertama diteruskan dengan aktiviti Night Walk.
Pada hari kedua, aktiviti dimulakan dengan Qiam Berjemaah, Solat Subuh, tazkirah berantai dengan tajuk ‘Apa itu Amanah’, dan slot Praktikal Sinergi yang diketuai oleh En. Mohd Faizal Abd Latib. Program ini turut diserikan dengan kehadiran Pendaftar UTM, Pn. Nor Azizah Ismail, yang meyampaikan amanat berkenaan Nilai Teras UTM.
Kemuncak program ini adalah sesi Kajian Kes Integriti yang diketuai oleh En. Ahmad Adli Ghazali dan Pn. Raihan Abd Karim. Kajian kes ini merupakan kes sebenar yang telah diolah, kemudian diikuti dengan simulasi oleh para peserta. Peserta yang juga pentadbir di UTM perlu mengetahui cara untuk menguruskan isu-isu integriti yang banyak berlaku di UTM dengan merujuk kepada peraturan yang betul.
Sehubungan itu, objektif utama program dapat dicapai apabila pengenalan terhadap Nilai Teras ISES UTM, dengan fokus pada integriti dan amalan kerja cemerlang dapat didedahkan kepada semua peserta. Diharapkan agar nilai teras tersebut dapat diterapkan sebagai salah satu elemen dalam budaya kerja mereka sebagai pentadbir UTM. Sepanjang program, peserta berjaya memahami dan mengaplikasikan pendekatan ini, sekali gus menginstitusikan budaya ISES untuk meningkatkan keberkesanan kepimpinan mereka.