Disember 6, 2024

Search
Close this search box.

Kelestarian alam sekitar berjaya dipupuk melalui Merdeka Green Day

KUALA LUMPUR, 5 Sept. – Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (TNCPI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dengan bangganya telah melancarkan program ‘Merdeka Green Day’ di Kebun Bandar Sungai Bunus, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar dan dijadikan sebahagian daripada sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini.

Program ini dimulakan dengan senamrobik, disusuli dengan ucapan aluan oleh Pengurus Kelestarian, Puan Misastika binti Mislan, serta perasmian oleh Pengarah Pentadbiran, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Zaki bin Hassan. Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuklah penanaman pokok dan gotong-royong di kawasan kebun UTM.

image
Gimik perasmian oleh Pengarah Pentadbiran dan aktiviti gotong-royong bersama staf Pejabat TNCPI Kuala Lumpur

Selain itu, terdapat juga sesi ‘Trash to Cash’ yang dianjurkan dengan kerjasama SWCorp dan Alam Flora. Program yang menggalakkan amalan kitar semula serta pengurusan sisa ini mendapat sambutan positif daripada staf UTM Kuala Lumpur. Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, staf UTM Kuala Lumpur turut menyumbangkan pelbagai barangan terpakai dan minyak masak terpakai. Sebanyak 154 kg minyak masak terpakai telah berjaya dikumpulkan untuk proses kitar semula. SWCorp dan Alam Flora, selaku rakan strategik, telah menguruskan pengumpulan dan pemprosesan barangan tersebut. Inisiatif ‘Trash to Cash’ ini bukan sahaja membantu mengurangkan sisa, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula dan pengurusan sisa.

image ()
Ahli Jawatankuasa Kelestarian bersama wakil dari SWCorp dan Alam Flora

Kehadiran dan sokongan yang memberangsangkan daripada staf UTM Kuala Lumpur jelas menunjukkan komitmen mereka terhadap kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar. Program ini telah mencipta platform yang efektif untuk mendidik dan menggalakkan amalan mesra alam dalam kalangan komuniti kampus. Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas sumbangan mereka dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan dalam acara kelestarian akan datang.

Oleh Nurul Syuhada Ibrahim & Siti Zulaikha Zakaria

Explore More