November 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 24 Sept – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) buat pertama kalinya menganjurkan Synergistic Government-University-Community-Industry (GUCI) Sustainable Collaboration Seminar and Exhibition 2024 (GUCI 2024). Acara yang berlangsung selama dua hari di Hotel Sunway, Iskandar Puteri ini mengumpulkan pemain utama pembangunan mampan di wilayah Iskandar Puteri.

GUCI 2024 memfokuskan kepada ceramah dan perkongsian amalan mampan dalam pelbagai sektor, seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Pendidikan untuk Pembangunan Mapan (ESD), dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Selain itu, bengkel mengenai ESG untuk industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pameran projek-projek GUCI di wilayah Iskandar Puteri turut menjadi agenda program.

Salah satu pencapaian penting dalam GUCI 2024 adalah kejayaan syarikat hiliran UTM, AR Mechatronics PLT, yang diterajui oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Hafis Izran Ishak. Inovasi mereka, Resident Easy Decision System (MyREDS), meraih Gold Award dalam kategori Akademik. MyREDS, sebuah SuperApp yang menggabungkan Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), dan Cloud Computing, bertujuan memudahkan pengguna dalam membuat keputusan di komuniti berpengawal dan berpagar.

Paparan aplikasi MyREDS yang menawarkan pelbagai menu pilihan untuk pengguna

MyREDS, yang asalnya dikenali sebagai MyTamu pada tahun 2019, dibangunkan untuk mengatasi kekangan pengurusan taman dalam merekod data keluar-masuk pelawat secara manual. Sistem ini kini menggunakan kod QR untuk ‘self-check in’, menjadikan proses daftar masuk hanya memerlukan sekitar 3-5 saat berbanding kaedah manual yang memakan masa hingga 5 minit. Pengimbasan kad identiti pelawat menggunakan AI turut mempercepatkan proses tersebut.

Sistem MyREDS juga memberi manfaat kepada residen dengan menyediakan pengurusan komuniti yang menyeluruh, termasuk pelaporan aduan, pembayaran bil penyelenggaraan, pendaftaran kenderaan, dan tempahan fasiliti. Dengan 2,500 pengguna aktif di Johor dan Selangor, MyREDS telah diterapkan di banyak komuniti berpagar dan berpengawal.

Sesi pembentangan MyREDS oleh pasukan UTM kepada juri industri semasa program GUCI 2024

Sinergi antara UTM, Persatuan Penduduk Viscaria Fasa 2 & 3 Pulai Indah, dan AR Mechatronics PLT, potensi MyREDS terus dipacu sebagai sistem pengurusan pelawat dan komuniti berasaskan teknologi terkini. Dipasarkan secara Software as a Service (SaaS), MyREDS menyumbang kepada keselamatan komuniti dan mewujudkan persekitaran hidup yang lebih selamat dan mampan.

MyREDS, yang didaftarkan di bawah harta cipta UTM, juga mendapat pengiktirafan daripada MySTI, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan App Store. Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang MyREDS, https://www.myreds.com.my/.

Explore More