November 14, 2024

Search
Close this search box.
IMG

Bijak Lestari: UTM revolusi pendidikan di Kampung Bukit Marak

BACHOK, 7 Sept. – Bijak Lestari, yang diterajui oleh Dr. Nurhasmiza Abu Hasan Sazalli, merupakan program kolaborasi unik antara pensyarah, staf, dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang dilaksanakan di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH). Program ini adalah sebahagian daripada usaha fakulti untuk memberikan sumbangan positif kepada masyarakat melalui tiga komponen utama yang menyasarkan guru, ibu bapa dan murid.

Kompenen pertama ialah Bijak Lestari: CikguLearnAi, program yang direka khusus untuk guru-guru, yang memperkenalkan konsep dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan. Melalui sesi bengkel dan latihan, guru-guru diajar cara memanfaatkan teknologi AI untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Program ini bertujuan membekalkan guru dengan alat dan pengetahuan terkini bagi mencipta pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik.

WhatsApp Image at ffd
Bijak Lestari bersama guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Marak, Bachok, Kelantan

Komponen kedua pula ialah Seminar Keibubapaan, yang menyasarkan ibu bapa dengan tema Kepentingan Kehadiran Anak ke Sekolah berikutan masalah peratus ketidakhadiran murid yang tinggi. Seminar ini menekankan peranan penting ibu bapa dalam memastikan kehadiran anak-anak ke sekolah secara kerap. Melalui ceramah dan sesi interaktif, ibu bapa didedahkan kepada strategi dan pendekatan terbaik untuk menyokong motivasi dan kehadiran anak-anak mereka, yang secara langsung mempengaruhi kejayaan akademik serta perkembangan sosial mereka.

IMG WA
Sesi perkongsian ibu bapa bersama Prof. Marlia, penceramah Seminar Keibubapaan

Kompenan ketiga adalah Program STEM untuk Murid, yang bertujuan untuk menggalakkan minat murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui aktiviti interaktif dan menyeronokkan. Murid-murid diberi peluang untuk mempelajari dan bereksperimen dengan konsep-konsep STEM dalam suasana praktikal, membantu mereka membangunkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Selain itu, murid-murid turut terlibat dalam mencipta vision board yang memaparkan impian serta aspirasi mereka untuk masa hadapan, membantu menetapkan matlamat dan membayangkan pencapaian yang ingin diraih.

WhatsApp Image at fd
Projek Volcano bersama murid-murid SK Bukit Marak

Program Bijak Lestari ini mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat, dengan penyertaan aktif dari guru, ibu bapa, dan murid. Permintaan untuk mengadakan program serupa di tempat lain juga amat menggalakkan. Inisiatif ini bukan sahaja menumpukan kepada peningkatan akademik, tetapi juga kepada pembangunan holistik masyarakat melalui pendidikan dan kolaborasi erat antara pelbagai pihak.

Dengan kejayaan penganjuran program ini, FSSH UTM berhasrat untuk terus mengembangkan inisiatif Bijak Lestari ke lebih banyak komuniti, memperluas impaknya serta memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada program-program yang dijalankan.

IMG
Sesi bergambar ahli Bijak Lestari bersama Prof. Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed dan Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, Pro-Naib Canselor UTM Kuala Lumpur

Oleh Nur Fatimah Mohd Radzi, Penolong Pegawai Tadbir, Nurhazirah Ja’afar, Pembantu Tadbir RZS-CASIS & Dr. Nurhasmiza Abu Hasan Sazalli, Penolong Pengarah Akademi Bahasa, FSSH Kuala Lumpur.

Explore More