Disember 3, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at

UTM pertahan emas Bola Sepak Veteran SUKUM 2024

KOTA KINABALU, 15 Ogos – Kontinjen UTM dihadiahkan pingat emas yang penuh bermakna apabila pasukan bola sepak veteran UTM menewaskan Universiti Sains Malaysia (USM) 3-0 dalam perlawanan akhir Sukan Staf Universiti Awam Malaysia (SUKUM) di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS). Ini adalah ulangan final SUKUM 2022 di Universiti Putra Malaysia menyaksikan UTM menang juga dengan jaringan 3-0 dan merangkul emas bola sepak veteran setelah hampir 20 tahun tidak menggenggam emas. 

d ef e d fbf
Barisan pemain, jurulatih dan pengurus pasukan UTM pada perlawanan akhir bola sepak veteran, SUKUM 2024 yang berlangsung di Stadium UMS

Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan cuba untuk mengintai kelemahan lawan. Gawang UTM diuji hebat pada separuh masa pertama dengan dua percubaan selang dua minit mengenai tiang dan berjaya diselamatkan penjaga gol UTM, Megat Shahimi Noh. Separuh masa kedua, UTM dilihat mula menguasai permainan namun percubaan dari kapten, Fitri Amir Ramli berjaya dikuis keluar oleh penjaga gol USM, tiga minit sebelum perlawanan tamat. Perlawanan diheret ke masa tambahan apabila kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada masa penuh.

Lima minit masuk ke masa tambahan, USM diberi tamparan hebat apabila seorang pemainnya dibuang padang akibat kesalahan kad kuning kedua. Peluang ini dimanfaatkan oleh Fitri Amir, melalui satu sepakan percuma kencang, menghadiahkan gol pertama buat UTM. Melihat kelebihan jaringan dan kelebihan seorang pemain, UTM terus menahan asakan sehingga tamat masa tambahan separuh masa pertama. 

Separuh masa kedua masa tambahan, UTM diasak bertubi-tubi namun tiga pemain pertahanan yang dibarisi Budiman Mat Jaafar, Azman Mohamed dan Dzulhelmi Mohd Razali gagah mempertahakan kelebihan tipis. Sedang USM asyik menyerang, melalui satu serangan balas, Fitri Amir yang keseorangan melakukan larian solo dari tengah padang, masuk ke kotak penalti sebelum melepaskan satu rembatan yang menewaskan penjaga gol USM di sudut bawah sebelah kanan. Gol itu ternyata membunuh semangat melawan pemain USM dan terus meyakinkan pemain UTM untuk sekali lagi menggenggam emas.

Belum pun usai dengan serangan tersebut, UTM datang lagi dengan taktik serangan balas dan akhirnya dihadiahkan sepakan penalti selepas Sharizan Ibrahim dijatuhkan dalam kotak penalti. Malam gemilang buat Fitri Amir yang melengkapkan hatrik apabila dengan tenang meletakkan bola di luar jangkauan penjaga gol untuk memberi kelebihan tiga jaringan kepada UTM.

IMG
Pasukan UTM (jersi kuning) menyarap asakan bertali arus dari pemain USM

Pengurus pasukan, Dr. Nazrul Hisham Zainal Alam yang turut bertindak sebagai pengurus dan pemain memuji kebersamaan pasukan dari mula hingga akhir. “Kami bermula sejak empat bulan lepas dan bersama-sama sebagai sebuah keluarga besar. Tugas berat untuk kami mempertahankan emas tetapi Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada kami lagi kali ini dengan lawan dan jaringan yang sama,” ujar beliau.

UTM bermula perlahan pada SUKUM kali ini apabila hanya mencatatkan dua keputusan seri 1-1 pada peringkat kumpulan tetapi bernasib baik apabila muncul juara kumpulan A selepas ditentukan melalui jaringan terpantas yang direkodkan. Nasib turut menyebelahi UTM apabila diundi bye pada suku akhir dan di peringkat separuh akhir, mereka menang tipis 1-0 dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Kapten pasukan Fitri Amir yang bergelut dengan kecederaan turut menarik nafas lega selepas buntu jaringan pada tiga perlawanan awal. “Saya gembira dapat mempertahankan emas ini dan berbangga dengan komitmen rakan-rakan yang berdisiplin sepanjang perlawanan akhir ini. Kita tahu ia perlawanan yang sukar, namun kita berjaya menyerap tekanan dan akhirnya muncul juara sekali lagi”.

IMG
Zaini Kamar (Jersi 13) menolak masuk gol penyamaan ketika menentang UKM pada perlawanan kedua Bola Sepak Veteran SUKUM 2024, di Padang C, UMS

Ketua jurulatih, Dr. Kamaruzzaman Soeed, memuji semangat dan dedikasi pemain-pemainnya yang telah bekerja keras sepanjang pertandingan ini. “Ini adalah hasil kerja keras seluruh pasukan. Kami telah berlatih dengan gigih dan ini adalah ganjaran untuk semua usaha yang telah dicurahkan dengan faktor nasib juga menyebelahi kami. Terima kasih juga kepada semua jabatan yang telah memberi pelepasan kepada pemain untuk menyertai latihan dan terbang ke UMS untuk mereka membuktikan sesuatu kepada UTM”

Pro Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Abdul Latif Salleh, turut hadir menyaksikan perlawanan mengucapkan tahniah kepada semua pemain yang bertungkus-lumus hingga ke wisel penamat. Beliau turut berkesempatan menyampaikan pingat emas kepada pasukan dalam majlis penyampaian pingat sejurus selepas tamat permainan. Selain USM dengan pingat perak, UTeM dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) turut berkongsi pingat gangsa apabila kedua-duanya terkandas di peringkat separuh akhir. Dengan pencapaian ini, UTM telah merangkul 13 emas secara keseluruhan, mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kontinjen UTM pada SUKUM 2024 ini. 

IMG
Pro Naib Canselor UTM, Prof Dr. Abdul Latif Salleh, menyampaikan medal kepada pemain UTM sejurus tamat perlawanan akhir

 

Explore More