November 3, 2024

Search
Close this search box.
sesi praktikal alat

UTM perkasa petani menua melalui ilmu ergonomik pertanian

ULU TIRAM, 24 Ogos – Satu program komuniti dengan tema “Ergonomik Pertanian untuk Kelestarian Petani Menua” telah berlangsung dengan jayanya di Balai Raya Felda Sungai Tiram, Ulu Tiram. Program sehari ini melibatkan 20 petani warga emas dari Kampung Bukit Dagang, Sungai Tiram, serta empat wakil kebun komuniti Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Program ergonomik pertanian
Program bertema Ergonomik Pertanian melibatkan petani-petani menua di Kg. Bukit Dagang, Sungai Tiram

Program ini merupakan inisiatif Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (JKBSK), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang diketuai oleh Profesor Madya Ir. Dr. Maheza Irna Mohamad Salim di bawah geran Program Pemindahan Ilmu (KTP)@Faculty 2024. Program ini turut mendapat sokongan daripada beberapa rakan strategik UTM, termasuk MBPG, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru, rakan industri Amwife Legacy Malaysia dan Rekajadi.

Objektif utama program ini adalah bagi melengkapkan para petani warga emas di kawasan Sungai Tiram dengan ilmu dan kemahiran ergonomik pertanian supaya mereka terus menyumbang kepada kelestarian makanan di lokaliti tersebut. Melalui program ini, para peserta diberikan pendedahan mengenai amalan ergonomik dalam pertanian serta penggunaan peralatan pertanian berciri ergonomik, khususnya bagi warga emas. Ergonomik memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan pekerja tani, terutamanya bagi mereka yang semakin berusia.

fasilitator UTM ILKKM
Penyelidik JKBSK, FKE dan ILKKM Johor Bahru yang terlibat dengan program ergonomik pertanian UTM di Sungai Tiram di bawah geran KTP@faculty

Program ini bermula dengan sesi pendaftaran seawal jam 8 pagi. Upacara perasmian pembukaan dipengerusikan oleh Dr. Mariaulpa Sahalan dan dirasmikan oleh Penghulu Mukim Sungai Tiram, En. Mohd Zainol b. Abdul Razak. Dalam ucapan En. Zainol, beliau menyatakan penghargaan atas kesudian UTM menganjurkan program ini dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat komuniti setempat.

Majlis perasmian turut disaksikan oleh Ketua Kampung Felda Sungai Tiram, En. Mohamad b. Misri. Hadir sama dalam program tersebut ialah Ketua Kampung Tanjong Langsat, En. Khadni b. Hamzah, serta Ketua Kampung Sungai Tiram, En. Muhammad bin Mohamed Som.

perasmian oleh penghulu
Perasmian program oleh Penghulu Mukim Sungai Tiram, En. Mohd Zainol Abd Razak

Program Ergonomik Pertanian UTM ini mengetengahkan tiga modul utama yang dikongsikan kepada para peserta. Modul pertama bertajuk Ergonomik Tani: Asas Ergonomik dalam Pertanian disampaikan oleh En. Norazmein Abdul Raman dari JKBSK. Melalui modul ini, peserta diberi pendedahan berkaitan amalan dan alat-alat ergonomik yang boleh digunakan dalam pertanian mereka.

Peserta juga didedahkan dengan langkah keselamatan yang perlu dititikberatkan apabila apabila berada di kebun, terutamanya apabila usia semakin meningkat. Para peserta turut berpeluang melukis poster kesedaran keselamatan dan ergonomik mereka serta berkongsi aspirasi masing-masing.

lukisan poster peserta
Poster peringatan keselamatan dan ergonomik yang dilukis petani semasa program berlangsung

Modul kedua pula berkaitan Kesihatan Tulang Belakang disampaikan oleh Dr. Siti Ruzita Mahmod, juga dari JKBSK. Modul ini menekankan kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dalam kerja-kerja pertanian, termasuk kepentingan melakukan sesi regangan sebelum mula bertani.

WhatsApp Image at d
Sesi regangan sebelum bertani

Modul ketiga, bertajuk Cerdik Tani, dikongsikan oleh rakan strategik industri bagi program ini, yang merupakan usahawan tani dari Amwife Legacy Malaysia, YM Raja Ahmad Nadhir b. Raja Othman. Beliau memberi panduan kepada para peserta mengenai teknik penjagaan tanaman dan kawalan penyakit pertanian. 

Modul 3 cerdik Tani
Modul Cerdik Tani disampaikan oleh rakan industri dari Amwife Legacy Malaysia, YM Raja Ahmad Nadhir

Selain itu, program saringan kesihatan yang diketuai oleh Dr. Rania Hussein Al Ashwal dan Dr. Aizreena Azaman turut dijalankan sepanjang program berlangsung, memberikan peluang kepada para petani untuk menyaring tahap kesihatan mereka. Saringan muskuloskeletal untuk menilai kesihatan otot dan tulang para petani warga emas juga telah dianjurkan, diketuai oleh En. Eiryandi Mohd Daud, Pensyarah Fisioterapi dari ILKKM Johor Bahru, bersama enam pelajar fisioterapi.

Saringan kesihatan dan muskuloskeletal petani yang dilaksanakan sepnajang program berlangsung
Saringan kesihatan dan muskuloskeletal petani yang dilaksanakan sepanjang program berlangsung

Modul terakhir bertajuk Inovasi Pertanian disampaikan oleh En. Arief Ruhullah Harris, yang memberikan taklimat ringkas kepada para peserta untuk menyertai pertandingan inovasi alat mudah berciri ergonomik dan mampu meningkatkan produktiviti pertanian. Kesemua sesi ini bertujuan memberikan pemahaman komprehensif kepada peserta mengenai kepentingan aspek ergonomik demi kelestarian dan kesejahteraan petani warga emas dalam pertanian.

Sesi petang diisi dengan aktiviti praktikal ergonomik, di mana para peserta telibat secara aktif. Para petani dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberikan beberapa senario atau kajian kes berkaitan masalah kesihatan ketika bertani. Mereka diminta mencadangkan penyelesaian ergonomik bagi kes-kes tersebut dengan mengaplikasikan ilmu yang diperoleh daripada modul-modul yang telah dipelajari. Kesemua petani berjaya menyelesaikan kajian kes yang diberi dengan baik, menunjukkan dedikasi tinggi dan kerjasama erat dalam kumpulan masing-masing.

taklimat sesi praktikal
Sesi petang dimulakan dengan pembahagian kumpulan dan senario kes kepada petani

Setelah sesi praktikal selesai, program diakhiri dengan majlis penutupan yang meriah, di mana sijil penyertaan disampaikan dan peralatan ergonomik diserahkan kepada para petani untuk digunakan dalam aktiviti pertanian mereka. Sebelum pulang, para petani turut mengambil gambar kenangan sebagai tanda penghargaan dan memori bersama.

penyerahan sijil peserta
Majlis penyerahan sijil dan peralatan ergonomik kepada petani
gambar kenangan
Sesi bergambar kenangan bersama petani sebelum pulang

Explore More