September 14, 2024

Search
Close this search box.
DSC

JOHOR BAHRU, 30 Ogos − Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) telah menggerakkan dengan jayanya Program Project Ideation Experience (PIE) 2024 sebagai salah satu inisiatif akademik yang direka untuk mempromosikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta membangunkan intelektual dalam kalangan pelajar sekolah.

Program julung kalinya diadakan yang memberi tumpuan kepada pelajar sekolah menengah ini dianjurkan dengan kerjasama IEEE Malaysia Communication and Vehicular Technology Joint Chapter, Institution of Engineering and Technology (UTM IET on Campus), dan Pejabat Pendidikan Daerah Pontian (PPD).

Program yang telah berlangsung bermula Julai lalu melabuhkan tirainya pada hari ini melalui Majlis Perasmian Penutup Program Project Ideation Experience (PIE) 2024. Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan sambil disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad di Kolej Tingkatan Enam Pontian, Johor.

DSC
Dato’ Seri Ahmad Maslan ketika mendengar penerangan bekaitan prototaip projek milik pelajar yang menjadi peserta dalam program ini

Prof. Edy dalam ucapan aluannya berkata “Ini adalah satu daripada program khidmat komuniti yang mana dijalankan bersama-sama masyarakat untuk mendedahkan para pelajar dan komuniti setempat tentang teknologi terkini. Kali ini, projek yang dilaksanakan oleh Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM melibatkan pemindahan dan perkongsian ilmu dengan para pelajar di daerah Pontian berkaitan IoT, dan juga mobile apps. Diharapkan pendedahan ini dapat mematangkan fikiran, menterjemahkan ilmu yang diperturunkan serta memberi kebaikan kepada para pelajar yang terlibat.”

DSC
Prof. Edy merakamkan pernghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Selaras dengan seruan Perdana Menteri Malaysia, PIE 2024 menekankan pendidikan teknologi dan kejuruteraan bagi meningkatkan bilangan jurutera mahir seterusnya membentuk generasi innovator tersohor yang mampu memajukan di negara.

Program ini terdiri daripada tiga fasa pelaksanaan; Fasa 1: Bengkel Penerangan Modul kepada Peserta, Fasa 2: Pembangunan Produk dan Inovasi bagi pembangunan prototaip, dan Fasa 3: PIE Day Challenge melibatkan pembentangan prototaip dan proses penilaian.

Program ini menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah (problem-based learning approach) dengan penekanan kepada pemindahan ilmu dan pengalaman praktikal. Ia juga memberi peluang kepada pelajar UTM untuk terlibat dalam jangkauan komuniti sambil mempromosikan bidang STEM di peringkat sekolah menengah.

DSC

 

Seramai 60 pelajar sekolah menengah atas terpilih dari pelbagai sekolah, termasuk Kolej Tingkatan Enam Pontian, Kolej Vokasional Tanjung Piai, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Penggawa Barat, dan Sekolah Maahad Pontian, telah menyertai program ini.

PIE 2024 memberi penekanan kepada pendidikan Internet of Things (IoT) dan perkongsian ilmu, dengan fokus khas kepada Industri 4.0 dan projek reka bentuk bersepadu yang penting untuk Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

DSC
Ts. Dr. NorAishah menerangkan antara teknologi IoT yang terlibat dalam projek pemindahan ilmu ini

Inisiatif PIE 2024 dijangka memberi kesan jangka panjang kepada sekolah-sekolah yang terlibat lantaran pengisiannya adalah selaras dengan objektif mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), yang bertujuan untuk menyemai kesedaran pelajar mengenai reka bentuk dan pembangunan produk sebagai tindak balas kepada keperluan masyarakat yang berubah. Sekolah-sekolah digalakkan untuk mengintegrasikan pelajaran yang diperoleh melalui PIE 2024 ke dalam kurikulum harian mereka.

DSC

Turut hadir, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Pontian, Tuan Haji Abdul Rahman Salleh, Ketua MCA Bahagian Pontian, Datuk Toh Cheng Chew, Pengetua Kolej Tingkatan Enam Pontian, Tuan Haji Zaidi Ahmad, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan) Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Asrul Izam Azmi, dan Ketua Program, Ts. Dr. Nor Aishah Muhammad.

Explore More