Disember 3, 2024

Search
Close this search box.
Strategi menjadi pensyarah yang mencapai keunggulan global

Strategi menjadi pensyarah yang mencapai keunggulan global

Mencapai keunggulan global sebagai seorang pensyarah adalah usaha yang memerlukan gabungan kepakaran, visibiliti, dan penglibatan yang komprehensif dan menyeluruh. Terdapat beberapa strategi yang boleh diimplementasikan dan dilaksanakan oleh pensyarah yang bercita-cita tinggi untuk mencapai keunggulan dan tahap pengiktirafan di peringkat global.

Untuk menjadi seorang pensyarah yang unggul, pensyarah itu mestilah mempunyai pengkhususan yang jelas dan mendalam, dengan sentiasa fokus terhadap bidang khusus yang dapat membangunkan perspektif unik dan berwibawa. Mendapatkan pengetahuan secara berterusan juga diperlukan dengan mengikuti perkembangan terkini dalam penyelidikan dan trend di pelbagai peringkat. Pembelajaran berterusan ini memastikan pengetahuan dan kemahiran akan sentiasa kekal relevan mengikut peredaran zaman.

Mewujudkan jenama peribadi yang kukuh adalah penting bagi pengiktirafan global. Seseorang pensyarah itu disarankan untuk mewujudkan visibiliti dengan mengekalkan kewujudan dalam talian profesional seperti LinkedIn, Academia.edu dan ResearchGate dengan profil yang lengkap, terkini serta mempamerkan pencapaian dan kepakaran di dalam platform tersebut. Pensyarah juga perlu kerap menerbitkan jurnal berimpak tinggi, menulis artikel berpengaruh, atau menerbitkan buku yang boleh meningkatkan keterlihatan kepada dunia luar.

Seseorang pensyarah itu juga perlu melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di peringkat antarabangsa, dengan aktif dalam menyertai persidangan dan seminar di seluruh dunia untuk berkongsi pandangan dan penyelidikan. Selain itu, setiap pensyarah juga boleh mengambil bahagian dalam webinar dan persidangan secara maya, di mana pendekatan tersebut membolehkan pensyarah berhubung dengan orang ramai di peringkat global tanpa kekangan perjalanan. Platform seperti ini menyediakan peluang kepada pensyarah untuk berkongsi hasil dapatan kajian atau kaedah pengajaran sekali gus dapat berinteraksi dengan orang ramai di peringkat global.

Bukan itu sahaja, pensyarah juga boleh membina dan memanfaatkan rangkaian atau ‘network’ yang kukuh untuk mencapai keunggulan global. Bekerjasama dengan pakar-pakar terkemuka yang lain dalam projek penyelidikan, pembentangan atau penerbitan bersama, membantu memperluas jaringan dan meningkatkan visibiliti. Menghadiri acara akademik dan industri boleh memupuk hubungan yang berguna.

Seorang pensyarah yang berusaha untuk mencapai keunggulan global mestilah bijak untuk memanfaatkan kuasa media dan teknologi untuk meningkatkan visibiliti. Menggunakan platform media sosial seperti TikTok, Instagram, Facebook, Twitter, YouTube dan blog peribadi untuk berkongsi penyelidikan dan ilmu pengetahuan, ceramah dan lain-lain lagi akan meningkatkan visibiliti di khalayak ramai dan mempamerkan kepakaran secara inovatif. Kandungan multimedia seperti podcast atau webinar interaktif serta penawaran kursus dalam talian melalui platform seperti Coursera, edX atau Udemy dan lain-lain platform juga boleh dimanfaatkan.

Pensyarah juga boleh mengejar pengiktirafan melalui anugerah dan penghormatan berprestij yang menambah kredibiliti. Selain merangkul anugerah, seorang pensyarah juga boleh memohon untuk melibatkan diri dalam anugerah yang berkaitan dengan bidang masing-masing sebagai ahli penting dalam lembaga editorial atau jawatankuasa penasihat. Pengiktirafan daripada institusi dan organisasi yang dihormati boleh meningkatkan status profesional dan memberikan peluang selanjutnya untuk penglibatan global.

Sebagai seorang pensyarah, inovasi dalam pengajaran juga memainkan peranan yang penting. Menerapkan kaedah pengajaran baharu, teknik interaktif, atau penggunaan teknologi terkini dapat membezakan seorang pensyarah dengan pensyarah yang lain. Penerbitan bahan pengajaran berkaitan bidang sendiri dalam pelbagai format, termasuk buku, artikel, blog dan kandungan multimedia yang dikongsi secara meluas, membantu meningkatkan visibiliti dan keberkesanan di peringkat global.

Dengan menyepadukan strategi-strategi yang telah dinyatakan, seseorang pensyarah itu dapat meningkatkan keterlihatan dan mencapai keunggulan global, seterusnya menjadikannya seorang pensyarah dan pendidik yang unggul, berpengaruh, dan dihormati di persada antarabangsa. Ini juga sangat relevan dengan seruan Universiti Teknologi  Malaysia (UTM) yang menggalakkan pendidik mencapai ‘global eminence’.

Explore More