Disember 22, 2024

Featured image

JOHOR BAHRU, 18 Ogos – Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kulim (Malaysia) Berhad, Johor Plantations Group Berhad sekali lagi berganding bahu dalam membina dan membentuk generasi masa depan menerusi program Novice Development for Aspiring Legacy (NODAL) 2024.

Program ini dianjurkan untuk memberi penekanan khusus kepada pendidikan asas mikropengawal dan percetakan 3D kepada para peserta.

Seramai 18 murid dan 12 guru daripada beberapa sekolah rendah di bawah naungan Kulim (Malaysia) Berhad, Johor Plantations Group Berhad telah menyertai program ini.

Microbit
Sesi modul pengenalan mikropengawal kepada para peserta NODAL 2024.

Sekolah-sekolah yang terlibat adalah SK Tunjuk Laut, SK Sedenak, SK Sungai Papan, SK Kemedak, SK Nam Heng, dan SK Ladang Tereh.

Penganjuran program ini juga secara tidak langsung memupuk minat dalam bidang kejuruteraan dan teknologi kepada pelajar sekolah rendah.

Pendedahan awal mengenai mikropengawal dan percetakan 3D bukan sahaja memberi peluang kepada para peserta untuk memahami konsep-konsep asas teknologi, malah ia turut membolehkan mereka meneroka potensi aplikasi teknologi tersebut dalam kehidupan seharian.

D Printing
Peserta berpeluang mencetak sendiri tag nama menggunakan perisian cetakan 3D.

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi & Pembangunan), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM, Prof. Madya Ir. Ts Dr. Muhamad Azizi Mat Yajid yang merasmikan program ini telah menekankan peri pentingnya pendedahan awal kepada teknologi kepada generasi muda.

Beliau turut menyatakan bahawa program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UTM untuk menyokong agenda pendidikan negara, terutamanya dalam memperkukuh penguasaan teknologi di kalangan pelajar sekolah rendah.

Program ini telah berjaya menarik minat serta memberikan inspirasi kepada para peserta, sekaligus mencapai objektif utamanya untuk melahirkan generasi yang celik teknologi dan berupaya menyumbang kepada pembangunan negara di masa hadapan.

Program sebegini diharap dapat diteruskan dan diperkembangkan lagi pada masa akan datang.

Explore More