Dalam landskap institusi pengajian tinggi yang sentiasa berkembang, pemimpin akademik berdepan dengan pelbagai cabaran dan peluang untuk memimpin organisasi mereka. Keupayaan untuk memimpin dalam persekitaran yang semakin kompleks ini sangat bergantung kepada ‘learning agility’ atau ketangkasan pembelajaran seseorang pemimpin. Ketangkasan pembelajaran merujuk kepada keupayaan untuk belajar daripada pengalaman serta menerapkan pengetahuan tersebut dalam situasi baharu dan berbeza (Tannenbaum & Cerasoli, 2023). Konsep ini menjadi kunci utama bagi pemimpin akademik yang berhasrat untuk memupuk inovasi, menyesuaikan diri dengan perubahan, dan membawa institusi ke arah kejayaan.
Bagi memanfaatkan faedah ketangkasan pembelajaran, pemimpin akademik perlu aktif memupuk dan mengembangkannya. Salah satu strategi berkesan adalah dengan mencari pelbagai pengalaman. Mereka harus melibatkan diri dalam pelbagai peranan dan tanggungjawab, membolehkan mereka memperolehi perspektif yang luas dan memanfaatkan pembelajaran daripada konteks yang berbeza.
Memupuk minda pertumbuhan juga adalah elemen penting dalam membangunkan ketangkasan pembelajaran dalam kalangan pemimpin. Pemimpin seharusnya melihat cabaran sebagai peluang pembelajaran dan bukan sebagai satu ancaman. Menerapkan pemikiran positif ini akan membantu mereka agar kekal tabah dalam menghadapi kesukaran dan terus gigih mencari solusi serta berusaha melakukan penambahbaikan.
Penggalakkan dan penerimaan maklum balas juga sangat penting. Pemimpin perlu mewujudkan budaya di mana maklum balas dihargai dan digunakan secara konstruktif untuk memperhalusi pendekatan mereka dan menyesuaikan diri dengan situasi baharu. Dengan proaktif dalam mendapatkan maklum balas daripada rakan sekerja, kakitangan, dan pelajar, pemimpin boleh memperoleh pandangan yang bernas dan berharga, serta dapat membuat keputusan yang lebih efektif.
Pembelajaran berterusan menjadi kunci dalam mengekalkan dan meningkatkan ketangkasan pembelajaran. Pemimpin harus memberi penekanan kepada pembangunan profesional dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat bagi diri sendiri dan juga kakitangan mereka. Komitmen terhadap perkembangan ini memastikan mereka kekal relevan dengan trend semasa dan amalan terbaik dalam institusi pengajian tinggi.
Pemimpin juga harus menjadi teladan atau role model kepada pengikut mereka. Mereka perlu menunjukkan fleksibiliti, keterbukaan terhadap idea baharu, serta kesediaan untuk meneroka pendekatan yang berbeza. Dengan sikap sebegini, pemimpin boleh memberi inspirasi kepada pengikut untuk memupuk budaya ketangkasan pembelajaran di semua peringkat organisasi.
Kesimpulannya, ketangkasan pembelajaran adalah faktor penting dalam memastikan kejayaan pemimpin dalam dunia pendidikan yang dinamik dan sentiasa berubah dengan pantas. Ia membolehkan pemimpin memimpin perubahan, memupuk inovasi, dan menyelesaikan masalah dengan cekap. Dengan mencari pengalaman yang berbagai-bagai, memupuk minda pertumbuhan, menggalakkan maklum balas, mengutamakan pembelajaran berterusan, serta memodelkan ketangkasan, pemimpin akademik di sesebuah institusi pengajian tinggi boleh membangun dan memperkukuh ketangkasan pembelajaran mereka dan organisasi yang dipimpin.
Rujukan:
Tannenbaum, S. I., & Cerasoli, C. P. (2023). The Handbook of Learning Agility: Research, Theory, and Practice. Springer.