Disember 8, 2024

Search
Close this search box.
poster krp ck

JOHOR BAHRU, 27 Ogos  – Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menzahirkan rasa syukur dan penghargaan setelah dinobatkan sekali lagi (tiga tahun berturut-turut) sebagai pemenang Anugerah Kelestarian Greenleaf (Kategori Kolej Kediaman) dalam Majlis Citra Karisma 2024 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM pada 27 Ogos 2024. KRP berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000.00 serta sekeping sijil penganugerahan. Anugerah ini diberikan berdasarkan penilaian tahun 2023 bagi mengiktiraf usaha cemerlang pihak pentadbiran kolej dalam memacu agenda kelestarian di dalam kampus UTM. Pengiktirafan ini menandakan komitmen tinggi KRP dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kelestarian yang memberi manfaat besar kepada pembangunan mahasiswa serta warga kampus keseluruhannya.

n
Sijil Anugerah Kelestarian (Kategori Kolej Kediaman) yang diterima sewaktu Citra Karisma 2024

Pengiktirafan ini merupakan satu lagi pencapaian gemilang KRP, yang sebelum ini telah meraih beberapa anugerah prestij berkaitan kelestarian, di peringkat dalam dan luar universiti. Antaranya adalah Anugerah Emas Kelestarian Kolej Kediaman dalam Majlis Anugerah Bakat MAPUM 2023 di peringkat kebangsaan, Anugerah Kampus Lestari Citra Karisma UTM bagi tahun 2021 dan 2022, serta Anugerah Kenchana Sukma (Kelestarian) Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP) bagi tahun 2022. Kejayaan demi kejayaan ini mengukuhkan lagi reputasi KRP sebagai peneraju dalam memajukan agenda kelestarian di UTM.

WhatsApp Image at a
Pengetua KRP, Prof. Madya Dr. Mohd Haizal Jamaludin sewaktu menerima Anugerah Kelestarian Kolej Kediaman (Johan – Kategori Emas) di Majlis Anugerah Bakat MAPUM 2023, Universiti Malaya pada 29 Mei 2024

Dalam buku program Majlis Citra Karisma, KRP dipuji atas pelbagai inisiatif lestari yang dijalankan. Antaranya ialah program kitar semula yang komprehensif, yang bukan sahaja melibatkan aktiviti pengumpulan dan pemprosesan bahan kitar semula, tetapi juga pendidikan berterusan kepada pelajar mengenai kepentingan amalan kitar semula. Selain itu, KRP juga aktif memperkasa pelajar melalui pelbagai aktiviti komuniti yang memfokuskan kepada kelestarian, seperti projek penanaman pokok dan perkongsian ilmu dengan masyarakat setempat. Ini membuktikan komitmen kolej terhadap pembangunan lestari yang holistik, melibatkan seluruh warga kampus serta komuniti luar.

IMG
Para peserta Program Eco-Wheel Taman Botani, program yang memfokuskan kepada aktiviti mengguna semula tayar terpakai sebagai bekas tanaman, di Tadika Kemas Kemajuan, Taman Universiti
Peserta Program Compost Creators : Turning Trash Into Treasure dari SMK Skudai sedang melakukan aktiviti penghasilan baja kompos bersama kumpulan masing-masing

Kesungguhan KRP dalam mengangkat agenda kelestarian tidak terhenti di sini. Kolej ini sentiasa mencari kaedah dan inovasi baru untuk memperbaiki serta memperluaskan inisiatif kelestariannya. Pihak kolej juga bertekad untuk terus memimpin dalam aspek kelestarian di UTM, memastikan semangat serta usaha gigih warga kolej sentiasa membara demi membina masa depan yang lebih lestari dan mampan.

Picture
Projek Penanaman Vertical Planting 1.0 yang dilaksanakan oleh Kelab Riverdale KRP di Dewan Merdeka, Kolej Rahman Putra

Anugerah Greenleaf tiga tahun berturut-turut ini juga melambangkan pencapaian tertinggi KRP dalam usaha menjadikan persekitaran kampus lebih lestari dan mampan. Pengetua Kolej Rahman Putra, dalam ucapannya, turut menegaskan komitmen KRP untuk terus menjadi peneraju dalam memacu agenda kelestarian di UTM dan memastikan usaha-usaha yang dijalankan memberi manfaat besar kepada generasi masa depan.

Explore More