November 22, 2024

Search
Close this search box.
Kepimpinan empati di institusi pengajian tinggi

Kepimpinan empati di institusi pengajian tinggi

Kepimpinan empati ialah gaya kepimpinan yang dicirikan oleh keupayaan untuk memahami, berkongsi, dan bertindak balas terhadap emosi dan perspektif orang lain. Pemimpin empati mendengar idea ahli pasukan secara efektif, menunjukkan keprihatinan tulus terhadap kesejahteraan mereka, serta mempertimbangkan perasaan dan pandangan mereka semasa membuat keputusan (Smith dan Williams, 2023). Pemimpin yang empati memupuk kepercayaan, membina hubungan yang kukuh, mewujudkan persekitaran yang menyokong dan inklusif, mengiktiraf, dan menghargai pengalaman serta emosi semua ahli dalam sesebuah organisasi. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan semangat dan kerjasama pasukan tetapi juga mendorong penglibatan dan prestasi, kerana ahli pasukan sentiasa berasa dihargai dan didengari.

Melaksanakan kepimpinan empati di institusi pengajian tinggi memerlukan pendekatan yang komprehensif dan bernas. Terdapat beberapa strategi untuk mengimplementasi kepimpinan empati seterusnya mencapai matlamat ini, antaranya adalah dengan memupuk budaya inklusif dan menyokong. Ini boleh dicapai melalui mesyuarat, forum, atau sesi dialog terbuka di mana semua kakitangan dan pelajar boleh berkongsi pengalaman serta cabaran mereka secara terbuka. Meraikan kepelbagaian komuniti akademik melalui acara ini dapat menggabungkan perspektif yang berbeza dan mengukuhkan budaya keterangkuman dan saling menghormati antara satu sama lain.

Strategi yang kedua adalah melalui penggunaan saluran komunikasi yang efektif. Pemimpin yang empati sentiasa mewujudkan komunikasi yang jelas dan berkesan antara pemimpin dan orang bawahannya. Mereka mengamalkan budaya ‘open door policy’, dimana mereka sentiasa memberi peluang kepada orang bawahannya untuk bertemu pemimpin, bercakap secara terbuka tentang sebarang isu, menyatakan sebarang kebimbangan, dan keperluan mereka. Mewujudkan satu mekanisme maklum balas (tanpa nama) juga berupaya untuk menyediakan ruang yang selamat untuk orang bawahan menyuarakan pendapat dan pengalaman mereka tanpa rasa takut akan dihukum. Strategi ini dapat membantu pemimpin empati mengukur iklim persekitaran kerja dan seterusnya berupaya untuk membuat penambahbaikan.

Membangunkan kecerdasan emosi dan kesedaran diri di kalangan pemimpin adalah antara strategi dalam mengimplementasi kepimpinan empati. Program latihan yang tertumpu pada kecerdasan emosi dan komunikasi empati boleh meningkatkan kemahiran pemimpin dalam berinteraksi dengan orang lain. Pemimpin juga perlu mempunyai kesedaran diri, selalu membuat refleksi , bijak memahami emosi, dan bertindak balas. Menyesuaikan amalan kepimpinan untuk memenuhi pelbagai keperluan fakulti, kakitangan dan pelajar adalah satu strategi yang penting. Ini termasuk melaksanakan dasar yang fleksibel dan menyokong keseimbangan kehidupan dan karier. Sokongan peribadi, disesuaikan dengan keperluan individu dan aspirasi kerjaya, memastikan semua ahli institusi berasa dihargai dan disokong dalam pembangunan profesional dan peribadi mereka.

Pemimpin empati perlu menyokong kesihatan mental dan kesejahteraan diri sendiri dan juga orang bawahannya. Menyediakan akses kepada sumber kesihatan mental, seperti perkhidmatan kaunseling dan bengkel pengurusan emosi, membantu menangani keperluan emosi dan psikologi komuniti di institusi pengajian tinggi. Keseimbangan kerja dan kehidupan yang sihat dapat mengurangkan ‘burn out’ dan menyokong kesejahteraan keseluruhan warga dalam institusi dan meningkatkan lagi persekitaran yang menyokong.

Proses membuat keputusan yang inklusif adalah penting untuk memupuk empati dan kepercayaan. Memastikan keputusan dibuat dengan input daripada pelbagai suara dalam institusi membantu mencerminkan pelbagai perspektif dan keperluan masyarakat. Komunikasi telus tentang rasional di sebalik setiap keputusan berupaya untuk membina persefahaman dan kepercayaan dan mengukuhkan komitmen terhadap kepimpinan empati.

Pemimpin harus mencontohi tingkah laku empati dalam interaksi seharian mereka. Ini menunjukkan keprihatinan dan belas kasihan yang tulen dalam cara mereka menangani kebimbangan, memberikan maklum balas dan mengurus konflik. Mengiktiraf dan meraikan pencapaian fakulti, kakitangan dan pelajar melalui pengiktirafan dan ganjaran mengukuhkan nilai dan sumbangan mereka kepada institusi.

Pemimpin empati sentiasa menyokong pertumbuhan profesional orang bawahannya melalui program bimbingan dan peluang pembangunan kerjaya. Mereka menggalakan program mentor yang menggandingkan staf senior dengan staf baharu untuk pembangunan diri dan membantu individu menjalani kerjaya mereka dengan efektif dan mencapai matlamat mereka.

Pemimpin empati sentiasa menggalakkan pembinaan komuniti yang bekerjasama melalui pelbagai ‘network’ dan projek merentas disiplin. Inisiatif ini memupuk rasa kemasyarakatan dan sokongan bersama, meningkatkan penglibatan dan kerjasama menyeluruh. Dengan melaksanakan strategi ini, institusi pengajian tinggi boleh memupuk persekitaran yang lebih empati dan menyokong, memperkayakan pengalaman akademik untuk semua yang terlibat dan memupuk komuniti akademik yang lebih harmoni dan berkesan.

 

Rujukan:

Smith, A. R., & Williams, E. J. (2023). Empathy and leadership effectiveness: A meta-analysis. Journal of Applied Psychology, 108(4), 567-580. https://doi.org/10.1037/apl0000841

Explore More