Disember 27, 2024

Featured Image Dr Shamsul

IRITS Pico Hydro Turbine: Inovasi tenaga hijau untuk komuniti luar bandar

JOHOR BAHRU, 2 Ogos – Dalam usaha membawa tenaga lestari kepada komuniti luar bandar, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah mencipta IRITS: Innovative Pico Hydro Turbine for Remote Area and Innovative Learning. Inovasi ini berpotensi besar dalam menyediakan tenaga elektrik yang stabil dan berterusan kepada kawasan terpencil menggunakan teknologi hidro berskala kecil yang mesra alam.

Dr. Shamsul yang juga Timbalan Pengarah Pelestarian Kampus (UTMCS) merupakan jurutera profesional dan pakar dalam bidang tenaga boleh diperbaharui berfokuskan teknologi turbin hidro pico. Produk ciptaan beliau, IRITS Pico Hydro Turbine, adalah sistem turbin hidro berskala kecil yang mampu menukar tenaga kinetik air menjadi tenaga elektrik dengan kemampuan menjana sehingga 20-Watt tenaga elektrik. Jumlah tenaga yang dijana cukup untuk menampung keperluan asas seperti lampu LED, peralatan elektrik kecil, dan peralatan asas di rumah.

UTMCS Product
IRITS Pico Hydro Turbine direka khas untuk menjana sehingga 20-Watt tenaga elektrik yang boleh menampung keperluan isi rumah

Direka khusus untuk beroperasi dalam aliran air yang perlahan seperti sungai kecil dan parit, ia sesuai untuk komuniti yang memerlukan bekalan elektrik konsisten dengan penyelenggaraan minimum. Sistem ini membolehkan kawasan terpencil yang tidak memiliki akses kepada grid elektrik utama untuk mendapatkan bekalan tenaga yang stabil, selain membantu memperbaiki taraf hidup dan meningkatkan peluang ekonomi bagi penduduk tempatan.

Keunikan IRITS Pico Hydro Turbine terletak pada reka bentuk dan bahan yang digunakan. IRITS Pico Hydro Turbine memanfaatkan reka bentuk 17 bilah baldi yang diperbuat daripada polietilena termoplastik yang tahan lasak dan antikarat. Muncung jet dengan sudut 30 darjah direka untuk mengarahkan aliran air dengan optimum ke bilah turbin serta meningkatkan kecekapan tenaga. Perumah termoplastik yang tahan kakisan memastikan ketahanan dan jangka hayat panjang turbin.

UTMCS Product
Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip menunjukkan reka bentuk 17 bilah baldi turbin ciptaannya

Reka bentuk turbin yang mudah alih ini memudahkannya dipasang dalam pelbagai bekas, menjadikannya sesuai untuk digunakan di kawasan pedalaman. Dengan keunikan reka bentuk yang tahan lasak, penggunaan bahan berkualiti tinggi, penyelenggaraan minimum, produk ini menawarkan penyelesaian penjanaan tenaga yang praktikal dan efisien bagi komuniti terpencil.

Idea asal untuk IRITS Pico Hydro Turbine tercetus ketika Dr. Shamsul mengunjungi Pos Lemoi, sebuah perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands. Melihat sumber aliran air yang berterusan dan tekanan air tinggi di sana, Dr. Shamsul menyedari potensi untuk membantu komuniti ini dengan menyediakan sumber tenaga elektrik yang stabil. Pengamatan ini mendorong beliau untuk mencipta turbin hidro pico yang mampu menjana tenaga elektrik secara berterusan dengan penyelenggaraan yang rendah, sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk kampung.

“Melalui pemerhatian ini, saya menyedari adanya peluang untuk membantu komuniti Orang Asli di Pos Lemoi dengan menyediakan sumber tenaga elektrik yang boleh diandalkan. Maka saya mencipta IRITS Pico Hydro Turbine dengan tujuan membantu membekalkan tenaga elektrik berterusan dengan keperluan penyelenggaraan yang minimum, dengan memanfaatkan sumber semula jadi yang ada, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di Pos Lemoi,” ujar Dr. Shamsul.

FB IMG
Kawasan perkampungan Orang Asli seperti Pos Lemoi ini boleh memanfaatkan inovasi IRITS menggunakan sumber air yang berada berdekatan dengan kediaman mereka

Dr. Shamsul terus komited dalam penyelidikan dan inovasi untuk memajukan teknologi tenaga boleh diperbaharui dengan harapan dapat menyumbang kepada pengurangan kebergantungan kepada sumber tenaga fosil dan memperbaiki kelestarian alam sekitar yang juga seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 7 iaitu Tenaga Mampu Milik dan Bersih.

Produk inovasi yang telah mencapai Tahap Kesiapan Teknologi (TRL) 9 menunjukkan produk ini sudah bersedia untuk dikomersialkan. Namun, ia masih memerlukan pendanaan bagi tujuan pengkomersialan agar produk ini dapat dibekalkan kepada komuniti Orang Asli.

Produk ini juga telah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Pingat Perak di International University Carnival on E-Learning (IUCEL) pada tahun 2018, Pingat Gangsa di National Academic Leadership Innovation (NALI) di tahun yang sama, dan Pingat Gangsa di Hari Inovasi Nuklear Malaysia 2023. Pengiktirafan ini menunjukkan kejayaan IRITS Pico Hydro Turbine dalam membawa inovasi teknologi tenaga boleh diperbaharui kepada sektor tenaga di Malaysia.

Dengan segala kejayaan yang telah dicapai melalui penciptaan produk ini, Dr. Shamsul memasang cita-cita untuk mengembangkan pasaran produk ini secara meluas bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara lain yang memerlukan sistem tenaga hidro berskala kecil. Beliau juga merancang untuk terus menjalankan penyelidikan dan pembangunan bagi meningkatkan lagi kecekapan teknologi yang dibangun dan meneroka integrasi dengan sumber tenaga boleh diperbaharui lain seperti tenaga solar dan angin.

Dengan bantuan menyediakan latihan kepada pengguna tentang cara pemasangan, penggunaan, dan penyelenggaraan turbin ini, Dr. Shamsul berharap ia dapat membantu komuniti luar bandar dan pedalaman menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan lestari.

Meskipun produk ini dihasilkan berdasarkan pemerhatian yang dijalankan di Pos Lemoi, namun produk ini juga boleh menjadi pilihan para pemilik rumah kebun yang memerlukan tenaga elektrik dalam jangka masa pendek. Selain itu, ia sangat sesuai bagi mereka yang menyukai aktiviti lasak seperti perkhemahan di hutan untuk mendapatkan bekalan cahaya pada waktu malam tanpa perlu membawa generator yang bersaiz besar.

Explore More