November 22, 2024

Search
Close this search box.
Featured Image NewsHub ()

Evolusi Landskap untuk Pembangunan Mampan Malaysia MADANI

Evolusi landskap di Malaysia sebelum dan selepas kemerdekaan dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti politik, sosial, ekonomi, dan budaya. Landskap di Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah lebih bersifat semula jadi dan vernakular (tropika) dengan penggunaan elemen bahan semula jadi yang ditemui di sekitar kawasan kediaman seperti kayu dan buluh bagi struktur bangunan.

Semasa era penjajahan British di Tanah Melayu, reka bentuk landskap banyak dipengaruhi oleh konsep taman kolonial, padang berek, dan rumah rehat di kawasan tanah tinggi yang berdekatan dengan pusat pentadbiran atau kediaman rasmi. Landskap taman ini dibangunkan untuk tujuan rekreasi, latihan askar atau polis, dan tempat istirahat, terutama untuk pegawai British dan keluarga mereka, bagi memenuhi keperluan budaya dan corak kehidupan mereka. Contohnya termasuk Taman Tasik Taiping, Padang Kelab Selangor (kini dikenali sebagai Dataran Merdeka) di Kuala Lumpur, dan Rumah Rehat Lama Taiping di Bukit Larut.

Selain itu, pengaruh landskap zaman kolonial juga dapat dilihat dalam penanaman spesies pokok teduhan yang bukan berasal dari Malaysia, yang dibawa masuk oleh pihak British. Pembangunan bandar-bandar di Tanah Melayu bermula dengan pembukaan lombong-lombong hasil galian seperti bijih timah dan besi, yang kemudiannya membentuk landskap bandar dengan penekanan kepada perancangan infrastruktur pusat bandar seperti laluan kereta api dan jalan raya. Ia juga merangkumi kawasan komersial dan penempatan, serta pelabuhan yang menghubungkan bandar-bandar perlombongan bijih timah.

Selepas kemerdekaan, perubahan landskap Malaysia menjadi lebih ketara dengan fokus pada transformasi sektor pertanian, terutama penanaman komoditi seperti getah, kelapa sawit, dan koko, untuk menyokong Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dasar ini bertujuan meningkatkan kestabilan ekonomi, memperbaiki taraf hidup, dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Untuk mencapai matlamat ini, kawasan pertanian telah diperluas melalui penukaran kawasan hutan dan tanah lapang menjadi ladang-ladang pertanian. Aktiviti pertanian campuran dan inisiatif Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dalam mengembangkan ladang pertanian yang produktif turut menyokong integrasi kegiatan sosial, komersial, dan petempatan. Pembangunan landskap yang didominasi oleh ladang pertanian ini telah membawa kepada perubahan penting dalam ekosistem tempatan, infrastruktur luar bandar, dan struktur landskap di kawasan hutan serta kawasan semula jadi.

Hari Landskap 2024 dengan tema “Industri Landskap sebagai Pemacu Pembangunan Malaysia MADANI bertujuan mempergiatkan industri landskap serta mempromosikan dan memasarkan produk-produk landskap. Ini merupakan pendorong utama dalam mencapai matlamat pembangunan Malaysia MADANI. Oleh itu, sempena tema Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ menerajui pembangunan mampan yang seiring dengan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat setempat. Dasar Malaysia MADANI bertujuan membentuk masyarakat Malaysia yang progresif, inklusif, dan berlandaskan nilai-nilai moral serta etika yang tinggi.

Dasar dan strategi pembangunan landskap semasa di Malaysia menjadi pemangkin kepada pembangunan nasional. Jabatan Landskap Negara (JLN), Institut Akitek Landskap Malaysia (ILAM), serta agensi-agensi kerajaan dan industri berkaitan landskap, berperanan sebagai tulang belakang yang mengambil langkah penting dalam mempertingkatkan kualiti dan keberkesanan reka bentuk, pengurusan, penyelidikan, pendidikan, dan kesedaran mengenai amalan landskap. Dasar Landskap Negara berfungsi selaras dengan dasar-dasar lain seperti Dasar Pembangunan Negara, Dasar Alam Sekitar, dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk memastikan integrasi dan konsistensi dalam perancangan dan pelaksanaan. Dasar ini penting untuk memastikan landskap Malaysia berkembang secara mampan dan berdaya huni, dengan mengekalkan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar. Dengan itu, matlamat pembangunan industri landskap negara mengimbangi pembangunan Malaysia dalam aspek sosial, ekonomi, politik, dan budaya.

Pada masa ini, pendekatan pengelolaan landskap berintegrasi inovasi dan digital terhadap perubahan iklim, pengurusan risiko bencana alam, keselamatan makanan, dan pembinaan landskap yang inklusif serta berdaya huni. Malaysia menghadapi cabaran untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar dan sumber semula jadi. Peningkatan kadar urbanisasi yang membawa kepada taraf hidup yang lebih tinggi perlu diuruskan dengan baik bagi memastikan pembangunan mampan dan kelestarian kawasan hijau di bandar demi kesejahteraan rakyat.

Secara keseluruhannya, sejarah pembangunan landskap di Malaysia menunjukkan evolusi dan penyesuaian terhadap keperluan ekonomi, sosial, dan alam sekitar dari masa ke masa. Untuk mencapai pembangunan Malaysia MADANI, landskap secara umumnya menyumbang kepada pembentukan ruang dan alam sekitar yang selesa dan menarik untuk keperluan rakyat Madani. Oleh itu, hala tuju negara perlu memfokuskan kepada pengukuhan sistem pembangunan landskap, pemeliharaan, dan pemuliharaan kawasan hijau secara mampan, selaras dengan SDG. Setiap rakyat Malaysia harus berperanan dan bertanggungjawab terhadap pembangunan landskap negara yang berkualiti bagi mewujudkan kesejahteraan persekitaran hidup masyarakat.

Dengan mengintegrasikan teknologi landskap, Malaysia dapat memajukan visi Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ secara lebih efektif, mewujudkan ruang hijau yang tidak hanya menyokong pembangunan mampan tetapi juga memperkaya pengalaman hidup rakyat dalam persekitaran yang lebih harmoni dan progresif. Dalam konteks ini, teknologi landskap memainkan peranan penting dalam merealisasikan penyelesaian isu-isu landskap secara inovatif dan kreatif untuk menyokong ekosistem bandar dan luar bandar yang lebih sihat dan lestari. Ini termasuk pengurusan sumber alam menggunakan sistem teknologi yang mengurangkan pembaziran tenaga; penyediaan ruang hijau pintar dan teknologi hijau; penciptaan ruang sosial yang interaktif untuk menyokong aktiviti komuniti; penggunaan aplikasi mudah alih untuk pemantauan dan penyelenggaraan landskap; dan penyediaan platform aplikasi dalam talian untuk pendidikan dan kesedaran mengenai kepentingan landskap.

Selain menerapkan teknologi dalam bidang landskap, inspirasi Malaysia MADANI juga tercermin melalui penghargaan terhadap bunga kebangsaan, Bunga Raya Merah (Hibiscus rosa-sinensis), yang melambangkan simbol perpaduan, kemajuan, dan keberanian dalam membina negara bangsa. Penerapan elemen landskap semula jadi dan budaya setempat dalam pembangunan dapat memperkukuh identiti serta warisan budaya negara. Pembangunan landskap yang mampan bukan sahaja menyokong pengekalan biodiversiti tempatan, tetapi juga mencerminkan semangat nasionalisme dan penghargaan terhadap sumber landskap asli Malaysia dalam reka bentuk landskap.

Melalui inisiatif pertanian bandar, masyarakat tempatan dapat membina perpaduan kaum dengan bekerjasama dalam projek-projek kebun bandar dan kebun komuniti yang bermanfaat. Aktiviti seperti penanaman sayur-sayuran, buah-buahan, dan herba ini menggalakkan interaksi sosial dan mempererat hubungan antara kaum, sekali gus memupuk kesepaduan sosial di kalangan rakyat.

Oleh itu, dalam usaha untuk mengekalkan amalan Malaysia MADANI, pemeliharaan landskap menjadi asas penting dalam usaha membina sebuah negara yang progresif dan inklusif. Dengan memelihara dan memulihara landskap, kita bukan sahaja melindungi keindahan dan kekayaan alam semula jadi, tetapi juga memastikan bahawa pembangunan negara berjalan seiring dengan nilai-nilai kemampanan dan kesejahteraan rakyat. Melalui pendekatan ini, Malaysia MADANI dapat mengukuhkan identiti nasional sambil menggalakkan perpaduan dan kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar dalam kalangan rakyat.

Oleh Dr. Lee Yoke Lai dan Prof. Madya LAr. Dr. Sapura Mohamad. Kedua-dua penulis ini merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Alam Bina & Ukur (FABU).

Explore More