September 14, 2024

Search
Close this search box.
image

JOHOR BAHRU, 27 Ogos – Majlis Penghargaan dan Kecemerlangan Staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang dikenali sebagai Citra Karisma, telah berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Sri Iskandar (DSI) dengan kehadiran lebih daripada 600 orang. Majlis ini bertujuan untuk menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kepada staf yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan mereka.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan mempercepat pelaksanaan tugasan, mengamalkan prinsip ‘growth mindset,’ menerima dan memberi, seterusnya memahami, menyesuaikan, dan mengaplikasikan pembaharuan.

image
Datuk Fauzi ketika berucap semasa majlis berlangsung pada pagi tadi

Menurut Prof. Datuk Fauzi lagi, kelayakan akademik yang dimiliki oleh seorang pekerja perlu disokong dan diimbangi dengan tahap motivasi yang tinggi selain dipandu oleh etika kerja yang baik untuk berjaya dalam dunia pekerjaan.

Selain Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, sebanyak 24 anugerah lain telah dipertandingkan melibatkan staf pentadbir dan akademik yang menunjukkan kecemerlangan sepanjang perkhidmatan. Antara anugerah utama yang diberikan pada hari ini ialah Anugerah Tokoh Akademik yang menyaksikan Pengarah UTM Big Data Centre, Profesor Dr. Naomie Salim, yang juga menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Beliau diiktiraf atas sumbangannya dalam bidang akademik dan penyelidikan, dengan lebih 448 kertas kerja ilmiah dan penyeliaan 50 pelajar PhD.

Sebagai ahli Jawatankuasa Teknikal Dasar Perkongsian Data Negara dan Ketua Perunding Blueprint Universiti Berpacukan Data UTM, beliau telah menghasilkan algoritma penting yang menjadi asas kepada perisian seperti UTMChemical Workbench dan Oricheck. Inovasi beliau, termasuk enjin sentimen media sosial Malaysia, telah diambil oleh Jabatan Digital Negara untuk pelaksanaan Dasar Raya Sektor Awam.

“Mempunyai pasukan yang kuat, sama ada dalam kalangan pelajar mahupun rakan sekerja, sangat membantu saya. Saya tidak mungkin dapat melakukannya seorang diri. Sokongan daripada keluarga saya juga amat penting; mereka sentiasa menggalakkan saya untuk berkhidmat sebaik mungkin. Saya juga tidak lupa untuk sentiasa memohon kepada Allah agar dapat terus berbakti dengan sebaik-baiknya dan memberi manfaat besar kepada universiti dan negara. Niat yang utuh untuk berkhidmat memberi saya semangat dan kekuatan.”

image
Prof Naomie, penerima Anugerah Tokoh Akademik dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

Anugerah Pengajaran, yang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kejuruteraan dan Sains Sosial, telah diberikan kepada Prof. Ir. Ts. Dr. Sharifah Rafidah binti Wan Alwi dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga serta Dr. Norah binti Md Noor dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Prof. Sharifah Rafidah, yang telah berkhidmat selama 20 tahun di UTM, terkenal dengan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran, termasuk pengajaran berteraskan penyelidikan dan penggunaan teknologi terkini di dalam kelas. Beliau juga diiktiraf sebagai UKCGE Recognised Research Supervisor 2024 oleh UK Council for Graduate Education.

“Teaching is a lifelong journey of learning. Keep exploring new teaching methods, stay updated with the latest advancements, and never stop improving. The more we learn, the more we can give to our students.”

image
Prof Sharifah, penerima Anugerah Pengajaran kategori Kejuruteraan

Bagi Dr. Norah pula, pensyarah di Sekolah Pendidikan dan Timbalan Pengerusi Sekolah Pengajian Siswazah, berjaya membangunkan inovasi pembelajaran yang menggabungkan Model 5E dengan Pembelajaran Berbalik (Flipped Learning), yang terbukti meningkatkan penglibatan pelajar dalam talian serta kemahiran ICT.

“Saya suka mencuba pelbagai kaedah dan pendekatan terutamanya dengan penggunaan teknologi supaya pelajar saya yang berbeza-beza tahap pengetahuan dan latar belakang boleh faham apa yang saya ajar. Saya guna pendekatan Pembelajaran Berbalik, iaitu gabungan pembelajaran secara ‘online’ dan bersemuka. Semasa sesi ‘online’, saya susun aktiviti pembelajaran dan pentaksiran ikut elemen 5E (Engage, Explore, Explain, Elaborate, dan Evaluate). Pelajar boleh ulang kaji ikut masa mereka sendiri dan boleh ulang bahan pembelajaran bila-bila mereka perlu. Pada sesi bersemuka pula, kami buat aktiviti lebih interaktif supaya pelajar jadi lebih bermotivasi untuk belajar dan bina pengetahuan mereka dengan lebih mendalam.”

image
Dr Norah. penerima Anugerah Pengajaran kategori Sains Sosial

Sementara itu, ChM. Ts. Dr. Faizuan bin Abdullah dari Fakulti Sains, yang menggondol dua anugerah, iaitu Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan dan Anugerah Perekacipta (Sains dan Teknologi), menerima pengiktirafan ini atas penciptaan Molluscure®, yang telah dikomersilkan pada 2017, dan juga mendapat pensijilan MySTI daripada Kementerian Sains dan Teknologi Malaysia (MOSTI).

“Minat saya adalah mencipta inovasi untuk menyelesaikan masalah dalam kalangan masyarakat. Teknologi Molluscure® ini membantu menangani isu kerang-kerangan di kawasan tercemar, terutama dalam penyingkiran logam toksik dan bakteria. Nelayan juga mendapat manfaat dengan menjual hasil tangkapan mereka pada harga yang lebih baik, membuka pasaran baharu dan meningkatkan pendapatan mereka. Sebelum mencipta inovasi, penting untuk mengenal pasti masalah yang wujud dalam masyarakat dan mencari penyelesaian yang sesuai untuk negara.”

image
Dr Faizuan, penerima Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan serta Anugerah Perekacipta

Keempat-empat penerima anugerah ini bakal dicalonkan untuk Anugerah Akademik Negara (AAN) yang akan datang, dan Majlis Citra Karisma 2024 turut menyaksikan pelancaran lagu khas “Citra Karisma” serta persembahan koir dan teater komedi pendek mengenai cabaran jurang digital dalam pembelajaran masa kini.

Sementara itu majlis ini memperkenalkan tiga anugerah baharu, iaitu Anugerah Pengantarabangsaan, Anugerah Sukan (Kategori Sukan Para), dan Anugerah Pentadbir Harapan. Anugerah Pengantarabangsaan dianugerahkan kepada Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), manakala Anugerah Sukan (Kategori Sukan Para) diberikan kepada Noraziman bin Othman, Pembantu Operasi di Fakulti Komputeran UTM Johor Bahru, dan Anugerah Pentadbir Harapan menjadi milik Mohd Subha bin Salleh, Pegawai Teknologi Maklumat (F44) di UTMDigital.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Rosli Md. Illias, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Ali bin Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), dan Puan Hajah Nor Azizah Ismail, Pendaftar UTM.

Explore More