November 22, 2024

Search
Close this search box.
Male with virtual reality glasses

Cabaran kepimpinan digital di institusi pendidikan

Kepimpinan digital dalam pendidikan merujuk kepada penggunaan teknologi yang strategik dan inovatif untuk meningkatkan proses pengajaran, pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran dalam institusi pendidikan (Rumeli & Md Rami, 2023). Pemimpin digital yang berkesan sentiasa membimbing dan mengurus penyepaduan peralatan serta platform digital, memupuk budaya celik digital, dan memanfaatkan teknologi untuk memacu hasil pendidikan serta kecekapan organisasi yang dipimpinnya. Mereka juga bertanggungjawab melaksanakan strategi yang dipacu, penggunaan teknologi sejajar dengan matlamat institusi, meningkatkan pengalaman pembelajaran, dan menyediakan pelajar serta kakitangan untuk masa depan digital.

Terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh pemimpin dalam usaha untuk mengimplementasikan kepimpinan digital di institusi pendidikan. Salah satu cabaran utama adalah kesukaran membuat perubahan dalam kalangan warga organisasi. Ada segelintir warga organisasi yang tidak mahu menerima perubahan untuk menggunakan teknologi baharu dalam menjalankan tugasan mereka. Mereka sudah berada di zon selesa dengan kaedah tradisional yang telah digunakan sebelum ini, dan kemungkinan, mereka tidak bersedia atau takut terhadap perkara yang baharu dan tidak diketahui.

Menurut Selwyn (2024), pemimpin di institusi pendidikan perlu bijak mengurus perubahan secara strategik untuk memastikan semua pihak berpegang kepada hala tuju baharu, iaitu membudayakan celik digital. Proses perubahan yang diurus dengan baik boleh memotivasikan warga organisasi, mengelak kekeliruan dan meningkatkan keberkesanan amalan keseluruhan kepimpinan digital dalam sesebuah institusi pendidikan.

Cabaran lain dalam mengimplementasikan kepimpinan digital di institusi pendidikan adalah kurangnya latihan dan pembangunan profesional yang mencukupi. Latihan dan kursus berkaitan pengetahuan serta kemahiran menggunakan alat digital secara berkesan adalah satu kemestian untuk membantu warga organisasi memahami dan memanfaatkan teknologi ini dengan optimum (Lloyd, 2021).

Seterusnya, isu keselamatan siber dan privasi data juga menjadi cabaran yang besar. Amalan keselamatan siber yang lemah boleh menjejaskan privasi dan imej warga di institusi pendidikan. Selain itu, ekuiti digital dan akses juga memberikan cabaran besar kepada kejayaan pelaksanaan kepimpinan digital di institusi pendidikan. Ketidakadilan dan ketidaksamaan dalam mengakses teknologi dan internet berkelajuan tinggi boleh mewujudkan jurang digital dalam kalangan pelajar daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi.

Perubahan teknologi masa kini sentiasa bergerak pantas. Warga di institusi pendidikan perlu menghadapi perubahan teknologi yang pesat ini, yang boleh menjejaskan keupayaan institusi pendidikan untuk kekal terkini dan memberikan pengalaman pendidikan yang inovatif. Tambahan pula, pelaksanaan alat digital sering kali memerlukan anjakan pedagogi, di mana pendidik perlu memikirkan semula dan menyesuaikan metodologi pengajaran mereka.

Satu lagi cabaran adalah berkaitan kewangan. Mengimplementasikan kepimpinan digital di institusi pendidikan memerlukan belanjawan untuk membeli dan menyelenggara peralatan digital. Kekurangan sumber kewangan untuk membeli dan menyelenggara peralatan digital ini boleh membantutkan usaha untuk membudayakan celik digital di dalam sesebuah organisasi pendidikan.

Secara keseluruhan, terdapat banyak cabaran untuk mengamalkan kepimpinan digital dalam institusi pendidikan. Pemimpin institusi metilah bijak memainkan peranan dalam mengatasi cabaran-cabaran ini kerana dengan memaksimumkan penggunaan teknologi, ia dapat meningkatkan kecemerlangan pengurusan, pentadbiran dan pengalaman pendidikan.

Oleh Prof. Madya Dr. Jamilah Ahmad dan Prof. Madya Ts. Dr. Sharifah Osman

Rujukan:

Lloyd, M. (2021). Leading Digital Transformation in Education: Theory and Practice. Routledge.

Rumeli, M., & Md Rami, S. (2023). Professional Development and Digital Competency for Higher Education Faculty: Opportunities and Barriers. Journal of Professional Development in Education, 44(2), 189-204.

Selwyn, N. (2024). Education and Technology: Key Issues and Debates. Cambridge University Press.

Explore More