November 3, 2024

Search
Close this search box.
A

JOHOR BAHRU, 21 Jul. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur) merealisasikan kerjasama pembangunan Tapak Waqaf Bee Park menerusi Geran Penyelidikan Projek Perladangan Kelulut Moden Bee Modular Waqaf An-Nur-UTM hari ini.

Majlis perasmian Tapak Waqaf Bee Park yang diterajui Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) di Kolej Dato’ Onn Jaafar (KDOJ) UTM Johor Bahru telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Waqaf An-Nur, Tuan Haji Bukhari bin Abd Rahman, dan disaksikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Rosli bin Md Illias.

Waqaf Bee Park
Dr. Mohd Khairuddin Ramliy (dua kanan) memberi penerangan berkiatan penternakan kelulut menggunakan Bee Modular Box.

Inisiatif ini adalah selari dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menggalakkan Universiti Awam (UA) memperbanyak program ‘turun padang’ serta menyemarakkan lagi perkongsian ilmu dan kepakaran dengan komuniti menerusi program “University for Society@Keluarga Malaysia” atau UNiTY.

Menurut Prof. Dr. Rosli bin Md Illyas, UTM dan Waqaf An-Nur akan terus berganding bahu mengorak langkah ke hadapan menerusi usaha sama ini dan ia akan melakar sejarah tersendiri buat kedua-dua pihak.

Prof Rosli Waqaf Bee
Prof. Rosli ketika berucap sempena perasmian Waqaf Bee Park UTM-Waqaf An-Nur.

“Projek ini adalah berlandaskan prinsip tanggungjawab sosial dengan memberi penekanan kepada Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) yang dapat memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah menerusi perladangan kelulut yang lebih mampan, inovatif dan efisien,” ujar Prof. Rosli.

Menerusi inisiatif ini seramai 30 orang peserta komuniti UTM yang terdiri daripada 25 orang pelajar dan lima orang staf daripada kategori B40 bakal mengikuti modul latihan dan pemindahan teknologi Bee Modular Box. Sebanyak 100 kekotak Bee Modular yang bakal diagihkan kepada para peserta melalui Geran Penyelidikan dari Waqaf An-Nur sebanyak RM350,000.

A ()
Wakil pelajar menerima serahan surat tawaran sebagai peserta Projek Perladangan Kelulut Moden Waqaf Bee Park.

Sinergi ini bakal memberi manafaat kepada peserta dengan memperolehi ilmu dan kemahiran berkaitan perladangan kelulut dengan teknologi terkini dan secara tidak langsung mampu menjana pendapatan tambahan kepada pelajar dan staf yang terlibat.

Sementara itu, Tuan Haji Bukhari berkata projek ini merupakan salah satu inisiatif Waqaf An-Nur dalam manyalurkan manfaat wakaf kepada golongan penerima yang layak. Inisiatif ini selari dengan misi Waqaf An-Nur untuk memperkasa ekonomi ummah sejagat serta menggunakan pendekatan inovasi, pembangunan bisnes dan menguruskan sumber aset yang strategik secara produktif serta memakmurkan kesejahteraan generasi akan datang sebagaimana konsep “Wakaf Tali Pancing” yang diperkenalkan.

Jalinan kerjasama seperti ini wajar diteruskan pada masa hadapan agar dapat dimanfaati oleh kelompok komuniti yang lebih besar seterusnya kemahiran masyarakat dapat dipertingkat.

Explore More