Oktober 18, 2024

Search
Close this search box.
Lestari

JOHOR BAHRU, 21 Jul. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan CBH Recycle (M) Sdn. Bhd. telah menganjurkan Program Kitar Semula Secara Pandu Lalu @ UTM 2024 bertempat di Tasik Ilmu, Taman Tropika, UTM Johor Bahru.

Program ini merupakan sebahagian daripada Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Puteri 2025 dalam membudayakan amalan lestari demi merealisasikan hasrat menjadikan Iskandar Puteri sebagai sebuah bandar raya mampan dan sejahtera.

Dalam masa yang sama, inisiatif ini juga bertindak sebagai wadah pendidikan kelestarian dan bimbingan komuniti dalam usaha membudayakan gaya hidup rendah karbon untuk mengurangkan kesan perubahan iklim dan pemanasan suhu bumi.

Lestari
Pengumpulan minyak masak terpakai antara praktis kelestarian dalam usaha membudayakan gaya hidup rendah karbon di Iskandar Puteri.

Pengurus Projek, Nurul Amrie Abdullah berkata, inisiatif ini sudah menjadi sebahagian daripada program tahunan UTM bersama MBIP dan rakan-rakan strategik yang lain.

“Tahun lepas menyaksikan kita berjaya mengumpulkan sebanyak 4,000 kg barangan kitar semula, 3,573 kg minyak masak terpakai, 2,370 kg sisa peranti elektronik (e-waste) dan 4,891 kg fabrik terpakai.

“Secara keseluruhan, program tahun lepas berjaya membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 32,655.6 kgCO2.

“Oleh itu, untuk tahun ini, kita berharap untuk mengumpulkan lebih banyak lagi barangan kitar semula dan cuba untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian seperti mana program tahun lepas.

Sementara itu, program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga UTM dan sekitarnya.

Lestari
Program Kitar Semula Secara Pandu Lalu @ UTM 2024 menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada warga UTM dan sekitarnya.

Sisa elektronik merupakan antara barangan kitar semula yang dibawa oleh rata-rata pengunjung. Sementara itu, pengunjung dalam kalangan peniaga-peniaga dan suri rumah pula rata-ratanya membawa minyak masak terpakai dari rumah dan premis perniagaan masing-masing.

Lestari
Antara sisa elektronik dan minyak masak terpakai yang berjaya dikumpulkan sewaktu program.

Program seumpama ini diharap mampu menjadi model contoh untuk dilaksanakan secara besar-besaran di setiap daerah dalam usaha Johor untuk mengadaptasi konsep kelestarian dalam aktiviti pembangunan dan gaya hidup masyarakatnya sejajar dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030.

Lestari
Antara sukarelawan yang menjayakan Program Kitar Semula Secara Pandu Lalu @ UTM 2024.

Explore More