Julai 7, 2024

Search
Close this search box.
A

UTM kekal jadi Universiti Terbaik bagi Pengajaran Sains Komputer di Malaysia buat kali ketiga

JOHOR BAHRU, 4 Jul. –Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mengekalkan status buat tahun ketiga berturut-turut sebagai universiti terbaik bagi komponen pengajaran di bawah penarafan subjek Sains Komputer di Malaysia, berdasarkan THE World University Ranking (WUR). 

Pencapaian yang cukup membanggakan bagi fakulti di bawah naungan Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir ini turut diperkukuh apabila tersenarai sebagai kedua terbaik di Malaysia di bawah penarafan subjek Sains Komputer QS WUR. Ianya boleh dilihat berdasarkan kadar kebolehpasaran graduan di antara 99% hingga 100% untuk tiga tahun yang lepas, dan kadar berpendapatan premium (gaji melebihi RM4,000) 40% untuk graduan tahun 2023.

Apabila ditanya akan rahsia kejayaan ini, Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir, Dekan Fakulti Komputeran (FC), menyatakan kerjasama baik dan hubungan rapat dengan industri serta kualiti para pensyarah yang terjaga merupakan antara strategi utama yang telah diterapkan oleh fakulti ini. Komitmen tinggi yang telah diberikan oleh pasukan pengurusan dan seluruh warga fakulti dalam menjayakan strategi ini telah menghasilkan program akademik yang berkualiti tinggi dan membuahkan kejayaan melalui penarafan dan pengiktirafan yang diterima.

A
Dekan FK, Prof. Ts. Dr. Wan Nasir Wan Kadir dalam sesi wawancara

“FC telah dianugerahkan status Premier Digital Tech Institutions (PDTI) sejak tahun 2019 oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)” ujar beliau.

Tambahnya lagi, MDEC memainkan peranan dalam membina jaringan dengan pemain industri teknologi digital dari dalam dan luar negara bagi pembangunan, pelaksanaan, dan semakan kurikulum supaya program akademik di FC kekal terkini sejajar dengan keperluan industri dan transformasi teknologi digital pada masa ini. Kurikulum ini direka bersama pakar-pakar daripada industri, dengan menawarkan peluang kepada mahasiswa untuk mendapatkan pengalaman praktikal secara lansung di samping kemahiran dan pengetahuan mengikut keperluan semasa industri yang sedang berkembang pesat.

Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir  turut menjelaskan, FC sentiasa memastikan para pensyarah di fakulti ini kompeten selari dengan perubahan dan perkembangan teknologi digital yang semakin pantas.

“Memastikan kompetensi pensyarah yang relevan dengan teknologi digital yang terkini merupakan antara cabaran yang besar dihadapi oleh FC. Justeru, FC telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi merancang dan memantau program pembangunan bakat dan bidang tujahan yang mengetengahkan tujuh bidang tujahan utama termasuk bidang kejuruteraan perisian, pengkomputeran awan, sains data, blok rantai, teknologi imersif, keselamatan siber dan kecerdasan buatan” ujar beliau.

“FC turut mengambil inisiatif dalam menyediakan peluang latihan dan pembangunan bakat kepada pensyarah untuk membantu mereka supaya sentiasa terkini dan dapat mencari peluang di era ledakan transformasi digital masa kini. FC juga mempunyai polisi khas yang tersendiri bagi menjamin kualiti dan impak kursus yang diikuti” tambah beliau.

Terdapat banyak lagi usaha yang telah diketengahkan oleh FC bukan sahaja untuk mengekalkan kedudukan sebagai fakulti terbaik, tetapi juga bagi mencapai matlamat asal fakulti ini, iaitu menghasilkan graduan yang holistik, berkualiti tinggi serta dapat memberikan impak yang positif kepada komuniti dan mempunyai daya cipta yang baik sejajar dengan Rukun Madani yang ke-5.

Antara usaha tersebut termasuklah menggalakkan keterlibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti program akademik yang dirangka oleh FC seperti program industry embedment, industry-infused, Work-based Learning, Research-led Teaching, community services dan banyak lagi. FC juga memberikan sokongan kepada aktiviti bukan akademik seperti aktiviti persatuan pelajar dan menggalakkan pelajar menyertai pertandingan berkaitan bidang tujahan fakulti di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya lagi, FC juga turut menyediakan pelbagai kemudahan yang terkini serta ruang pembelajaran yang kondusif kepada para mahasiswa seperti makmal komputer yang serba lengkap, ruang belajar yang selesa, formal mahupun tidak formal kepada mahasiswa.

A
Makmal yang serba lengkap untuk kegunaan pelajar FC

 

A
Student Lounge: Ruang pelajar berkumpul untuk pelbagai aktiviti dan bersantai

Sementara itu, menurut Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir, ramai alumni FC yang telah berjaya menempa nama dalam industri, baik di dalam mahupun luar negara. Para alumni ini juga turut memberikan sokongan kepada FC. Salah satu daripadanya ialah Arif Tukiman, CEO di RunCloud yang turut diiktiraf dalam senarai Forbes 30 Under 30, pernah memberi bakti sebagai panel industri dan aktif berkongsi pengalaman beliau kepada mahasiswa di UTM. Terdapat juga alumni FC yang bekerja di industri digital ternama dunia seperti PPG Penssylvania dan Netflix USA. Selain alumni ternama di industri, ramai juga alumni FC yang telah menempa kejayaan dalam bidang akademik.

“Sekadar pengkongsian, terdapat beberapa orang Dekan dalam Majlis Dekan ICT Malaysia pada masa ini merupakan alumni FC. Bagi saya, ini adalah bukti hasil keluaran FC yang diterima baik dan turut diiktiraf di universiti lain,” tambah Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir, yang juga merupakan Pengerusi bagi Majlis Dekan ICT Malaysia.

Menerusi reputasi tinggi yang berjaya dilakar, FC UTM kini turut menjadi penanda aras kepada universiti yang lain. FC akan meneruskan inovasi dan jalinan kerjasama yang erat bersama pihak industri, dan terus melangkah ke hadapan sebagai peneraju dalam bidang komputeran di Malaysia. Harapan Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir, dengan sokongan yang berterusan daripada pelbagai pihak, UTM akan terus dapat melahirkan graduan yang berkualiti tinggi dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran dunia digital yang semakin pantas berkembang, di samping memberi impak positif kepada komuniti dan negara.

Explore More