Julai 20, 2024

Search
Close this search box.
A

JOHOR BAHRU, 11 Jul. –Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kamarizs Medicare Sdn. Bhd. terus memperkukuh kerjasama strategik menerusi perasmian Makmal Bersama dan pelancaran projek penyelidikan serta produk inovatif terbaru hasil daripada kolaborasi yang terjalin.

Majlis perasmian ini yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, dengan disaksikan oleh Pengarah Kamarizs, Dato’ Dr. Zahir Husain Kamari (DPMJ), Pengarah Bersama, Datin Dr. Suhaila Sujani dan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Rosnani Hasham@Hisam, Pengarah, Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), UTM.

Penandatanganan memorandum perjanjian (MoA) melalui projek penyelidikan fasa pertama ‘Development of Coenzyme Q10 Supplement: Formulation and Efficacy’ pada 10 Oktober 2023 yang lalu telah menjadi langkah awal kepada kolaborasi ini.

Kini, kerjasama tersebut diperkasa lagi dengan penubuhan makmal bersama di Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), UTM Johor Bahru, dan pelancaran projek penyelidikan fasa kedua yang memfokuskan kepada Microemulsification of Plant-Based Omega-3, Vitamin D3, dan Vitamin K2 Synergy Formulation for Improved Bioaccessibility. Suntikan dana (matching grant) daripada kedua-dua entiti sebanyak RM10,000.00 dimeterai dalam membantu menggiatkan lagi penyelidikan dan pembangunan produk baharu. Penubuhan makmal dan pelancaran projek baharu ini menandakan komitmen tinggi kedua-dua pihak untuk terus menerajui bidang penyelidikan dan inovasi.

A
Co-Q10 Complex Chewable Tablet antara produk yang terhasil daripada kolaborasi antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kamarizs Medicare Sdn. Bhd.

Dua produk yang telah dibangunkan melalui projek fasa pertama telah dilancarkan, iaitu Co-Q10 Softgel dan Co-Q10 Complex Chewable Tablet. Menurut ketua projek, Dr. Nor Hasmaliana Abdul Manas, Co-Q10 Softgel direka khas untuk membantu meningkatkan penyerapan koenzim Q10 dalam tubuh dengan menggunakan teknologi “dual lipo carrier” manakala Co-Q10 Complex Chewable Tablet pula menawarkan alternatif yang sesuai untuk semua peringkat umur dengan formulasi yang meningkatkan kelarutan dan bioavailabiliti koenzim Q10. Selain rasa yang menyenangkan, tablet ini juga memberikan manfaat kesihatan yang lebih komprehensif.

Prof. Datuk Ahmad Fauzi menyatakan bahawa usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk memperkukuh hubungan antara UTM dan pihak industri, serta mempromosikan budaya penyelidikan yang inovatif dan progresif, selaras dengan visi enVision UTM 2025 yang menekankan inovasi sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

“Projek seperti ini merupakan sesuatu yang amat berimpak kepada institusi pendidikan negara di mana kita menghasilkan produk dan penyelidikan yang berimpak. Ini juga merupakan batu loncatan kepada industri di luar sana untuk bekerjasama dengan pihak universiti untuk meningkatkan dan memperkasakan produk mereka,” ujar Prof. Datuk Ahmad Fauzi.

A
Pelancaran produk dari fasa pertama iaitu Co-Q10 Softgel dan Co-Q10 Complex Chewable Tablet

Kejayaan projek fasa pertama ini telah diiktiraf melalui beberapa anugerah, termasuk “First Best Oral Presentation Award” dalam 7th International Congress on Advances in Bioscience and Biotechnology (ICABB) di Turki, serta “Bronze Medal Award” untuk inovasi Dual Lipo COQ10 di 25th Industrial Art & Technology Exhibition (INATEX 2023). Pencapaian ini menunjukkan komitmen tinggi UTM dalam menyumbang kepada kemajuan teknologi, kesihatan masyarakat, dan kesejahteraan negara.

“Dengan bantuan cendekiawan di UTM ini, kita telah berjaya mencipta produk kesihatan yang hebat dengan hanya perlu gigit dan makan seperti gula-gula, dengan efikasi yang sama. Semudah itu untuk menjaga kesihatan, kenapa tidak kita war-warkan. Selepas kejayaan kita menciptakan produk Q10, kita tidak berhenti di sini, kita akan meneruskan lagi kerjasama untuk memajukan sesuatu yang kita rasa semakin kritikal. Q10, kita harap ia boleh membantu dalam kesihatan terutamanya organ dan juga kecantikan kulit,” ucap Dato’ Dr. Zahir dalam ucapan beliau semasa perasmian joint-lab yang dijalankan sebentar tadi.

A
Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail (dua dari kanan hadapan) Naib Canselor UTM, Dato’ Dr. Zahir Husain Kamari (dua dari kiri hadapan) Pengarah Kamarizs Medicare Sdn. Bhd., Datin Dr. Suhaila Sujani (pertama dari kiri hadapan) Pengarah Urusan Kamarizs Medicare Sdn. Bhd. dan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Rosnani Hasham@Hisam (pertama dari kanan hadapan) Pengarah, Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), bersama Pegawai-Pegawai Kanan dari Kamarizs Medicare Sdn Bhd dan UTM

Penubuhan makmal bersama ini juga menyediakan platform bagi penyelidik dan pelajar UTM untuk berkolaborasi dengan pakar industri, mendapatkan pengalaman praktikal, dan menyumbang kepada penemuan serta inovasi baharu. Ini sejajar dengan visi UTM untuk melahirkan graduan yang cemerlang dari segi akademik serta kompeten dalam menghadapi cabaran industri.

Kerjasama antara UTM dan Kamarizs Medicare ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara akademia dan industri, tetapi juga membuka peluang baharu untuk penyelidikan dan inovasi yang mampu memberikan manfaat besar kepada masyarakat dan negara.

Explore More