Julai 20, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at cb

Sesi Engagement UAD, memperkasa tadbir urus dalam kalangan PTJ

KUALA LUMPUR, 9 Jul. – Dalam usaha memperkukuhkan integriti dan kecekapan pengurusan kewangan serta operasi di seluruh Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Unit Audit Dalam telah menganjurkan siri engagement bersama Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang berlangsung pada 9 Julai 2024 di Dewan Seminar, Menara Razak, UTM Kuala Lumpur. Unit Audit Dalam juga telah selesai mengadakan sesi engagement dengan Jabatan Bendahari UTM Johor Bahru pada 2 Julai 2024 di Pulai Spring Resort dan Jabatan Perpustakaan pada 4 Julai 2024 di Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Johor Bahru.

WhatsApp Image at a
Engagement UAD – Bendahari UTM Johor Bahru.

Siri engagement ini bertujuan untuk menerangkan peranan dan tanggungjawab audit dalam untuk membantu sesebuah organisasi mencapai matlamatnya melalui pendekatan yang sistematik dan berdisiplin. Ia juga adalah untuk menilai dan memperbaiki keberkesanan kawalan, pengurusan risiko dan proses tadbir urus. Selain itu, siri ini juga dapat membantu meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai pentingnya amalan audit dalaman yang efektif. Program ini juga memberi peluang kepada PTJ untuk berinteraksi secara langsung dengan Unit Audit Dalam bagi membincangkan isu-isu berkaitan serta mencari penyelesaian bersama.

WhatsApp Image at fab
Engagement Unit Audit Dalam – Perpustakaan UTM Johor Bahru.

Dalam sesi tersebut, Tn. Hj. Abdul Rashid Aris, Ketua Unit Audit Dalam menekankan kepentingan audit dalaman sebagai alat untuk meningkatkan keberkesanan kawalan dalaman dan memastikan pematuhan terhadap polisi dan prosedur yang ditetapkan. Beliau turut berkongsi beberapa kes kajian dan amalan terbaik yang boleh dijadikan panduan oleh PTJ.

“Audit dalaman bukan sekadar untuk mengenal pasti kelemahan, tetapi juga untuk membantu organisasi dalam memperbaiki proses dan mencapai matlamat strategik. PTJ juga perlu menerapkan budaya tadbir urus yang baik bagi memastikan organisasi dikendalikan dengan beretika, telus dan bertanggungjawab” kata Tn. Hj. Abdul Rashid.

PTJ turut berpeluang menyertai sesi soal jawab bagi membincangkan isu-isu khusus yang dihadapi oleh PTJ masing-masing. Sesi ini mendapat sambutan yang positif daripada PTJ, dengan ramai yang menyatakan bahawa mereka memperoleh banyak ilmu dan pemahaman baru mengenai peranan dan fungsi audit dalaman.

Unit Audit Dalam akan meneruskan siri engagement ini pada masa akan datang dengan lebih banyak PTJ yang terlibat. Seterusnya, memperkukuhkan lagi kerjasama dan kefahaman antara Unit Audit Dalam dan PTJ.

 

Disediakan oleh: Rosmaniza binti Haron dan Nurulsakina binti Saffif

Explore More