JOHOR BAHRU, 21 Jul. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini melakar sejarah dengan pelancaran rasmi Smart Bin, inovasi terkini hasil idea kreatif daripada staf Skim H di Seksyen Kelestarian dan Keindahan Kampus, Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP). Majlis pelancaran yang berlangsung di Kolej 9, UTM Johor Bahru yang diserikan dengan kehadiran Pengerusi Bahagian Pemajuan, Pengarah OSHE, Pengarah Seksyen Dana Endowmen, Pengarah Kelestarian Kampus UTM, Pengetua Kolej K9 dan K10, staf, pelajar, dan tetamu kehormat menyaksikan pelancaran Smart Bin ini.
Pengerusi Bahagian Pengurusan Aset, Prof. Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan Seksyen Kelestarian dan Keindahan Kampus serta semua yang terlibat dalam pelancaran Smart Bin UTM. Menurut beliau, dengan adanya program harini dapat memberikan lebih semangat kepada semua rakan-rakan untuk terus berinovasi.
“Smart Bin ini direka dengan tujuan utama untuk mengatasi masalah monyet yang sering menyelongkar tong sampah di kampus kita. Dengan menggunakan teknologi sensor, penutup tong sampah dapat dibuka secara automatik apabila didekati oleh pengguna, walaubagaimanapun ia tertutup rapat sekiranya tiada yang mendekatinya agar dapat menghalang haiwan liar daripada membukanya. Inovasi ini bukan sahaja memudahkan pengguna, tetapi juga meningkatkan tahap kebersihan dengan mengurangkan sampah yang bersepah akibat daripada kehadiran haiwan tersebut” ulas Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) yang turut hadir semasa majlis pelancaran.
Selain itu, Smart Bin ini akan dibawa untuk menyertai Konvensyen Inovasi dan Kreativiti (KIK) UTM dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi. Ini adalah satu langkah besar yang mencerminkan dedikasi UTM dalam menghasilkan inovasi yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar. Ia merupakan yang pertama di Malaysia dan teknologi ini adalah satu pencapaian yang membanggakan. Prof. Edy yakin ia akan membawa banyak manfaat kepada seluruh warga kampus, terutama sekali bagi mereka yang turut serta dalam proses penghasilan Smart Bin ini.
Program Pelancaran ini juga turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Encik Mohamad Azhan Md. Amir. Dalam ucapannya, beliau berharap agar UTM terus berkongsi manfaat inovasi ini dengan komuniti.
“Kami berharap UTM akan terus ke hadapan dan memberikan manfaat kepada masyarakat melalui inovasi yang cemerlang seperti ini. Inisiatif ini tidak hanya meningkatkan kebersihan di kampus tetapi juga menunjukkan contoh terbaik bagaimana teknologi boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah harian dan memberikan manfaat kepada warga kampus
“Semoga usaha ini menjadi pencetus kepada lebih banyak inovasi yang akan datang. Mari kita bersama-sama memastikan kejayaan Smart Bin ini menjadi motivasi untuk kita terus berinovasi untuk masa depan yang lebih baik,” ujar beliau sekaligus merasmikan pelancaran Smart Bin pertama di UTM Johor Bahru.
Pelancaran Smart Bin menandakan satu lagi langkah penting bagi UTM dalam usaha mereka mempromosikan kelestarian dan inovasi. Acara diakhiri dengan penuh semangat dengan sesi bergambar bersama-sama tetamu yang hadir dan majlis ini memberi satu semangat dan harapan agar lebih banyak inisiatif sebegini dapat direalisasikan pada masa akan datang.