September 17, 2024

Search
Close this search box.

Pelancaran Resilience Living Lab Pasir Mas: Mengukuhkan pemulihan bencana di Kelantan

PASIR MAS, 22 Jul. –  Pelancaran Resilience Living Lab Pasir Mas 2030 sejajar dengan pelaksanaan Bengkel Pemulihan Bencana Berdaya Tahan (Penilaian Keperluan Pasca Bencana, PDNA) pada 22 Julai 2024 di negeri Kelantan merupakan bukti komitmen pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO), akademia, dan swasta, dalam mengangkat agenda pengurangan risiko bencana di Malaysia.

Pembangunan kaedah pendataan dan pemetaan PDNA ini dibuat berdasarkan bencana banjir rentas sempadan pada Februari dan Disember 2022, yang melibatkan lembangan Sungai Golok, yang bersempadan antara Malaysia (seluas 1028km2, 47%), dan Thailand (seluas 1147km2, 53%).

Pelancaran Resilience Living Lab 2030 telah dirasmikan oleh YAB Tn Haji Nik Mohamed Noor bin Nik Ishak, Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana Negeri Kelantan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, dan turut dihadiri oleh YB Dato’ Hajjah Siti Zailah binti Mohd Yusoff, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Kelantan.

Sekitar majlis perasmian Resilience Living Lab

Bencana berganda cetusan impak perubahan iklim semasa Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022 telah mengakibatkan kadar kerugian ekonomi sebanyak RM29.8 juta di negeri Kelantan, dengan 87.5% direkodkan di Jajahan Pasir Mas dengan 46% mukim dan 140,000 orang terjejas. Di samping itu, bencana rentas sempadan turut menjejaskan 13 daerah di wilayah Narathiwat, Thailand.

Inisiatif berimpak tinggi ini merupakan usaha bersama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) dan Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana (DPPC), Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, dengan kerjasama strategik bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri, serta sokongan daripada Bahagian Pengurusan Bencana Negeri Kelantan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah, Pejabat Jajahan Pasir Mas, NGO, badan profesional, ketua-ketua masyarakat, dan komuniti rentan terpilih.

Sesi Lawatan Tapak (Penilaian & Pembelajaran Lapangan) @ Resilience Living Lab Pasir Mas Tema 1: Strategi DRR Bencana Rentas Sempadan
Sesi Lawatan Tapak (Penilaian & Pembelajaran Lapangan) @ Resilience Living Lab Pasir Mas Tema 2: Pemulihan Penempatan Berdaya Tahan
Sesi Lawatan Tapak (Penilaian & Pembelajaran Lapangan) @ Resilience Living Lab Pasir Mas Tema 3: Agenda Bangkit-Lebih-Baik (Build-Back-Better)
Sesi Lawatan Tapak (Penilaian & Pembelajaran Lapangan) @ Resilience Living Lab Pasir Mas Tema 4: Infrastruktur Kritikal Berdaya Tahan & Water, Sanitation & Hygiene (WASH)

Platform PDNA ini adalah pendekatan unik dalam pendataan dan pemetaan keperluan pasca bencana yang menyokong fasa pemulihan bencana berdaya tahan. Ini selaras dengan agenda Bingkas-Bangkit dengan Lebih Baik (Build-Back-Better) seperti yang termaktub dalam Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana (Sendai Framework for Disaster Risk Reduction) 2015-2030, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR).

Platform ini membangunkan keadah pendataan PDNA berorientasikan teknologi dalam penyaluran bantuan bencana yang lebih bersasar dan berimpak. Selain itu, ia juga meningkatkan keupayaan fasa pemulihan bencana berdasarkan data ‘keperluan’ yang disokong oleh data kerosakan dan kerugian ekonomi akibat bencana. Pendekatan transdisplinari dalam penilaian pasca bencana juga dipromosikan melalui platform ini, yang dipacu oleh komuniti rentan. Ini memperkukuh pemakaian agenda “Build-Back-Better” melalui Resilience Living Lab, sebuah platform pelbagai sektor, yang memainkan peranan penting dalam mengangkat gagasan nasional terhadap pemulihan bencana berdaya tahan yang berorientasikan data lapangan penilaian teknikal dan keperluan selepas bencana cetusan impak perubahan iklim.

Dengan memperingati tragedi bah kuning 10 tahun (2014-2024) di negeri Kelantan, program berimpak dan platform multi-disiplinari ini menyokong pelaksanaan aktiviti kesiapsiagaan dan pengukuhan sektor pemulihan bencana berdaya tahan. Ini memberikan tumpuan kepada pengumpulan dan pengupasan data teknikal, laporan statistik, bukti lapangan, dan keperluan bersasar, sejajar dengan sasaran global, aspirasi serantau, dan komitmen nasional terhadap pengurangan risiko bencana dan pengukuhan daya tahan tempatan.

Explore More