September 7, 2024

Search
Close this search box.
SKY UTM

CYBERJAYA, 16 Jul. – Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi antara penerima tawaran bagi mengikuti “Sky Global Apprenticeship Program” dalam satu majlis penyerahan rasmi yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Program latihan pengalaman kerja profesional bertaraf antarabangsa ini ditawarkan oleh Turkish Aerospace Industries (TUSAŞ) kepada 20 pelajar dari 10 universiti di negara ini.

Tiga pelajar Universiti ini yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok penerima siang tadi  merupakan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Afif Izhar Abdullah Haris, Muhammad Firdauz Zainal, dan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Samuel Low Yu Hang.

SKY UTM
Afif Izhar menerima surat tawaran daripada Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry
SKY UTM
Muhammad Firdauz antara pelajar yang bakal mengikuti Program “Sky Global Apprenticeship’

Selain UTM, kelompok pelajar yang bakal menyertai program berprestij ini merupakan pelajar dari Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Universiti Teknikal Malalysia (UTeM), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

SKY UTM
Dua daripada tiga pelajar UTM yang menerima surat tawaran ‘Sky Global Apprenticeship Program’ bersama Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ahmad Fauzi dan Prof. Madya Ir. Dr. Shabudin bin Mat, Pengarah UTM Aerolab

Para pelajar ini bakal mengikuti latihan pengalaman kerja profesional (global apprenticeship) di Turkish Aerospace, Ankara, Turkiye bermula 22 Julai 2024 hingga 16 Ogos 2024 bagi kumpulan pertama, manakala 2 September 2024 hingga 27 September 2024 bagi kumpulan kedua.

Program ini telah direka khas buat pelajar Malaysia bagi memastikan peserta dapat dilatih secara profesional dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa merentasi pelbagai disiplin dan menerima pendedahan berkaitan pengalaman praktikal termasuklah avionik, reka bentuk elektronik, pengaturcaraan, reka bentuk struktur pesawat, pemasangan sistem pesawat dalam sektor yang kian berkembang pesat ini.

Antara pengisian program ini termasuklah memberikan pengetahuan asas tentang subjek-subjek utama dalam sektor aeroangkasa, melibatkan pelajar dalam projek-projek berteknologi tinggi, serta memberikan bimbingan dan sokongan kerjaya daripada jurutera berpengalaman.

Pemilihan pelajar yang layak ke program ini disaring dengan teliti dan tawaran ini adalah terbuka kepada pelajar dari jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa / Aeronautik, Kejuruteraan Elektrikal/Elektronik, Kejuruteraan Komputer/Komunikasi, dan Kejuruteraan Mekanikal/Mekatronik. Peserta program perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan dan mempunyai kemahiran bahasa Inggeris pada tahap tinggi mengikut standard Eropah dengan CGPA 3.00 daripada 4.00.

SKY UTM
Kelompok pelajar yang turut menerima surat tawaran masing-masing

Untuk rekod, program ini merupakan salah satu inisiatif berimpak tinggi di bawah payung kerjasama antara Consortium of Malaysian Universities (CMU), Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), TUSAŞ Malaysia dan TUSAŞ Akademi (Turkiye) yang dimeterai pada 7 April 2023. Kerjasama ini dimeterai sebagai platform menyokong keperluan bakat dalam merealisasikan visi negara dan bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan reka bentuk aeroangkasa Malaysia serta pembangunan dan industri pembuatan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Program ini akan memberikan manfaat besar kepada negara dengan mengembangkan kemahiran kejuruteraan pelajar Malaysia melalui pengalaman kerja antarabangsa, meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam industri aeroangkasa, membina jaringan profesional antara Malaysia dan Turkiye dalam sektor aeroangkasa, serta menyumbang kepada pembangunan modal insan dalam bidang teknologi tinggi.

Explore More