November 22, 2024

Search
Close this search box.
IMG WA

Pelajar Kolej Siswa Jaya UTM berkhidmat bersihkan Kampung Nelayan di Pulau Perhentian

PULAU PERHENTIAN, 20 Jul. – Sekumpulan pelajar dari Kolej Siswa Jaya (KSJ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, telah menyertai program ploging bagi membersihkan Kampung Nelayan. Aktiviti ploging ini juga merupakan sebahagian daripada Kem Pemantapan dan Bengkel Keselamatan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) 2024 yang berlangsung selama 3 hari 2 malam.

Plogging, sukan inovatif yang menggabungkan jogging dengan mengutip sampah yang berasal dari Sweden ini telah menarik minat pelajar-pelajar yang turut serta dalam program ini. Mereka terlibat aktif dalam menjaga alam sekitar sambil berolahraga dengan berlari dan mencangkung untuk mengutip sampah. Program ini berjaya mengumpul sebanyak 12 beg plastik berisi pelbagai jenis sampah, dengan jumlah berat sekitar 30kg. Sampah yang dikutip telah dihantar ke Kuala Besut oleh pihak Majlis Daerah Besut untuk pengurusan seterusnya.

Pengarah Program, Cik Marsya Damia Ruslay, menyatakan bahawa aktiviti ini bukan sahaja membersihkan kawasan sekitar, tetapi juga mendidik pelajar tentang pentingnya menjaga alam sekitar.

IMG WA
Peserta bersedia sebelum memulakan aktiviti.

Selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 11: Bandar dan Komuniti Lestari, serta SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab, program ini menekankan amalan pengurusan sisa yang mampan. Dengan mengurangkan sampah dan memastikan pembuangan yang betul, pelajar menyumbang kepada usaha global untuk meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Selain itu, program ini juga menyokong SDG 17: Kerjasama untuk Mencapai Matlamat, dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk pelajar, pihak universiti, dan Majlis Daerah Besut. Kerjasama ini menunjukkan bagaimana tindakan kolektif boleh membawa perubahan positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

IMG WA
Selaras dengan SDG 11 dan beberapa lagi SDG yang terdapat di Pulau Perhentian.

Dr. Mohammad Azlan Suhot, Pengetua Kolej Siswa Jaya, menyatakan rasa bangganya terhadap komitmen yang ditunjukkan oleh para JKM dalam menjayakan program ini. Beliau menyatakan bahawa usaha ini merupakan satu langkah positif dalam memupuk kesedaran dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.

Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) (JTNCHEPA) UTM, yang juga turut hadir untuk memberi sokongan. Sebelum aktiviti ploging bermula, para peserta telah diberi taklimat oleh Encik Arman Md Yasin, Timbalan Pendaftar JTNCHEPA, mengenai langkah-langkah keselamatan dan prosedur yang perlu dipatuhi sepanjang program berlangsung.

Aktiviti ploging ini bukan sahaja memberikan impak positif terhadap alam sekitar, tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara pelajar UTM. Para peserta berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan mendapat sokongan yang berterusan dari semua pihak. Usaha ini membuktikan komitmen UTM dalam menyokong SDG 11, SDG 12, dan SDG 17, serta menunjukkan bagaimana tindakan kecil boleh memberi impak besar dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

Explore More