JOHOR BAHRU, 24 Jul. – Pencemaran plastik yang semakin membimbangkan telah mendesak pelbagai pihak termasuk sekolah untuk memberikan pendedahan mengenai bahaya bahan plastik sekali guna kepada murid sekolah rendah.
Usaha ini penting untuk dilaksanakan memandangkan murid-murid sekolah rendah ini akan menjadi sebahagian dari masyarakat apabila mereka menamatkan pengajian kelak.
Pembantu Penyelaras Program ‘Plastic Free July’ Sekolah Kebangsaan Taman Damansara Alif (SKTDA), Hidayah Abdul Latif berkata program ini dilaksanakan bagi memberikan pendedahan kepada warga sekolah tentang jenis-jenis plastik dan cara menguruskannya.
“Program ini merupakan satu usaha mentransformasikan SKTDA kepada sekolah yang bersih, ceria dan hijau dengan menggalakkan seluruh warga sekolah terutamanya murid mengurangkan penggunaan beg plastik sekaligus mengurangkan pencemaran alam sekitar,” katanya.
Program ‘Plastic Free July’ ini merupakan program kolaborasi bersama antara pihak SKTDA, Pejabat Pelestarian Kampus UTM (UTMCS) dan juga Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Hidayah berkata objektif utama penganjuran program ini adalah mengurangkan jumlah penggunaan beg plastik sekali guna (beg jinjit) sekaligus mengurangkan pencemaran sisa plastik dan juga meningkatkan kesedaran memelihara alam sekitar dalam kalangan warga sekolah.
“Selain menjalin kerjasama strategik dengan UTMCS dan juga SWCorp, kami juga menaruh kayakinan dapat mewujudkan suasana persekitaran sekolah yang lebih lestari bagi tujuan pemeliharaan alam sekitar, pengurusan sisa dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Antara aktiviti-aktiviti yang dilakukan sepanjang program ini berlangsung adalah sesi ceramah bertajuk Pengenalan Plastik oleh Sharifah Razan Syed Abdullah, Penyelidik Projek Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
“Murid-murid juga diberikan kuiz berkenaan dengan ceramah yang diberikan di samping bermain dengan permainan ‘EcoBricks’ iaitu menghasilkan perabot dari botol-botol yang diisikan dengan sampah.
“Murid-murid SKTDA juga bermain dengan pelbagai permainan lain seperti dam ular kelestarian, menyertai aktiviti mewarna dan juga bermain dengan teka silang kata di samping melawat gerai pameran SWCorp,” katanya lagi.
Seramai 1,060 murid tahun satu hingga enam dan 63 orang guru SKTDA terlibat dalam program ini.