November 14, 2024

Search
Close this search box.
Dekan FABU UTM QS

“Faculty of Choice” : FABU tekad untuk terus kekal kedudukan 100 terbaik dalam QS World University Ranking by Subject 2024

JOHOR BAHRU, 9 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi mencatat sejarah apabila Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) berjaya mengekalkan kedudukan 100 terbaik dalam QS World University Ranking by Subject 2024. Bidang Architecture/Built Environment di fakulti ini diiktiraf sebagai antara 51-100 terbaik dunia dan dinobatkan sebagai program nombor satu di Malaysia. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan warga UTM, tetapi juga memperkukuhkan status Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa.

Menurut Dekan FABU, Prof. Sr Dr. Kherun Nita Ali, FABU yang merupakan gabungan dua fakulti tertua di UTM, telah berjaya mengekalkan kedudukan dalam 100 terbaik sejak 2015, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai “Faculty of Choice” dalam bidang ini terutamanya di Malaysia. Keistimewaan program ini terletak pada pembangunan kurikulum yang diakreditasi oleh MQA dan tujuh badan profesional lain seperti Lembaga Perancang Bandar Malaysia, Lembaga Arkitek Malaysia, dan Lembaga Jurukur Tanah Malaysia. Elemen akademia, industri, agensi, dan komuniti diterapkan dalam kurikulum dan aktiviti pelajar menjadi ramuan utama dalam membentuk graduan holistik yang berkualiti.

Prof Kherun
Prof. Kherun berkongsi inisiatif yang digerakkan beliau bersama pasukannya di FABU dalam merealisasikan visi menjadi ‘”Faculty of Choice”

Dari segi tenaga pengajar, 32% staf akademik di FABU memiliki kelayakan profesional dari badan profesional masing-masing, selain terlibat aktif dengan industri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ramai antara mereka berkhidmat sebagai penasihat atau pakar runding kepada pelbagai kementerian dan organisasi, termasuk badan antarabangsa seperti World Bank dan International Hydrographic Organization.

Kesohoran ahli akademik turut terbukti dengan pengiktirafan di pelbagai peringkat, antaranya Anugerah Pengajaran (Kelompok Sains Gunaan) bersempena Anugerah Akademik Negara ke-15 bagi tahun 2023 yang dimenangi oleh Dr. Norliza Mohd Isa, dan anugerah Fulbright Malaysian Scholar 2022/2023 kepada Prof. Madya Sr Gs. Dr. Nurul Hazrina Idris, yang berjaya mendapat dana dari Amerika Syarikat.

Ahli akademik FABU juga diberikan kepercayaan untuk menjalankan pelbagai projek perundingan dalam dan luar negara. Antara staf FABU yang berjaya mendapatkan projek melalui proses bidaan di peringkat antarabangsa ialah Prof. Dr. Amran Hamzah dari International Union for Conservation of Nature (IUCN) West Asia Office and Royal Commission for Al-Ula, Kingdom of Saudi Arabia melalui projek perundingan “Nature-based Tourism Plans for Al-Ula Protected Areas”.

Student FABU
Pelajar di fakulti sentiasa didedahkan dengan ilmu dan pengetahuan terkini mengikut keperluan industri

Untuk rekod, FABU mencatatkan purata enrolmen seramai 1,926 pelajar prasiswazah dan 757 pelajar pascasiswazah setiap semester dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Kualiti program akademik yang diiktiraf, kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi, serta kemudahan fasiliti seperti studio, makmal kerja lapangan, dan makmal komputer yang kondusif untuk kerja kreatif dan lapangan menarik perhatian para pelajar untuk menyambung pengajian di UTM. Selain itu, Galeri KALAM, Makmal Satelit Forensik Geospatial UTM-PDRM, dan Built Environment Extended Reality Lab (BEXeR) menjadi antara fasiliti yang menyerlahkan kelebihan serta memperkukuh penyelidikan dan pembelajaran di fakulti ini.

Menurut Prof. Kherun Nita, fakulti mempunyai visi untuk terus menjadi “Faculty of Choice” dalam pendidikan dan pembangunan profesional. Bagi mengekalkan dan meningkatkan kredibilitinya, fakulti ini akan memberi keutamaan kepada hubungan strategik dengan rakan industri dan akademik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Program sangkutan dengan universiti atau agensi luar negara bagi staf akademik dan profesional juga akan diperkasakan.

Selain itu, agenda “Innovating Solutions” yang diterapkan dalam semua aspek akademik dan profesional, merangsang pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan warga fakulti. Pembudayaan prinsip kolaborasi dan inklusif bersama industri, agensi, dan alumni juga akan dipertingkatkan untuk memastikan fakulti terus relevan dan kompetitif.

Kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta Jabatan Tanah dan Ukur Sabah telah menekankan kepentingan sinergi antara kedua-dua pihak. Hubungan kepakaran ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu pendidikan dan penyelidikan, di samping menyokong pembangunan sektor tanah dan survei di Sarawak dan Sabah.

 

Student FABU
Pembelajaran secara ‘hands on’ amat penting dalam membangunkan tenaga kerja dan bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi tuntutan pasaran kerja dan pembangunan negara

Prof. Kherun Nita berharap agar FABU dapat mengekalkan kedudukan ini sebagai bukti peningkatan mutu pendidikan tinggi negara. Beliau turut menekankan kepentingan memiliki minda kelas pertama dan personaliti unggul dalam kalangan warga fakulti untuk mengekalkan kecemerlangan akademik dan profesional. Menurutnya lagi,

“Cabaran utama yang dihadapi adalah mengekalkan kualiti program akademik yang sejajar dengan aktiviti penyelidikan dan perundingan. Pengalaman dalam penyelidikan dan perundingan mampu menjadikan pengajaran lebih mantap dan relevan dengan keperluan industri dan masyarakat. Selain itu, memupuk ‘jiwa kecemerlangan antarabangsa’ dalam kalangan generasi muda adalah penting untuk memastikan kesinambungan kesohoran antarabangsa fakulti pada masa hadapan.”

Beliau juga berharap agar suasana bekerja dengan jiwa dan nilai integriti yang tinggi dapat dipupuk dalam kalangan warga fakulti, kerana ia akan memberi kesan positif terhadap kualiti kerja. Pengekalan kedudukan ranking bukan hanya untuk pengantarabangsaan dan penjenamaan, tetapi juga untuk memenuhi fungsi universiti dalam mensejahtera kehidupan melalui ilmu dan inovasi teknologi serta menekankan kecemerlangan budaya akademik.

Sejak penubuhan UTM, FABU telah melahirkan kira-kira 15,000 alumni yang berjaya dalam pelbagai bidang. Antara ikon alumni terkenal termasuk YB Dato’ Daing A Malek Daing A Rahman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor; Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa, mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia dan  YBhg. Datuk TPr. Dr. Alias Rameli, Ketua Pengarah PLANMalaysia. Kejayaan mereka menjadi inspirasi kepada generasi pelajar dan graduan masa kini dan pada masa yang sama turut banyak menyumbang semula kepada kelangsungan dan kecemerlangan fakulti.

Sumbangan Alumni FABU
Antara alumni FABU yang sentiasa menyokong dan menyumbang semula kepada fakulti

“Alumni kita adalah aset yang sangat berharga. Sokongan mereka, sama ada dalam bentuk sumbangan dana, perkongsian ilmu, atau peluang pekerjaan, sangat membantu dalam memperkukuh jaringan dan reputasi fakulti. Masyarakat juga boleh memainkan peranan dengan mengiktiraf dan menyokong usaha-usaha yang dijalankan oleh fakulti dalam pelbagai projek komuniti dan penyelidikan.”

“Sokongan daripada pihak universiti dalam menyediakan dana penyelidikan, peluang latihan, dan kolaborasi antarabangsa sangat penting untuk memastikan fakulti terus berada di hadapan. Kerajaan juga memainkan peranan besar dalam menyediakan polisi dan peruntukan yang menyokong pembangunan pendidikan tinggi di Malaysia,” tambah beliau.

Optimis dengan masa depan FABU, Prof. Kherun Nita berkata “Dengan kerjasama semua pihak, kita yakin fakulti ini akan terus mencipta kejayaan dan menjadi peneraju dalam bidang Alam Bina dan Ukur, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.”

Dengan dedikasi dan komitmen semua pihak, Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM berada di landasan yang tepat untuk terus mengukir kejayaan demi kejayaan, menyumbang kepada pembangunan negara, dan meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai hab pendidikan dan penyelidikan yang unggul.

Kejayaan Fakulti Alam Bina dan Ukur dalam QS World University Ranking 2024 adalah bukti komitmen dan usaha gigih seluruh warga fakulti dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia. Dengan perancangan strategik dan semangat inovatif, fakulti ini terus berusaha untuk mengekalkan dan meningkatkan prestasinya demi kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.

Explore More