Julai 5, 2024

Search
Close this search box.
LA

Dr. Gamelan: Gabungan kreativiti dan eksperimentasi, Dr. Izwanne cabar kemampuan diri

JOHOR BAHRU, 2 Jul. – Di sebalik figura seorang pensyarah dan penyelidik hebat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), tersembunyi seorang maestro seni gamelan yang memukau. Dr. Nur Izwanne Mahyon, Pengarah UTM Centre for Low Carbon Transport (UTM LoCARtic) bukan sahaja cemerlang dalam bidang kejuruteraan mekanikal tetapi juga menguasai seni muzik tradisional. Melalui perjalanan hidup yang penuh dedikasi dan semangat, beliau membuktikan bahawa kehebatan intelek dan kehalusan seni dapat berjalan seiring, mencipta harmoni yang indah dalam dunia akademik dan budaya.

Mendapat jolokan ‘Dr. Gamelan’, Dr Izwanne bukan hanya cemerlang dalam dunia akademia malah turut bersinar di arena muzik gamelan. Meskipun bergelumang dengan kesibukan sebagai pendidik dan juga penyelidik, Dr Izwanne terus mencari titik imbang agar dapat meneruskan minatnya dalam seni ini.

IMG
Dr. Izwanne (baris hadapan, dua dari kanan) bermain bonang bersama kumpulannya semasa dijemput untuk bermain gamelan dalam satu majlis rasmi.

Bakat dan minat dalam muzik tradisional ini mula terasah ketika beliau menetap di Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) semasa pengajian sarjana muda di UTM. Di sana, beliau berkenalan dengan Pak Dwiono Hermantoro, seorang karyawan tamu dan pengajar kelab gamelan. Meskipun tanpa latar belakang muzik, Dr. Izwanne nekad menceburkan diri dalam seni ini dan dengan bimbingan Pak Herman, beliau berjaya menguasai pelbagai alat dalam set gamelan dalam masa yang lebih singkat berbanding dengan rakan lain. Dedikasi, semangat dan minat yang ditunjukkan telah membuatkan beliau berpeluang bermain gamelan di pelbagai acara rasmi UTM seperti Majlis Konvokesyen, serta festival-festival dan persembahan antarabangsa.

“Saya berterima kasih kepada Pak Herman kerana atas jasa beliau, saya dapat mempelajari seni gamelan walaupun saya tidak mempunyai teori yang kuat pada ketika itu. Tanpa beliau, saya tidak mungkin tahu saya mempunyai bakat dalam bidang seni gamelan ini”.

IMG
Barisan pemain gamelan Majlis Konvokesyen ke-67 UTM semasa majlis berlangsung

Menurut Dr. Izwanne, seni gamelan bukan sahaja menjadi medium untuk berekspresi tetapi juga sebagai cara untuk beliau melepaskan tekanan dari tugasan harian sebagai pensyarah dan penyelidik. Beliau turut mengakui bahawa penglibatannya dalam seni gamelan telah membentuk diri beliau menjadi lebih kreatif dan berani mencuba sesuatu yang baharu.

“Perkataan mengimbangi pada saya sedikit tricky. Secara jujurnya, tidak setiap masa kita boleh seimbangkan kerana ada masa sesetengah tugasan ini lebih penting, kita akan lebihkan tumpuan kepada perkara itu dan sekiranya kita ada persembahan gamelan yang penting, kita akan lebihkan pula latihan dan lain sebagainya.

“Menjadi pensyarah merupakan kerja hakiki dan sumber rezeki utama. Sesibuk manapun saya, tugas sebagai pendidik itu tetap nombor 1. Tanggungjawab pada kelas dan pelajar akan tetap menjadi keutamaan saya,” ujar Dr Izwanne.

IMG
Dr. Izwanne bersama anak didik beliau semasa Majlis Konvokesyan ke-67 sebelum membuat persembahan

Mengakui bahawa mengimbangi antara tugas akademik dan seni gamelan adalah mencabar. Namun, beliau menekankan kepentingan delegasi tugas dan kerja kolektif. Penyelidikan dan tugas lain dilakukan secara bersama dengan rakan sekerja. Dalam seni gamelan, latihan intensif dilakukan hanya apabila ada persembahan penting. Dr. Izwanne berasa beruntung kerana para pelajar memahami kesibukannya dan berlatih sendiri mengikut panduan yang diberikan.

Menyingkap sisi peribadi figura ini, Dr Izwanne boleh dianggap sebagai pemilik DNA UTM yang sejati. Pendidikan awal beliau bermula di Tadika Ihsan UTM sementelah pengajian di peringkat pendidikan tingginya juga di UTM melalui skim pelajar cemerlang MARA yang telah membuka jalan yang luas untuk beliau meneroka dunia kejuruteraan. Selepas tamat Sijil Pelajaran Menengah (SPM), beliau menyertai program asasi selama lima bulan di UTM sebelum melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga (FKT). Beliau kemudiannya meneruskan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Safety Health and Environment di fakulti yang sama.

A

Penglibatan beliau dalam bidang penyelidikan bermula sebagai pegawai penyelidik di Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC) pada tahun 2013. Peluang menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Imperial College London pada tahun 2015 merupakan titik tolak bagi beliau mengembangkan kerjaya dalam kejuruteraan mekanikal.

Apa yang menarik, biarpun jauh merantau di bumi asing, Dr Izwanne masih dapat meneruskan minat dan kemahiran dalam seni muzik gamelan sepanjang berada di sana. Beliau menyertai kumpulan muzik gamelan bersama para penuntut dari Indonesia apabila mempunyai masa terluang. Dengan cara ini, kemahiran yang ada tidak terhenti sebaliknya bertambah dengan kelainan yang dipelajari bersama kumpulan berkenaan.

Setelah menamatkan pengajian PhD, beliau kembali ke UTM sebagai Research Fellow di Pusat Low Carbon Transport (LoCARtic), fokus penyelidikan beliau kini lebih tertumpu kepada waste heat recovery dan sedang giat menjalankan penyelidikan melibatkan pembangunan teknologi yang membantu mengurangkan pelepasan karbon dalam pengangkutan dan tenaga.

Dr Izwanne Gamelan
Dr. Izwanne menjalankan kerja makmal di Makmal LoCARtic yang terletak di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal

Apabila ditanya mengenai cabaran terbesar dalam menggabungkan bidang kejuruteraan dan seni gamelan, Dr. Izwanne menekankan bahawa masa merupakan cabaran utama. Namun, dengan sokongan kuat dari keluarga dan sistem sokongan di UTM, beliau mampu mengatasi cabaran tersebut. Beliau melihat seni sebagai cara untuk mengekspresikan sisi feminin dirinya, berbanding kejuruteraan yang lebih maskulin dan memerlukan pemikiran logik serta analitikal.

“Walaupun kejuruteraan dan seni adalah bidang yang berbeza, kedua-duanya memerlukan keberanian untuk bereksperimen dan mencuba sesuatu yang baru. Dalam kejuruteraan, eksperimen adalah kunci untuk inovasi, manakala dalam seni, eksperimen membantu menghasilkan karya yang menginspirasi. Kedua-dua bidang ini mengajar kita untuk melatih otak berfikir di luar kotak dan mencari penyelesaian baharu.”

A
Dr. Izwanne Mahyon ketika ditemui di Makmal LoCARtic untuk ditemu bual

“Bila kita belajar banyak benda baharu, ia membantu untuk build-up daya tahan dan resiliency of a person. Kita perlu ambil segala sesuatu yang kita belajar itu sebagai learning curve. Namun, jika kita ingin mencuba sesuatu yang baharu, kita perlu pandai memilih mana satu yang penting dan mana satu yang kita akan ambil sebagai fun.”

Mengakhiri temu bual, Dr. Izwanne menyatakan bahawa perjalanan hidup dan kerjaya adalah satu proses pembelajaran yang berterusan. Kejayaan bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah, tetapi melalui usaha, dedikasi, dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu. Beliau berharap kisah hidupnya dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk mencapai potensi penuh diri dalam pelbagai bidang yang mereka minati.

Explore More